Impian Jutawan Budak Setinggan - Datuk Rosyam Nor

Penerbit drama, Datuk Rosyam Nor berkata, desakan hidupnya sebagai seorang anak setinggan memaksa dia dan keluarga berkongsi sebatang berus gigi selain sumber makanan yang terhad.

 
Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 49, berkata, dia dan keluarga juga berkongsi selimut, tuala mandi dan memakai kain sarung daripada guni.

“Pernah anda bayangkan bagaimana sulitnya kehidupan kami sebagai anak setinggan ketika itu? Realitinya, itulah yang kami sekeluarga lalui. Selain berkongsi sebatang berus gigi dan selimut, kami juga menggunakan kain karung guni selain turut berkongsi sehelai tuala mandi.

“Paling meruntun hati saya sehingga sekarang saat melihat sendiri bagaimana emak mengambil upah membasuh baju-baju jiran berbangsa Cina dan India dengan upah yang tidak seberapa demi menampung perbelanjaan kami sekeluarga,” ujarnya sebak.

Rosyam mengimbas detik-detik sukar kehidupannya yang lahir di perkampungan setinggan di Bangsar, dekat sini sebelum meraih kejayaan seperti hari ini.

Pengalaman itu adalah sebahagain daripada kisahnya yang terkandung dalam buku biografinya berjudul 'Impian Jutawan Budak Setinggan' yang dilancarkan di Paparich Nexus Bangsar, di sini, Selasa.

 
Rosyam  berkata, buku yang bersifat motivasi itu adalah sebuah karya perkongsiannya untuk masyarakat agar tidak mudah ampuh dengan segala permasalahan hidup sebaliknya terus bangkit mencipta kejayaan.

“Kalau diikutkan, dari 10 tahun lepas lagi saya sudah berniat mahu menulis (buku) tetapi tiada kepakaran. Sehingga diberi peluang untuk mencoret di sebuah ruang khas di dalam sebuah akhbar, saya mula belajar menulis sehingga lahirnya karya ini.

“Saya pasti tidak ramai yang tahu di sebalik kejayaan dan populariti insan bernama Rosyam Nor hari ini, suatu ketika dia pernah bergelar anak setinggan yang sangat daif hidupnya.

"Jadi buku inilah yang akan menvisualkan perjalanan hidup saya. Bukan meraih simpati, tetapi sebagai perkongsian motivasi,” katanya.

Kata Rosyam, dengan pelancaran buku tersebut, syarikatnya iaitu Suhan Movie Production kini melangkah ke satu cabang perniagaan baru dalam dunia  penerbitan iaitu Suhan Publication di mana buku itu menjadi karya terawal dilancarkan sebelum 20 buah karya lain menyusul.

Buku yang mengandungi 200 muka surat itu sudah dipasarkan di semua cawangan MPH, EMAG Book Distributors dan Hasani Book Store dengan harga RM24.90 (Semenanjung Malaysia) dan RM26.90 Sabah & Sarawak.

Bagi yang berminat menjana pendapatan sebagai ejen jualan buku secara dalam talian, boleh layari Facebook dan Instagram rasmi, Suhan Publication atau email ke suhanpublication@gmail.com

Sumber: mStar