Buku Panduan Pelancongan Cuti-Cuti Halal

Islam tidak pernah melarang umatnya melancong, bercuti dan beriadah bersama keluarga atau teman, tetapi ia perlu dilandaskan kepada kepatuhan syarak dan meninggalkan apa yang dilarang.


Namun begitu, sering kali timbul isu status halal makanan di tempat yang dituju, kesucian peralatan disediakan oleh pihak hotel dan juga masalah berkaitan solat, terutama bagi musafir serta mencari arah kiblat.

Masalah ini menjadi lebih berat apabila bercuti di luar negara yang majoriti penduduknya bukan Islam.

Keadaan ini membuatkan seorang Pensyarah Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Merlimau, Melaka, Mazura Stapah, 40, berusaha mengumpul bahan daripada pembacaan, pengalaman dan pandangan ahli agama bagi mengatasi masalah ini.

Sesuai dengan jawatannya sebagai pensyarah yang menyampaikan ilmu berkaitan industri pelancongan kepada pelajarnya dan minatnya melancong sama ada di dalam atau luar negara, beliau memerlukan bahan yang lengkap untuk menerangkan manfaat dan faedah aktiviti bercuti dan bersantai dari kaca mata Islam.

“Segalanya bermula apabila saya menyertai satu persidangan industri halal di Pulau Pinang pada 2012 yang memberi idea untuk menerbitkan satu rujukan berkaitan pelancongan yang menepati syariah.

“Selepas itu, saya hadir pula ke kursus penulisan yang dikendalikan penulis terkenal negara, Zamri Mohamad yang memberi sokongan dan semangat kepada untuk menerbitkan naskhah sendiri,” katanya.

Tambah ibu kepada tiga orang anak ini, ternyata, kekerapan menghadiri kursus dan seminar bukan sahaja menambahkan ilmu dan mendapat teman baharu, tetapi juga membuka satu lagi lembaran baharu dalam hidupnya.

Justeru, November lalu, naskhah sulungnya iaitu Cuti-Cuti Halal diterbitkan dan mendapat sambutan ramai di pasaran.


“Ia bukan sebuah buku bercorak keagamaan semata-mata, tetapi sesuai untuk semua lapisan kerana boleh dijadikan panduan dan membantu mereka membuat perancangan bercuti,” katanya yang pernah berkhidmat secara sambilan sebagai pemandu pelancong ke China dan Indonesia.

Bahasanya yang mudah dan santai serta dilengkapi gambar menarik, pasti membuatkan pembaca tidak bosan membacanya.

Malah, ia bukan sekadar bacaan ringan, buku terbitan Legacy Publishing yang ditulis bersama seorang lagi rakan penulis itu juga boleh dijadikan modul rujukan buat pelajar untuk subjek berkaitan pelancongan.

Di samping menulis, Mazura turut aktif dalam aktiviti sukarela, terutama yang berkaitan pelancongan dan alam semula jadi.

Beliau pernah menjadi sukarelawan dalam Persidangan Pelancongan Dunia anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

Menariknya, Mazura kini dalam perancangan menerbitkan pula Cuti-Cuti Halal siri kedua yang bakal menampilkan kandungan yang lebih terperinci. Beliau amat mengharapkan buku sulung ini dapat memberikan manfaat kepada pembacanya.

Sumber: myMetro