Hobi Lumayan Pengumpul Barangan Antik

Bermula memenuhi minat mengumpul barangan antik 27 tahun lalu, kini hobi itu bertukar kepada perniagaan barangan lama yang menguntungkan.


Bagi mendapatkan barangan seperti mesin jahit, basikal tua, kipas, radio, setem, buku dan majalah lama, Hairol Budiman Abu Bakar, 45, sanggup merayau keluar masuk kampung di beberapa negeri untuk bertemu pemilik barangan yang diminati.

Menurutnya, pada peringkat awal, dia mengumpul barangan antik hanya untuk simpanan sendiri, namun disebabkan ramai rakan ingin membeli, dia terpaksa mengalah dengan menjualnya.

Katanya, tapak perniagaannya di Taman Kerang, Kuantan, dibuka setiap hujung minggu manakala bagi pelanggan tetap, mereka datang ke rumahnya untuk memilih sendiri barangan diminati.

“Pengalaman menerima bayaran RM150,000 hasil jualan 300 keping setem beberapa negara asing menjadi kenangan paling manis yang tidak mungkin saya lupakan.

“Saya bagai bermimpi dan tak percaya menerima bayaran sebanyak itu daripada dua pelancong Singapura yang seolah-olah tak masuk akal. Sejarah lima tahun lalu itu membolehkan saya membeli sebuah rumah,” katanya yang pernah digelar orang gila kerana mengumpul barangan antik.

Hairol Budiman yang kini bertugas sebagai wardar di Penjara Penor, Kuantan, berkata bermula sebagai pengumpul barangan antik, dia tidak menyangka akan menjadi sebutan dalam kalangan peminat barangan itu dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, ada beberapa peminat tegar barangan antik membuat tempahan secara tetap. Sebagai contoh, seorang lelaki warga emas yang sanggup membeli setiap piring hitam miliknya tanpa berfikir panjang.

“Saya mendapatkan barangan antik dengan beberapa cara seperti membeli daripada beberapa pusat kitar semula, individu yang menawarkan terus kepada saya selain mencari di kawasan kampung.

“Bekalan majalah dan buku lama termasuk setem pula diperoleh daripada pekerja pusat kitar semula di negeri ini. Saya akan bayar kepada mereka mengikut perjanjian dipersetujui,” katanya yang tidak pernah malu dengan pekerjaan sambilan itu.

Dia yang sebelum ini turut menghasilkan rantai kunci dan menjualnya di tapak ekspo dan pekan sehari di beberapa negeri memulakan aktiviti jualan barangan antik dengan hanya bermodalkan RM500.

Katanya, aktiviti menjual barangan antik mampu memberi pendapatan lumayan apabila harga setiap produk ditawarkan bergantung kepada kos serta keunikan dan lazimnya antara RM5 hingga RM2,500.

Hairol Budiman berkata, pada peringkat awal pembabitannya, dia lebih menumpukan kepada usaha mengumpul basikal tua pelbagai jenama dari dalam dan luar negara.

“Saya pernah mengumpul 75 unit basikal. Setiap basikal akan dibersihkan, dibaiki dan seterusnya dicat. Ia mendapat permintaan tinggi bukan saja daripada kalangan warga emas tetapi juga generasi muda.

“Sepanjang 27 tahun terbabit mengumpul barangan antik, banyak pengalaman dilalui, antaranya pernah diganggu makhluk halus yang dikatakan ‘bersama’ kacip sirih milik seorang penduduk Sungai Lembing.

“Kejadian itu membuatkan saya kini lebih berhati-hati setiap kali ditawarkan barangan antik terutama diperbuat daripada tembaga dan tembikar. Keris lama juga tidak terkecuali mempunyai ‘penunggu’ yang akan mengganggu pemiliknya.

“Bagi mengelak kejadian sama, saya mengambil pendekatan mendapatkan maklumat daripada pemilik senjata lama seperti keris, lembing dan parang bagi mengetahui alasan mereka mahu menjual barangan itu,” katanya.

Hairol Budiman berkata, dia mempunyai rakan dalam dalam kalangan peminat barangan antik di seluruh negara dan mereka sentiasa berhubung untuk bertukar maklumat selain menjalankan perniagaan secara tukar barang.

Katanya, dia sedia berkongsi pengalaman dengan individu meminati hobi sama kerana aktiviti itu dianggap unik dan tidak semua orang memiliki jiwa sama.

Sumber: myMetro