Eighty Three Cafe - Seksyen 7 Shah Alam

Terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor Eighty Three Cafe (Cafe 83) merupakan antara restoran hipster yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di kawasan pusat komersial itu.

Mengetengahkan konsep kayu dan industri, premis yang mula beroperasi sekitar Mei tahun lalu itu tidak terkecuali daripada menjadi tumpuan kerana dekorasinya yang menarik.

Dari luar, pengunjung pasti terpikat melihat mural yang menjadi sebahagian daripada titik tumpu ruang. Lukisan bertemakan kopi itu antara lain menjadi mesej tentang kafe tersebut yang menjadikan minuman berkenaan sebagai salah satu hidangan istimewa.

Turut dapat dilihat ialah penggunaan perabot kayu yang menyuntik cita rasa rustik secara minimum. Menjengah ke ruang dalam premis, kesinambungan elemen kayu terus dapat dilihat menerusi pemilihan kerusi, meja, sofa dan rak simpanan.

Selain itu, sebahagian daripada kemasan lantai turut memasukkan elemen kayu, di samping simen bagi menyerlahkan sisi kontra kafe.

Pun begitu, apa yang lebih mencuri tumpuan kru Jurnal ialah perhiasan unik seperti arca yang diperbuat daripada kayu.

Menurut Pengurus Operasi Cafe 83, Mohd. Salleh Mohd. Abd. Aziz, hampir semua perabot di premis berkenaan ditempah dan diimport khas dari Yogyakarta, Indonesia.

“Rata-rata perabot di sini menggunakan kayu jati yang sememang­nya terkenal dengan kekuatan dan ketahanannya. Apa yang menjadikan ia berbeza dengan perabot jati di luar sana adalah rekaannya lebih moden dan segar sesuai dengan cita rasa masa kini.

“Mengambil contoh pe­ngadang dinding ini, ia kelihatan unik kerana diperbuat daripada pangkal akar pokok jati. Bentuk semula jadi pokok dikekalkan bagi memberi rupa asli pada hiasan dekoratif ini,” jelasnya.


Burung hantu

Beralih ke bahagian dinding, premis tersebut tampil ringkas de­ngan konsep bata terakota tanpa sebarang lepaan simen mahupun cat.

Menariknya, dinding yang polos itu diberi sentuhan eksentrik menerusi hiasan lampu mentol yang di­sambung secara berselang-seli menggunakan batang paip besi terpakai.

Sentuhan dekorasi itu bukan sahaja mencipta kelainan tersendiri, malah menyerlahkan konsep industri yang diketengahkan.

Di samping itu, lukisan mural bertemakan kopi masih menjadi penyeri dan melatari sebahagian besar ruang dalam kafe yang berkeluasan kira-kira 125 meter persegi itu.

Menerima sentuhan artistik daripada artis mural dari Shah Alam, Ashikin Abdullah, seni itu memperlihatkan minuman kopi dalam pelbagai bentuk sajian antaranya dihidang dalam teko, cawan, cawan kertas, gelas dan sebagainya.

Di satu sudut lain pula, lukisan flora dan burung hantu pula menjadi tema utama. Mungkin ada pelanggan yang menyangka burung hantu itu kelihatan hidup kerana dilihat seolah-olah duduk bertenggek di atas batang paip yang diolah menjadi lampu tadi.

Kelainan yang digarap sudah tentu memberi dimensi berbeza kepada kafe dengan membantu memisahkan ruang hadapan dengan bahagian dalam, sekali gus memberi segmen berbeza mengikut kehendak pelanggan.

Basikal tua

Di satu sudut, mata kru Jurnal tertarik melihat sebuah basikal tua yang dijadikan item dekorasi. Selain itu, adaptasi elemen vintaj juga dapat dilihat menerusi penggunaan poster retro daripada plat besi yang digantung di dinding.

Menyentuh aspek pencahayaan, kafe tersebut memilih untuk menggunakan lampu berwarna kuning yang dipantulkan menerusi mentol-mentol kecil yang digantung seperti hiasan candelier. Selain berfungsi menerangi setiap ruang, ia turut mewujudkan suasana redup dan eksklusif.

Premis yang dimiliki pasangan suami isteri Rosli Musa dan Nor Azilah Mohd. Abd. Aziz itu sebenar­nya mendapat namanya sempena tahun perkahwinan mereka iaitu pada 1983.

“Kafe ini sendiri memberi nilai sentimental kepada kami kerana pembukaannya sebagai memperingati tahun saya dan suami disatukan.

“Selain itu, memang sudah menjadi impian saya sejak dahulu untuk memiliki kafe sendiri,” ujar Nor Azilah yang mengilhamkan sendiri dekorasi kafe dengan bantuan suami serta anak-anaknya.

Mampu memuatkan sehingga 50 orang pelanggan pada satu-satu masa, Cafe 83 menyajikan pelbagai juadah Barat dan fusion seperti burger istimewa 83, spageti aglio olio, ayam panggang, nasi goreng istimewa 83 serta ice blended The 83 yang dihidang bersama brownie.

“Kami juga mengalu-alukan pe­langgan yang mahu mengadakan majlis ringkas seperti sambutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan dan perjumpaan semula di sini,” ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online