Inovasi Pertanian Bandar I-Aquaponic

Pertanian bandar kini makin mendapat sambutan selepas diperkenalkan di bandar utama di seluruh dunia yang mempunyai kawasan penanaman terhad.

Bagi menggalakkan penduduk bandar berkebun dalam ruangan yang minimum termasuk di balkoni, pelbagai teknik serta produk penanaman diperkenalkan.

Penghasilan produk inovasi untuk pertanian bandar bukan saja penting bagi memastikan kelestarian alam semula jadi di kawasan bandar, malah membantu penduduk menanam tumbuhan yang boleh dimakan di rumah.

Menyokong situasi itu, penyelidik daripada Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Shahrizal Dolah bersama pelajar tahun akhir fakulti berkenaan mencipta produk diberi nama ‘I-Aquaponic’.

Menurutnya, hasil penyelidikan yang memakan masa setahun itu adalah reka bentuk inovasi penanaman bandar dalam rumah dengan gabungan antara tanaman pokok dan hidupan akuatik.

“Produk ini turut direka mengikut cita rasa penduduk bandar dengan ciri yang mudah dan senang dipasang serta dialihkan.

“Produk ini direka khas untuk tanaman bandar berskala kecil dan biasanya memerlukan ruangan minimum. Jadi produk gabungan dua fungsi itu dapat membantu dan menggalakkan penanaman dalam kalangan penduduk bandar.

“Selain memberi dua fungsi dalam satu masa, produk berkenaan turut menepati keselesaan penduduk bandar dengan ciri modularnya yang senang dipasang serta dialih mengikut kesesuaian,” katanya.

Katanya, produk itu direka mengikut reka bentuk penyertaan bagi mengenal pasti keperluan pengguna selain mengikut kesesuaian susunan rumah mereka.


“Ada beberapa faktor reka bentuk produk dikenal pasti, antaranya jenis tanaman yang ingin ditanam di persekitaran bandar serta model ruang dalaman atau luaran bagi pertanian bandar di Malaysia.

“Selain itu, penerimaan pengguna dalam konsep produk pertanian bandar dan mereka bentuk idea serta proses garis panduan dalam merealisasikan produk pertanian bandar turut menjadi faktor penghasilan produk ini,” katanya.

Dr Mohd Shahrizal berkata, berkebun sebagai hobi untuk mengisi masa lapang dan mengawal tekanan turut menjadi sebahagian faktor reka bentuk produk berkenaan.

“Penyelidikan yang menelan belanja RM5,000 itu dalam proses untuk dipatenkan bagi tujuan pengkomersialan,” katanya.

Penyelidikan dan penghasilan produk berkenaan turut dianggotai Raja Ahmad Azmeer Raja Ahmad Affendi, Asraff Abdul Rahman, Saiful Hasley Ramli dan Ahmad Zulkarnain Rosli.

Sumber: myMetro