Ganda Pendapatan Penternakan Kelulut

Lebah kelulut merupakan agen yang penting untuk proses pendebungaan di kawasan tropika, subtropika dan bahagian-bahagian tertentu dunia.


Terdapat hampir 150 spesies lebah kelulut antaranya Geniotrigona thoracica, Heterotrigona itama, Lepidotrigona terminata, Tetragonula laeviceps dan Tetrigona apicalis.

Madunya dikatakan mempunyai banyak khasiat termasuklah memulihkan pelbagai penyakit kronik. Kajian mendapati lebah kelulut mampu meningkatkan metabolisme badan, kecantikan, memulihkan wanita baru bersalin dan merawat pelbagai penyakit serta kecederaan dalaman.

Berbeza dengan kebanyakan lebah, kelulut tidak berbahaya kepada manusia kerana tidak mempunyai sengat dan madu yang dihasilkan sangat berguna dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Selain madu, dua bahan lain dihasilkan lebah kelulut yang sangat istimewa ialah roti lebah iaitu campuran debunga dan madu, air liur selain cairan dari perut lebah boleh membantu masalah pencernaan dan fermentasi.

Bahan kedua pula ialah propolis iaitu resin atau getah daripada batang pokok dan buah yang dihasilkan oleh kelulut untuk melindungi kuman, suhu melampau dan musuh. Khasiat propolis untuk merawat luka, kesuburan wanita, masalah kulit, jerawat dan selesema.

Penternakan lebah kelulut mudah dipraktikkan dan kerja memindahkan sarang ke kotak khas juga tidak memerlukan kemahiran yang tinggi serta boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Sifat serangga tersebut yang tidak mengancam manusia menyebabkan ia selamat diternak di persekitaran rumah seterusnya mampu menjana pendapatan tambahan. Potensi pasaran yang begitu baik menyuntik minat ramai pihak untuk terlibat dalam industri penternakan kelulut.

Terdapat dua jenis kelulut daripada spesies trigona yang paling popular diternak di Malaysia iaitu Heterotrigona itama dan Geniotrigona thoracica. Kedua-duanya mempunyai habitat berlainan walaupun cara pengurusan yang dijalankan agak serupa.

Kajian di beberapa negeri didapati Geniotrigona thoracica sesuai di kawasan utara Semenanjung sementara Heterotrigona itama di selatan dan amat popular di Kelantan.

Bagaimanapun, ramai usahawan menternak jenis Heterotrigona itama kerana ia lebih mudah diuruskan, jarang diserang penyakit dan produktif jika sumber makanan mencukupi.

Kebanyakan usahawan kelulut menggunakan kotak madu yang diletak di atas tunggul kayu atau dipanggil juga haif anak. Kotak tersebut selalunya dibuat lubang bulat sebesar lima sentimeter di bawahnya untuk menghubungkan antara bahagian anak dengan bahagian penyimpanan madu.


Produk kelulut

Kelulut kemudiannya akan membuat kantung untuk menyimpan madu dan akan ditutup apabila ia telah penuh. Madu kelulut akan dikutip menggunakan alat penyedut dan dikumpul dalam bekas madu.

Industri penternakan lebah kelulut yang berkembang pesat sekarang ini, bukan sahaja bertujuan menghasilkan madu, roti lebah dan propolis tetapi menerokai peluang penghasilan produk hiliran, jualan koloni, jualan peralatan lebah kelulut dan industri pelancongan tani.

Antara produk berasaskan kelulut ialah cecair propolis, pil propolis, peralatan mandian propolis dan madu kelulut, losyen dan krim muka, balm dan Crack Heal Propolis.

Produk-produk hiliran tersebut dan perusahaan jualan koloni serta peralatan lebah kelulut telah mencetus fenomena peluang menggandakan pendapatan dan pekerjaan sampingan atau sepenuh masa.

Justeru itu, Jabatan Pertanian tidak ketinggalan memainkan peranan memberi khidmat nasihat pengurusan koloni dan bantuan kepakaran kepada individu dan usahawan muda yang berminat.

Sumber: Kosmo! Online