Goruner - Mobile Apps Khidmat Penghantaran

Kira-kira pukul 11 malam, Mohd. Yunus Yusof, 53, perlu menghantar satu dokumen penting dari rumahnya di Balakong, Selangor kepada seorang rakan sejawat.

Dokumen penting itu perlu sampai ke tangan kenalan yang menetap di Rawang, Selangor sebelum keesokan hari.

Pada awalnya, Mohd. Yunus terfikir untuk menggunakan perkhidmatan pos laju. Namun, penghantaran itu pasti mengambil masa beberapa hari sebelum tiba di lokasi yang ditetapkan walhal dokumen tersebut perlu sampai segera kepada penerimanya.

Dia yang resah dan menjadi tidak keruan dengan perkara itu lantas bertanya kepada rakan-rakan terdekat melalui laman sosial dan aplikasi WhatsApp kalau-kalau ada cara penyelesaiannya.

“Dokumen itu merupakan dokumen sulit berkaitan operasi pejabat yang perlu dihantar kepada rakan sekerja. Walau apa cara sekalipun, dokumen itu mesti sampai ke tangannya.

“Selepas pertanyaan yang saya ajukan, seorang kawan lelaki memperkenalkan saya dengan satu aplikasi online yang dikenali sebagai Goruner. Ia merupakan satu perkhidmatan untuk menghantar barang pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Menurut Mohd. Yunus, dia pertama kali mencuba untuk menggunakan aplikasi online itu setelah dimuat turun melalui Google Play Store di telefon pintarnya.

“Pada mulanya, saya agak kekok ketika menggunakan aplikasi Goruner ini. Selepas mendaftar dan mengisi maklumat berkaitan maklumat ringkas barangan yang ingin saya kurier, enam individu yang bekerja sebagai penghantar barang atau runner memberikan respons selang beberapa minit kemudian.

“Masing-masing membuat bidaan harga. Apa yang paling menarik, harga minimum ditentukan sendiri oleh pelanggan mengikut jenis kenderaan dan barangan yang ingin dihantar,” terangnya.

Milik bumiputera

Ketua Pegawai Eksekutif Goruner, Mohamad Mahadhir Yunus, 24, berkata, aplikasi itu dibangunkan 100 peratus oleh syarikat milik bumiputera.

Tambahnya, Goruner adalah satu aplikasi yang hanya boleh dicapai dan digunakan melalui telefon pintar.


Buat masa ini, ia hanya boleh dicapai menerusi Android atau Google di Google Play tetapi akan dikembangkan kepada versi iOS untuk pengguna Apple pada masa akan datang.

“Goruner berfungsi sebagai platform untuk menemukan antara pelanggan yang ingin menghantar dokumen atau barangan ke destinasi tertentu dengan runner atau rider yang sentiasa bersedia untuk melaksanakan tugasan itu.

“Oleh kerana aplikasi yang diperkenalkan ini menemui pelanggan pada 1 April lalu, Goruner hanya menjalankan operasi penghantaran barangan di sekitar Lembah Klang untuk tujuan pembangunan sepanjang tiga bulan pertama ini,” katanya ketika ditemui di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Tambah Mohamad Mahadhir, Goruner tidak memiliki atau menyediakan apa-apa kenderaan bagi operasi yang dijalankan.

Ini kerana, ia hanya merupakan satu platform maya yang hanya bertujuan untuk menemukan pelanggan yang memerlukan khidmat penghantaran pada bila-bila masa dengan runner yang berdaftar secara sah.

Melalui Goruner juga, pelanggan boleh memilih empat jenis mod kenderaan yang disediakan mengikut jenis, fizikal barangan dan lokasi penghantaran.

Antaranya, menggunakan empat mod pengangkutan utama darat seperti motosikal, kereta, van dan lori.

Melalui aplikasi yang lengkap dengan pelbagai fungsi itu juga, Goruner boleh dikembangkan kepada mod pengangkutan lain seperti bot atau kapal terbang bergantung kepada lokasi dan permintaan pada masa hadapan.

Istimewanya, pengguna boleh menghantar semua keperluan seperti dokumen atau surat menggunakan motosikal ataupun lari bagi barangan besar menerusi aplikasi Goruner itu.

Goruner turut menyediakan perkhidmatan yang menuntut pelanggan untuk menggunakan runner bagi tujuan membeli barangan keperluan seperti makanan, ubat-ubatan dan barangan runcit.

Keunikan

Ditanya mengenai keunikan dan keistimewaan Goruner, Mohamad Mahadhir menyatakan, runner akan membuat bidaan terhadap setiap penghantaran atau kerja yang diminta para pelanggan dan mereka boleh memilih mana-mana runner disukai.

Sebagai contoh, pelanggan boleh memilih runner yang menawarkan harga paling rendah dalam bidaannya selain berdasarkan ulasan yang dilakukan pengguna terdahulu.

“Harga minimum yang ditetapkan bagi keempat-empat mod kenderaan adalah RM7 bagi motosikal, RM20 (kereta), RM35 (van) dan RM45 (lori) tanpa mengira jarak perjalanan.

“Bayaran kerja kepada runner adalah secara tunai melalui harga bidaan minimum daripada pelanggan. Menerusi kaedah unik yang dilaksanakan seperti ini, runner yang bekerja secara freelance atau separuh masa ini, mereka tidak perlu menunggu seminggu atau sebulan untuk mendapatkan bayaran hasil kerja yang telah dilaksanakan.

“Bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat pada masa hadapan, Goruner akan mengadakan kempen secara agresif untuk memberi peluang dan pendaftaran kepada runner wanita yang berminat. Ia bagi menambah pendapatan seiring untuk memenuhi permintaan pelanggan wanita,” ujarnya.

Beliau memberitahu, aplikasi Gorunner telah dimuat turun sebanyak 120 kali oleh pengguna hanya dalam tempoh satu minggu pelancarannya.

Kemunculan Goruner di pasaran secara tidak langsung mewujudkan banyak peluang pekerjaan sama ada secara sepenuh masa mahupun separuh masa kepada mereka yang memerlukan.

Syarat yang paling utama ialah mempunyai kenderaan sendiri tidak kisah sama ada motosikal, kereta, van ataupun lori serta wajib mempunyai lesen memandu dan mendaftar dengan Goruner secara online dengan percuma.

“Ia secara tidak langsung boleh membantu ramai orang yang mungkin tidak mempunyai pekerjaan atau baru sahaja diberhentikan kerja termasuk lepasan sekolah mahupun universiti untuk menjana pendapatan.

“Goruner dibina untuk pasaran global kerana banyak syarikat kecil atau industri kecil dan sederhana (IKS) di seluruh dunia yang memerlukan khidmat penghantaran dokumen ataupun barangan,” katanya yang bakal meluaskan pasaran aplikasi itu ke Indonesia pada fasa kedua tahun ini.

Bagi seorang runner, Mohd. Azrei Fathorrahman, 27, yang bekerja secara sambilan di bawah Goruner, selain dapat menjana pendapatan tambahan, pekerjaan itu juga memberikan pengalaman untuk berurusan bersama pelanggan.

“Saya akan melakukan tugas sebagai runner setiap kali tibanya waktu cuti. Kebiasaannya, dalam seminggu saya akan mendapat cuti selama dua hari dan hari itu saya akan bertugas untuk menghantar barang-barang yang dipesan.

“Goruner juga sesuai untuk mengisi lapang daripada tidak berbuat apa-apa selain menjadi platform untuk kita berjinak-jinak dalam dunia perniagaan secara online,” katanya yang bekerja sepenuh masa sebagai pembantu hotel.

Sumber: Kosmo! Online