Inovasi Materna Pants Hospital Kemaman

Sekumpulan doktor dan jururawat di Hospital Kemaman mencipta satu inovasi baharu dengan menghasilkan seluar bersalin atau materna pants khusus untuk memberi lebih keselesaan kepada ibu-ibu yang dalam proses melahirkan anak.

Rekaan dengan elemen lebih sopan yang menutup aurat bagi menjaga maruah mereka mengikut tuntutan Islam itu dihasilkan sebagai satu alternatif selaras dengan konsep mesra ibadah yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan.

Kumpulan empat doktor termasuk seorang doktor pakar selain dibantu empat jururawat itu menghasilkan ciptaan tersebut pada 2014 yang kemudiannya dibentang kepada Kementerian Kesihatan.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Bahagian Perubatan), Dr. Saifur Rahman Muhammad berkata, pihak kementerian telah memberi persetujuan pada tahun lalu untuk diperluaskan ke hospital-hospital seluruh negara.

“Buat masa ini seluar yang turut dilapisi dengan skirt itu kini diguna pakai di Hospital Kemaman yang melibatkan 40 pasang,” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Persekutuan.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Hospital Kemaman, Dr. Mohd. Noh Karim dan Dr. Faizan Irdawaty Endut yang mengetuai kumpulan inovasi itu.

Kata beliau, pihaknya menjangkakan kemudahan itu akan turut disediakan dan diguna pakai di semua hospital di negeri ini dalam tempoh setahun hingga dua tahun akan datang.


“Pada masa ini, Jabatan Kesihatan negeri dalam proses perundingan dengan pihak berkenaan iaitu Redicare bagi membolehkan pakaian atau seluar wanita bersalin ini digunakan,” katanya.

Menurut Saifur Rahman, setiap seluar itu dijual pada harga RM90 dan terserah kepada ibu-ibu bersalin untuk membuat pilihan sama ada ingin membelinya atau sebalik.

“Mereka boleh beli materna pants ini dan selepas proses kelahiran, mereka boleh bawa balik. Kalau tak mahu beli pun tidak mengapa, selepas digunakan, seluar ini akan diserahkan semula kepada pihak hospital,” jelasnya.

Dalam pada itu, Faizan Irdawaty pula berkata, ibu bersalin juga mempunyai pilihan sama ada ingin menggunakan seluar tersebut ataupun kain sarung.

Menurutnya, pada masa ini, kesemua set seluar ibu bersalin berkenaan yang disediakan di Hospital Kemaman mampu memenuhi keperluan 100 orang ibu.

Sumber: Utusan Online