Buku Motivasi - Berserah Kepada Allah

“Kadangku keliru dengan hidupku, jalan yang mana harus dituju, bukan sekali aku terjatuh, hati dan jiwaku sering merusuh.”

Itulah antara bait-bait kata yang tersusun rapi di dalam naskhah Berserah Kepada Allah.

Bagi mereka yang pernah membaca naskhah itu yang berbentuk motivasi pasti akan tertarik dengan bait-bait kata puitis penulisnya.

Buku tersebut karya sulung penulis muda berbakat, Nurnazida Nazri, 35, khas buat tatapan umum.
Minatnya yang mendalam terhadap penulisan terutama genre motivasi membuatkan minat anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu terhadap penulisan berbentuk motivasi bercambah sejak zaman berkerja.

Bekas pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu sebelum ini hanya giat menulis buku-buku ilmiah berkaitan undang-undang.

“Berserah Kepada Allah merupakan naskhah dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Ia terhasil melalui pengalaman selama 10 tahun dalam bidang pendidikan.

“Ia memuatkan pelbagai kisah kehidupan pelajar yang menempuh pelbagai cabaran dan rintangan dalam memperoleh segulung ijazah.

“Contohnya, pelajar gagal dalam peperiksaan mengambil tindakan melulu seperti berhenti belajar malah mengancam untuk membunuh diri,” katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Nurnazida, segala kejadian dan ujian tersebut digarap menjadi sebuah naskhah bagi memberi peringatan kepada semua termasuk diri saya sendiri.

Dalam naskhah tersebut, dia menggambarkan setiap kehidupan penuh dengan cabaran dan dugaan.

“Kita perlu ingat, ujian tersebut bukan bertujuan untuk melemahkan kita, tetapi sebaliknya menjadikan kita lebih kuat. Di sebalik ujian tersebut juga terletak hikmah yang kita tidak ketahui,” ujarnya.

Buku Berserah Kepada Allah ini memuatkan lima tajuk kecil dan 40 halaman muka surat.

Cabaran

Ketika menerbitkan naskhah tersebut, Nurnazida menempuh beberapa cabaran.

Antaranya, proses menterjemahkan idea kepada penulisan naskhah yang mudah difahami oleh semua peringkat umur terutama belia dan remaja.

“Naskhah ini menyentuh kehidupan manusia yang penuh rintangan dan ujian.

“Sehubungan itu, sebagai hamba, manusia perlu kembali kepada Allah dengan memohon ampun dan petunjuk,” jelasnya yang menerbitkan sendiri buku itu.

Dalam pada itu, Nurnazida berharap, karyanya diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Ditanya mengenai dunia penulisan tempatan, dia berkata, semakin ramai golongan muda terbabit dalam bidang ini.

Kehadiran mereka memeriahkan lagi dunia penulisan tempatan, sekali gus menunjukkan negara ini tidak ketandusan penulis berbakat.

“Perkara ini sememangnya satu perkembangan yang baik dalam arena penulisan tempatan. Saya berharap penulis generasi kini terus fokus terhadap apa yang dilakukan dan berjaya mencapai matlamat masing-masing,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online