Idea Unik Pentas Peragaan Bergerak

Kesesakan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur bukan satu pemandangan yang asing.

Namun, stesen yang lazimnya dibanjiri dengan warga kota yang keluar membeli-belah di sekitar kawasan Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman itu kelihatan berbeza daripada norma petang Ahad lalu.

Setelah mengimbas masuk token perjalanan sehala dan menuruni anak tangga setinggi 10 meter dengan corak bertemakan Cabaran Pendakian Kinabalu, deria pandangan Nadia Yusoff, 22, disajikan dengan sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum itu.

Kelihatan dengan jelas di bahagian kiri ruang legar yang memisahkan laluan ke Ampang dan Kelana Jaya itu, kelibat sembilan orang gadis sunti yang dibalut persalinan cantik pelbagai palet sedang berbaris.

Senyum manis yang menghiasi wajah sang gadis itu dilemparkan kepada semua pengunjung yang melewati kawasan tersebut.

Tiba-tiba, Nadia terdengar suara pengacara majlis, Hazlina Churai Mee yang lantang menggamit kehadiran pengunjung untuk menyaksikan pertunjukan fesyen yang julung-julung kali diadakan di stesen LRT.

“Pada mulanya, saya berasa sangat terkejut sebaik mendapat tahu ia adalah sebuah pertunjukan fesyen.

“Namun, saya sukakan konsep penganjuran yang santai tanpa penyediaan sebarang pentas peragaan dan kedudukan model yang dekat dengan pengunjung,” ujarnya.

Pelajar tahun akhir jurusan pendidikan awal kanak-kanak di sebuah universiti awam itu memberitahu, pendekatan seperti itu memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat lebih dekat persalinan hasil curahan ilham pereka fesyen tempatan.

Tambahan pula, fokus peragaan yang berlangsung pada hari itu ialah persalinan Muslimah yang anggun dan moden, namun masih mengekalkan predikat sederhana.

Unik dan segar

Ia sangat praktikal dan dekat dengan keperluan fesyen semasa pengunjung yang kebanyakannya terdiri daripada golongan kelas sederhana.

“Idea pertunjukan fesyen seperti ini sangat unik dan segar terutamanya bagi orang kebanyakan seperti saya. Selalunya, pertunjukan fesyen hanya berlangsung di tempat eksklusif dan dihadiri golongan tertentu,” tambahnya.

 
Salah seorang pereka fesyen yang mengambil bahagian pada hari itu, Norshuhada Shaharuddin, 36, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif label pakaian TiaLacrissa memberitahu, dia tidak teragak-agak untuk mengambil bahagian dalam peragaan fesyen yang pertama kali diadakan di dalam tren LRT bergerak itu.

“Saya percaya, peluang seperti ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pemasaran jenama di bawah kelolaan saya iaitu TiaLacrissa kepada masyarakat umum.

“Justeru, sebaik ditawarkan oleh penganjur, saya tidak melepaskan peluang untuk menjadi salah seorang pereka yang mempamerkan rekaan pada peragaan bergerak yang julung-julung kali diadakan ini,” katanya.

Jenama TiaLacrissa memasuki pasaran pada 2013, namun operasi perniagaan hanya dijalankan secara online sebelum ini.

Secara tidak langsung, penganjuran acara peragaan seperti itu dilihat sebagai batu loncatan yang mampu melonjakkan jenama tersebut dalam pasaran fesyen tempatan.

Memilih untuk mengetengahkan dua koleksi baju kurung untuk hari raya yang bakal menjelma tidak lama lagi, TiaLacrissa menjadi alternatif label pakaian Muslimah patuh syariah terkini yang berada dalam pasaran.

Menurut Norshuhada, baju kurung yang direka khusus untuk persembahan pada hari itu mengambil masa selama hampir dua bulan untuk disiapkan.

Berkualiti

Ia menggunakan fabrik berkualiti tinggi tetapi boleh didapati pada harga berpatutan, selaras dengan golongan sasaran pembeli jenama itu.

“Persalinan kemuncak ialah pakaian yang dipakai pada peragaan sejauh sepuluh meter di stesen LRT Masjid Jamek. Justeru, saya memilih untuk memperagakan varia kurung terbaharu rona biru firus yang dipadankan dengan selendang kuning mustard.

“Ia belum dibuka untuk jualan umum, namun saya jangka koleksi itu akan menerima permintaan yang menggalakkan,” tambah Norshuhada.

 
Turut berkongsi keterujaan pada acara yang sama ialah model bagi jenama pakaian riadah Muslimah, Raqtive, Norhanifwaheda Md. Sukkre, 33.

Model sambilan itu menggayakan koleksi jersi terbaharu keluaran jenama tersebut iaitu jersi merah gelap dipadankan dengan tudung sarung rona kelabu muda pada peragaan di dalam tren.

Peragaan kemuncak di LRT Masjid Jamek pula menyaksikan Norhanifwaheda menggayakan jersi biru gelap dan tudung sarung biru diraja.

Akuinya, dia berasa terkejut kerana tidak pernah terlibat dalam sebarang acara seumpamanya sebaik dihubungi penganjur acara, HCM Biz Services untuk menjadi sebahagian daripada kru peragaan itu.

Melihat peluang itu sebagai cabaran, dia memilih untuk menerima tawaran tersebut dengan besar hati.

“Peluang untuk menggayakan pakaian riadah Muslimah dalam acara peragaan bergerak membuka perspektif berbeza dalam diri saya. Orang ramai memusatkan perhatian mereka dan mendekati saya untuk merasai sendiri kualiti fabrik jersi serta tudung yang diperagakan.

“Secara tidak langsung, saya gembira kerana dapat menyempurnakan objektif penganjuran acara iaitu supaya orang ramai dapat melihat dan merasai sendiri naskhah fesyen Muslimah secara dekat,” ujar pekerja sepenuh masa di sebuah syarikat pemaju terkemuka di ibu kota itu.

Pada acara peragaan dalam tren, barisan model akan berjalan di sepanjang koc bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan merasai tekstur fabrik persalinan yang digayakan.

Pada masa sama, pengacara majlis akan memberikan penjelasan ringkas berkaitan setiap pakaian yang diperagakan.

Sumber: Kosmo! Online