Cendawan Volvariella Jana Sumber Pendapatan

Penanaman cendawan Volvariella boleh menjadi sumber pendapatan alternatif kepada pekebun kecil dan penoreh getah di Malaysia pada masa kini.

[Cendawan Volvariella]

Kejatuhan harga getah dari RM2 ke RM1.70 sekilogram (skg) telah menyebabkan pendapatan penoreh getah merudum antara RM700 ke RM500 sebulan.

Penghasilan cendawan Volvariella hanya memerlukan modal yang rendah dan pengurusannya tidak rumit.

Teknologi penanaman cendawan Volvariella yang diperkenalkan hanya menggunakan semula bahan buangan hasil ladang kelapa sawit iaitu tandan sawit dari kilang.

Teknologi yang diamalkan dapat memaksimumkan penggunaan tanah di kebun getah yang sedia ada manakala, hasil buangan tandan yang telah digunakan boleh dijadikan baja kompos.

Selain itu, teknologi cendawan Volvariella yang diperkenalkan adalah bebas racun kimia dan mesra alam serta mengamalkan teknologi hijau yang selamat.

Pemilihan kawasan yang sesuai untuk penanaman cendawan Volvariella adalah seperti di kawasan kebun getah, kelapa sawit dan dusun.

Antara ciri-ciri pemilihan kawasan yang sesuai adalah:

• Kawasan bebas banjir dan tidak bertakung air.

• Kawasan yang mempunyai cukup teduhan.

• Sangat sesuai untuk kawasan tanah rendah.

• Bebas daripada gangguan haiwan ternakan dan haiwan liar.

• Jauh daripada kawasan yang menggunakan racun perosak.

Teknologi penanaman cendawan Volvariella yang diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian mampu memberikan sumber pendapatan tambahan kepada keluarga seperti berikut:

Sebagai contoh, satu batas bersaiz 1 meter x 4.5 meter boleh mengeluarkan hasil sebanyak 0.5kg sehari selama 30 hari untuk satu pusingan. Anggaran harga jualan adalah RM10/kg.

Hal ini bermakna, jumlah pendapatan kasar sebulan untuk satu batas tanaman cendawan itu ialah RM150. Manakala, bagi kawasan seluas satu relung atau 0.3 hektar boleh memuatkan sebanyak 90 batas.

[Cendawan Volvariella goreng bersalut tepung]

Pengendalian selepas menuai:

1. Potong pangkal tangkai cendawan dengan pisau.

2. Susun dalam plastik secara satu hala, vakum pek dan masukkan ke dalam peti sejuk.

3. Cendawan Volvariella tidak tahan disimpan lama kerana mudah rosak. Oleh itu, cendawan segar Volvariella perlu diguna terus atau diproses sama ada dicelur atau vakum dan dikeringkan.

Cendawan Volvariella selain dijadikan menu di dalam masakan, boleh diproses kepada pelbagai produk Industri Asas Tani dan dikomersilkan seperti jeruk dalam tin, cendawan goreng, serunding, pes, kiub perasa masakan, sos, inti samosa dan karipap.

Disebabkan itu, telah terbukti bahawa cendawan Volvariella dapat menyumbang kepada pendapatan tambahan seisi keluarga bagi sesiapa sahaja yang mengusahakannya.

Sumber: Kosmo! Online