Go Dimensions - Usahawan Teknologi Termuda India

Dua kanak-kanak mengenakan pakaian formal bersama kasut dan sut kelihatan begitu comel namun setelah mereka mula bercakap orang ramai di hadapan mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada mereka.

Siapakah mereka ini hinggakan orang ramai mendengar kanak-kanak berusia 14 dan 12 tahun bercakap mengenai apa yang mereka lakukan?

Merekalah usahawan termuda di India yang juga merupakan pasangan adik beradik - Sharavan Kumaran, 14, dan adiknya, Sanjay Kumaran, 12, merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Go Dimensions yang merupakan pembina aplikasi yang mula ditubuhkan dua tahun lalu di dalam bilik tidur mereka di Chennai, India.

Pada tahun lalu di majlis SAP TechEd di Banglore India mengenai teknologi dan pendidikan, mereka berdiri di hadapan 5,500 penonton bercakap mengenai idea mereka dan pelan perniagaan yang mereka jalankan.

Sanjay berkata, usahawan berjaya memerlukan idea yang kuat selain daripada keyakinan diri, pelan perniagaan dan juga sumber kewangan dalam merealisasikan idea yang ada.

“Kami mulakan dengan bantuan kewangan daripada ibu bapa kami,” kata Sanjay dengan penuh yakin.

Dua tahun sebelum ini, Sharavan dan Sanjay telah membina 11 aplikasi yang boleh didapati di Apple Store dan juga platform Google Android iaitu Play Store.

Aplikasi mereka sudah mendapat 35,000 muat turun.Aplikasi pertama mereka dinamakan Catch Me Cop yang dilancarkan di Apple App Store pada tahun 2014 dan mendapat maklumbalas yang mengagumkan.

Permainan tersebut adalah penjenayah cuba untuk melepaskan diri daripada penjara dan dikejar di lokasi berbeza seperti gurun, pantai dan kawasan berpusing.

Sharavan dan Sanjay kedua-duanya bersekolah di kelas 9 dan 7 di Sekolah Antarabangsa Vael’s Billabong di Chennai turut menyatakan, bekas Perdana Menteri India, Abdul Kalam pernah datang ke sekolah dan menyukai permainan yang mereka bina itu.

Disebabkan mereka masih lagi di bawah umur 18 tahun, Go Dimensions tidak boleh didaftarkan di bawah nama mereka mengikut undang-undang India dan syarikat itu didaftarkan dibawah nama tujuh orang ahli keluarga mereka yang lain.

Hari ini, bilik kosong yang ada di rumah mereka di Chennai dijadikan tempat beroperasinya Go Dimensions yang dilengkapi dengan komputer Mac dari Apple, iPads dan Samsung Galaxy Notes.

Selepas menyiapkan kerja sekolah, mereka akan mula meluangkan masa untuk membina aplikasi dengan bermain dengan kod serta mencuba aplikasi mereka untuk memantau tahap kestabilannya.

Baru-baru ini mereka melancarkan permainan video aksi diberi nama Extreme Impossible 5 (EI5)Sharavan berkata, mereka membina lebih 150 aplikasi untuk tujuan percubaan sebelum melancarkan aplikasi pertama, Catch Me Cop dan aplikasi tersebut diterima oleh Apple selepas seminggu ia dihantar kepada mereka.

“Itu membuatkan kami berasa gembira dan teruja dan meneruskan lagi membina pelbagai aplikasi lain seperti Alphabet Board yang mendapat kedudukan lima terbaik di App Store.

“Kami amat mengagumi pengasas Apple, Steve Jobs kerana banyak memberi inspirasi kepada apa yang kami lakukan kini. Dia boleh dianggap bapa kepada apa yang kita ada hari ini dalam mengubah cara berkomunikasi,” katanya.

Selain itu, mereka juga amat berterima kasih kepada bapanya Kumaran Serendran yang merupakan Pengarah sebuah syarikat antivirus dan keselamatan Symantec yang banyak memberi tunjuk ajar mengenai pengaturcaraan dan juga bermain dengan pelbagai jenis gajet.

“Kami berharap lebih 50 peratus pengguna telefon pintar di India menggunakan aplikasi yang mereka cipta sebelum mereka membina aplikasi yang memerlukan orang ramai untuk membayar aplikasi itu,” kata Sharavan.

Sumber: Utusan Online