Hitam Putih Karya Johari Ibrahim

Olesan atas kanvas polos membentuk satah-satah pergerakan manusia memetik gitar dan ukelele dengan penuh perasaan bagai berada dalam dunia sendiri. Jauh terasing serta mengasyikkan.


Itu ekspresi 20 lukisan bertema Hitam Putih karya Johari Ibrahim dalam pameran solo sulungnya, Unplugged.

Aksi pemuzik yang sebenarnya terdiri daripada keluarga, rakan-rakan termasuk pelukis sendiri dipotretkan dalam pelbagai gaya dan ragam.

Dari sudut perspektif Johari, 44, warna hitam dan putih diumpamakan sebagai kata putus. Tidak kira jawapannya ya atau tidak, baginya itu adalah sebahagian daripada konsep kehidupan.

Selain melukis, anak kelahiran Bukit Piatu, Melaka itu turut meminati muzik yang dianggap sebagai teman rapat yang sukar dipisahkan dengan dirinya.

“Melukis perlu ikhlas. Sama seperti bermain muzik unplugged. Tanpa bantuan kesan bunyi, kita menghasilkan gaya dan bunyi tersendiri.

“Saya berasa sangat gembira dan relaks bila melukis siri ini. Seperti capai sahaja gitar dan mula bermain tanpa pembesar suara dan mikrofon. Itulah hidup saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu kota.

Baginya, melukis figura bermain gitar adalah penumpuan dan pemerhatian objek sekeliling secara santai. Ia sekali gus menghidupkan suasana nyaman muzik segar melalui bentuk rupa serta gaya komposisi subjek mengikut gerak hatinya.

Ujarnya, kombinasi seni tampak dan seni bunyi itu menggunakan bermacam- macam jenis pensel sebagai peralatan asas. Bermula dengan pensel 2B, pensel mekanikal, pensel arang hinggalah larikan hitam pekat pensel 8B selain diceriakan pensel warna.


Paling asas

Katanya, setiap idea lukisannya bermula dengan lakaran menggunakan peralatan paling asas iaitu pensel. Ia juga melambangkan latihan tanpa jemu bermain dengan garisan yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk karya hakiki.

“Walaupun saya boleh mencantan dengan cat minyak, arkilik, cat air dan mahir dengan medium arang, saya tidak pernah berhenti melakar menggunakan pensel dan pen kerana itulah titik permulaan kesemua karya saya.

“Kadangkala saya juga berasakan tidak perlu berkata-kata. Ikhlas saya berharap agar para pemerhati dapat mendengar alunan muzik menerusi karya saya,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Sumber: Kosmo! Online