Gedung Pakaian Online Fashionlova

Sekilas pandang, Muslimah yang memadankan busana menutup aurat tetap kelihatan anggun dalam gaya tersendiri.


Tanpa sarat dengan labuci atau batu kristal, padanan reka cipta fesyen dan rona warna bersesuaian bagaikan memberi sentuhan magis dalam menyejukkan hati orang di sekeliling, sekali gus menggambarkan kekuatan dan keindahan diri si pemakai fesyen Muslim.

Pun begitu, busana dalam fesyen menutup aurat, kadangkala sukar didapati sementelah terlalu banyak laman web yang ada sehingga pemilihan menjadi sukar.

Gedung online

Menyedari potensi besar fesyen Muslim terutamanya di negara ini, syarikat bumiputera Netxpert Sdn. Bhd. telah membangunkan sebuah portal khusus bagi memasarkan fesyen Muslim yang mengetengahkan busana wanita, lelaki dan kanak-kanak.

Pengarah Urusan Fashionlova, Amir Azam Ahmad memberitahu, kewujudan portal itu adalah untuk membantu usahawan-usahawan terutamanya pereka fesyen Muslim yang terdapat di negara ini bagi memasarkan produk mereka dalam pasaran yang lebih terbuka.

“Menerusi platform Fashionlova, para usahawan mempunyai nilai tambah alternatif untuk memasarkan produk-produk yang ingin dijual kepada pengguna dalam pasaran yang lebih meluas.

“Kami ingin bersama dalam membantu mempromosi jenama-jenama fesyen Muslim terkenal dan masih baharu di negara ini untuk diketengahkan sehingga peringkat antarabangsa,” katanya.

Amir Azam menambah, melalui portal ini, para usahawan hanya perlu membayar komisen berdasarkan penjualan produk mereka.

Ini bermakna, usahawan tidak perlu menanggung sebarang kos jika produk itu tidak dijual seperti kos operasi, pendaftaran, sewaan dan utiliti.


“Kewujudan portal ini diharap dapat membantu para usahawan yang tidak mempunyai butik fizikal dan kekangan sumber kewangan untuk memartabatkan pereka fesyen Muslim tempatan.

“Kami menyedari terdapat banyak pereka fesyen Muslim berbakat di negara ini tetapi tidak mempunyai platform dalam mengetengahkan busana mereka,” ujarnya.

Fashionlova mengutamakan ketelusan dalam perniagaan tanpa sebarang kos tersembunyi atau caj tambahan selain daripada komisen jualan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Beliau menjelaskan, keunikan yang ditonjolkan Fashionlova ialah konsep pemasaran di alam maya dan perkongsian keuntungan bersama menggunakan kaedah menang-menang untuk semua pihak.

Antara jenama yang boleh didapati dalam portal Fashionlova termasuk Merpati Putih, Erlysaa, Aisy Abaya, Ammararoses, Kloset Kita dan Aisyaridwan.

Pemilik Butik Merpati Putih, Nor Azmeera Ahmad, 23, memberitahu, dia baharu sahaja berjinak-jinak dalam bidang perniagaan fesyen kira-kira satu tahun.

“Sebagai usahawan yang baru mencari tapak dalam bidang perniagaan, platform Fashionlova memberi peluang untuk memasarkan produk dengan lebih meluas di alam maya.

“Buat masa ini, saya memiliki butik fizikal di Alam Avenue 2, Shah Alam, Selangor dan menggunakan platform media sosial seperti Facebook serta Instagram untuk menjual produk-produk jenama Merpati Putih,” ujarnya.

Mudah dikendalikan

Nor Azmeera menjelaskan, portal itu mudah dikendalikan kerana para usahawan hanya perlu memuat naik katalog produk mereka.

Dia memberitahu, salah satu kelebihan Fashionlova adalah pihak pengurusan tidak mengehadkan berapa banyak produk yang boleh dimuat naik bagi tujuan promosi untuk paparan pengguna.

“Butik Merpati Putih menawarkan pelbagai produk Muslim dengan konsep moden dan terkini bagi golongan wanita serta lelaki termasuk shawl, jubah dan gaun.


“Ia dapat membantu saya memantau setiap produk dan stok dengan lebih sistematik serta teratur dalam urus niaga pembelian kelak,” ujarnya.

Selain itu, portal tersebut juga akan memaklumkan kepada para usahawan secara automatik apabila terdapat produk yang dipaparkan dibeli oleh pembeli.

Katanya, sistem itu memudahkan pengiriman produk agar tidak terlepas pandang, lebih pantas dan efisien kerana menjimatkan masa.

Dalam pada itu, pemilik jenama Erlysaa, Elni Marlisa Md. Isa, 32 yang menjalankan perniagaan melalui laman media sosial menambah, portal itu banyak memberi manfaat kepada usahawan sepertinya.

“Sebagai seorang suri rumah yang perlu membahagikan masa dalam menguruskan rumah tangga dan perniagaan, platform Fashionlova ini banyak membantu pembahagian masa dan pemasaran.

“Saya tidak perlu lagi terkejar-kejar dalam mempromosi produk jenama Erlysaa kerana portal ini dapat membantu memaparkan pelbagai produk Muslim dengan pantas,” ujarnya.

Elni Marlisa yang menjalankan perniagaan di rumah menambah, platform e-dagang merupakan alternatif terbaik dalam memasarkan produk dengan lebih meluas.

Bagaimanapun, dia berkata, ia menuntut modal yang tinggi untuk membangunkan laman web.

Justeru, kemudahan portal Fashionlova dapat mengurangkan kos pembikinan laman web terutamanya kepada usahawan-usahawan baharu.

Sementara itu, Amir Azam menambah, Fashionlova turut menggunakan kaedah pemasaran secara berperingkat untuk pengagihan keuntungan bersama semua pihak termasuk para pembeli.

“Sama ada para usahawan, rakan niaga, industri penyumberan dan pembeli akan berkongsi keuntungan daripada komisen jualan yang diterima.

“Rakan niaga ini hanya perlu mempromosikan katalog Fashionlova kepada kenalan mereka mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Setiap produk yang dijual hasil daripada inisiatif rakan niaga dan rangkaian mereka mengikut peringkat,” katanya.

Beliau berharap portal yang merupakan gedung fesyen Muslim itu akan mencapai sasaran 100 jenama menjelang bulan puasa kelak.

Katanya, Fashionlova juga bercadang mengembangkan sayap di negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura dalam jangka masa panjang.

“Kami juga masih mengalu-alukan para usahawan yang ingin turut serta dalam mempromosikan produk mereka di portal ini dengan mengunjungi laman web FashionLova,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online