Fuhhh Sedappp - Restoran D’Patin Hang Out

Biarpun keenakan hidangan ikan patin masak tempoyak sudah sinonim bagi masyarakat di Pahang, tapi pasangan suami isteri yang kedua-duanya anak jati Perak menjadikan ia sebagai hidangan utama di restoran mereka di Bandar Sri Botani, Ipoh, Perak.


Hidangan ikan patin masak tempoyak yang dihasilkan di Restoran D’Patin Hang Out milik pasangan Asri Yazid, 47, dan Fariza Yeop Idris, 53 itu sememangnya mampu memberi kepuasan kepada peminat masakan tempoyak.

Kuahnya yang pekat kekuningan dengan rasa masam manis tempoyaknya cukup sempurna ditambah dengan kelembutan isi ikan patin yang membuatkan pengunjung tetap restoran itu berasa kecur setiap kali teringat hidangan istimewa berkenaan.

Menariknya, pelanggan boleh menikmati hidangan set patin masak tempoyak iaitu nasi, ulam-ulaman, sambal dan air buah dengan RM15.

Menurut Fariza, resipi patin masak tempoyak itu adalah dari perkongsian kakak iparnya yang membuka restoran sama di Shah Alam, Selangor.

“Pada mulanya sambutan tidak begitu menggalakkan kerana ramai tidak tahu kewujudan restoran ini yang menghidangkan hidangan istimewa ikan patin.

“Kemudian selepas hidangan saya ini menjadi viral di Facebook, sambutan yang diterima di luar jangkaan,” katanya.


Fariza berkata, selain hidangan patin masak tempoyak, pengunjung juga boleh menikmati hidangan campuran makanan laut yang turut menjadi bualan pengunjung di restoran berkenaan.

Menurutnya, hidangan itu disajikan dengan RM22 bagi satu set berserta air untuk dua orang.

“Idea untuk membuat hidangan ini timbul apabila ia menjadi viral di laman sosial Facebook.

“Kemudian saya mencuba untuk mencipta resipi kuah hidangan ini dengan sendiri dan ia terus mendapat sambutan daripada orang ramai,” katanya.

Selain itu, restorannya turut menambah tiga menu tambahan iaitu kambing bakar, ayam bakar dan pulut durian serta mangga.

Fariza berkata, dia cuba mengekalkan cita rasa tradisional dalam setiap hidangannya bagi memberi kepuasan kepada pengunjung yang datang.

Menurutnya, dia merancang untuk membuka restoran baru di tempat lain jika mempunyai peluang. Pelanggan boleh melayari laman facebook D’Patin Hang Out untuk maklumat lanjut atau terus ke restoran berkenaan untuk merasai sendiri hidangan istimewa itu.

Sumber: myMetro