Homestay Kontena Sekinchan Padi Box

Cuaca mendung dengan titisan gerimis yang mengiringi perjalanan kru Jurnal pada pagi itu memberi sedikit kegusaran terhadap perasaan sementelah tugasan pada hari tersebut akan dibuat di tengah bendang.


Perjalanan menuju ke lokasi dari Kuala Lumpur ke Sekinchan yang memakan masa hampir sejam 30 minit itu juga sedikit terduga apabila terpaksa menempuh kesesakan jalan raya memandangkan orang ramai mula sibuk untuk keluar bekerja.

Kegusaran melihat keadaan cuaca yang mendung beransur-ansur hilang sebaik tiba ke lokasi dan melihat pemandangan sawah padi yang terbentang luas dan menghijau tatkala menjejakkan kaki di Sekinchan Padi Box, Sekinchan, Selangor.

Berada di pekarangan kawasan inap desa itu, anak mata seakan terpukau melihat keindahan kawasan tersebut menghijau dek suburnya tanaman padi yang diusahakan oleh penduduk tempatan sebagai sumber rezeki.

Dikelilingi sawah

Keunikan inap desa itu kelihatan terserlah walaupun dari jauh kerana menggunakan warna-warna terang yang dicat pada bahagian dinding penginapan jenis kontena itu.

“Tidak susah untuk mencari Sekinchan Padi Box kerana kami menggabungkan pilihan warna-warna kontra dan mudah dilihat pengunjung,” ujar Wilson Teh, 32, yang merupakan penyelia dan rakan kongsi kepada perusahaan inap desa itu.


Dibangunkan di atas kawasan seluas 650 meter persegi, Sekinchan Padi Box yang dikelilingi sawah padi menjanjikan kelainan terutama kepada warga kota yang tidak pernah melihat tanaman padi secara dekat.

Gabungan warna-warna kontra seperti merah, hijau, jingga, biru dan merah jambu ternyata berjaya membangkitkan suasana ceria kepada pengunjung yang ingin menginap di situ.

Terbahagi kepada dua tingkat, pada tingkat bawah, dekorasi ringkas menghiasi bahagian lobi kecil dengan susunan perabot seperti sofa dan meja kecil yang diletakkan sebagai ruang menunggu untuk tetamu.

Permainan warna-warna terang pada kertas dinding menjadi konsep utama dalam menata rias bahagian muka dinding bagi membangkitkan emosi teruja untuk menginap di dalam kontena.

Kemasan lantai kayu berona coklat lembut memberikan sentuhan semula jadi yang berjaya membangkitkan keunikan pada ruang dalam kontena tersebut.

Susunan pokok bunga plastik yang diletakkan di dalam pasu-pasu kecil menjadikan suasana ruang lobi kelihatan segar sesuai dengan keluasannya yang terhad agar tidak tampak terlalu sarat.

Menjengah ke bahagian ruang atas, hiasan bingkai gambar yang memaparkan aksi beberapa aktres klasik Hollywood menghiasi dinding pada tangga sewaktu naik ke tingkat dia.

Aplikasi tangga metal berona putih membawa pengunjung ke tingkat dua yang menempatkan ruangan riadah yang turut menyediakan kafe mini bagi kemudahan para pengunjung.

Susunan replika antik seperti kamera lama, telefon, pemain radio dan seterika memberi sisi klasik pada dekorasi yang tersusun kemas pada rak.

“Kami membeli replika barangan antik ini di luar negara untuk dijadikan sebagai perhiasan dalam Sekinchan Padi Box,” ujar Wilson.

Dua bahagian

Terbahagi kepada dua bahagian, pengunjung boleh memilih untuk bersantai di bahagian dalam atau bahagian terbuka sambil menikmati pemandangan kawasan sawah padi yang menghijau.

Menjenguk ke bahagian belakang inap desa yang mempunyai jumlah keseluruhan kontena sebanyak 20 buah itu, terdapat padang rumput yang menghijau dibuat di tengah kawasan untuk dijadikan kawasan bermain atau untuk menjalankan sebarang aktiviti luar.


Sebanyak lapan buah bilik kontena disediakan untuk tetamu yang diwarnakan dengan warna-warna berbeza bagi menampilkan kelainan.

Mengintai di dalam salah satu bilik yang mampu memuatkan empat orang itu, aplikasi warna pastel menghiasi bahagian dalam ruang kamar bagi menonjolkan suasana tenang dan sejuk.

“Penggunaan warna-warna lembut seperti kuning sedikit sebanyak mampu mempengaruhi keadaan dalam ruang yang terhad,” jelas Wilson.

Susunan perabot asas seperti katil dan meja kecil cukup memberikan keselesaan kepada para pengunjung yang ingin berehat dan merasai pengalaman tidur di dalam kontena.

Sambil menghirup udara segar, pengunjung boleh memilih untuk bersantai pada waktu petang di pondok yang diperbuat daripada palet kayu yang terletak di sebelah inap desa.

Susunan bantal-bantal kecil dengan rona garang memberi impak pada suasana ruang santai itu yang dihias ringkas, namun masih kelihatan menarik.

Pengunjung juga boleh menggunakan khidmat menunggang basikal yang turut disediakan untuk bersiar-siar mengelilingi kawasan sawah padi dengan kadar sewa serendah RM10 sahaja.

Sumber: Kosmo! Online