Jana RM400,000 Dengan Tiga Jari

Hampir sepanjang hidupnya, sosok lelaki berkulit cerah itu terhenyak di atas kerusi roda. Seluruh tubuhnya tidak mampu digerakkan kecuali tiga jari tangan, namun kini mampu bergelar usahawan wangian jenama sendiri dan menggaji 30 pekerja.

 
Taufan duka lalu bagai meniup Mohd. Khairul Nizam Wahiddin, 27, ke puncak. Nestapa lampau bak terlindung di balik wajah polosnya yang ceria. Biarpun keadaan fizikalnya masih serupa, tetapi hidupnya tidak lagi sama.

Sebagai manusia, dugaan hidup Mohd. Khairul Nizam yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) amat perit. Jiwanya sering terusik kala melihat insan lain boleh berjalan, mengalih tangan, menyuap makanan serta mengurus diri sendiri.

Sejak umur 10 tahun, dia sudah hilang upaya berdiri dan berjalan kerana penyakit yang sehingga kini tak diketahui. Bersekolah setakat darjah enam, saat remajanya banyak memencil diri di rumah setinggan keluarganya di Pelabuhan Klang, Selangor.

Jatuh kerusi roda

Bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Ketika berusia 15 tahun, dia terjatuh dari kerusi roda semasa disorong dua adiknya sehingga kedua-dua kaki yang asalnya lembik patah.

Saat itu, ibu bapanya pulang ke kampung kerana urusan kecemasan. Tubuh longlainya berjam-berjam tersembam di atas simen di luar rumah sehingga dihurung semut.

“Apabila kedua-dua kaki saya patah, urat-urat menjadi amat sensitif. Sejak itu, tangan saya juga langsung tidak boleh bergerak melainkan ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah kanan.

“Selama kira-kira tiga tahun, saya sukar diangkat ibu untuk diuruskan dan mandi.

“Minyak wangi adalah sahabat saya yang sekurang-kurangnya membuatkan saya selesa untuk bergaul dengan keluarga. Saya tidak boleh hidup tanpa minyak wangi,” katanya yang mesra disapa sebagai Nizam ketika ditemui Kosmo! di pejabat syarikatnya di Shah Alam, Selangor.

Bicaranya itu bagai membuka cerita tentang dekatnya minyak wangi dengan dirinya. Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Dewamor Sdn. Bhd. yang berpendapatan bulanan antara RM200,000 hingga RM400,000 itu juga menyifatkan minyak wangi adalah haruman kasihnya buat keluarga dan keluarga buatnya.

     
Nizam paling akrab dengan ibunya, Norizan Ahmed Jaaffar, 47, yang setia mendampinginya. Sayu hatinya apabila melihat kesusahan ibu menjaganya dan membanting tulang meringankan beban bapanya, Wahiddin Mohd. Arif, 53, yang bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan tidak seberapa demi menyara Nizam dan lima adiknya.

Semasa Nizam darjah dua, ibunya bekerja di kedai buku sekolah untuk mencari pendapatan di samping melihat keadaannya. Walaupun dia boleh berjalan pada masa itu, namun kakinya terlalu lemah sehingga adakalanya perlu dipapah.

Selepas kakinya patah dan sukar diuruskan, Nizam bagai terpisah langsung dengan dunia luar. Dia banyak terlantar di atas tilam toto.

“Keluarga saya memohon untuk mendapatkan bantuan katil hospital daripada pihak berkenaan tetapi kami tidak dapat atas alasan ayah dan ibu bekerja. Orang sering menyindir OKU mudah dapat bantuan sedangkan saya sudah cacat macam ini pun susah untuk dapat apa yang diperlukan.

Bergolok-bergadai

“Saya cacat, saya tidak mahu menyusahkan ibu dan ayah untuk memberikan saya apa yang mereka tidak mampu, sejak itu timbul keazaman bahawa saya yang perlu membantu diri sendiri,” ceritanya dengan linangan air mata.

Katanya, pada usia 18 tahun, dengan wang yang disedekahkan saudara-mara yang pernah menziarahinya dia memulakan perniagaan kad tambahan prabayar (top up).


Selepas berniaga top up, Nizam meraih pendapatan dengan memasuki pelbagai peraduan di radio, televisyen dan akhbar.

Ibunya, bahkan telah menggadai seutas gelang dan sebentuk cincin untuk melanggan Astro Max bagi memperbanyak peluang menyertai peraduan. Menerusi peraduan Nizam mampu meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

“Dari pagi ke malam saya hanya menonton televisyen untuk menyertai pelbagai peraduan seperti Fulusmania, Durian Runtuh dan macam-macam lagi. Dengan sedikit keupayaan menaip sistem pesanan ringkas (SMS), itulah yang dimanfaatkan. Kemudian, saya meminta ibu untuk membelikan komputer riba untuk saya meneroka internet,” katanya.

Nizam kemudian mempelajari Google AdSense. Dia menguasainya sehingga mampu menjadi guru secara maya kepada lebih 100 anak murid. Pada masa itu, menerusi blog dan video blognya, dia sudah memperoleh pendapatan sehingga RM60,000 sebulan.

Nizam kemudian menjadi ejen jualan minyak wangi syarikat-syarikat antarabangsa dengan memasarkannya di laman eBay sebelum membeli sejumlah minyak wangi daripada syarikat-syarikat tersebut untuk dijual ke pasaran tempatan menerusi Facebook.

Dengan modal RM6,000, Nizam menjadi teruja apabila pada hari pertama sahaja dia sudah mampu memperoleh RM800 dan meningkat sehari ke sehari.

Nizam sebenarnya sudah memiliki syarikat sejak lima tahun lalu, namun baru tahun lalu, Nizam berani memunculkan diri setelah mengikuti program motivasi oleh seorang pakar motivasi terkenal.
Rendah diri

Selama ini, kerana rasa rendah diri yang begitu menebal, dia bukan sahaja berniaga tanpa bersemuka dengan para pelanggan bahkan pekerja-pekerjanya. Dia hanya memantau mereka dengan lapan saluran kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah.

Bahkan, sejak tahun lalu juga dia sudah memberanikan diri untuk membeli kerusi roda automatic power wheelchair berharga RM65,000 yang dikatakan hanya digunakan oleh dua individu di negara ini.

“Sebelum ini ada hasrat untuk membelinya tetapi memandangkan ia automatik, saya takut tersilap mengawalnya sehingga masuk longkang. Sejak ada kerusi roda ini, saya rasa seperti mempunyai kaki. Saya bebas ke mana-mana tanpa perlu ibu menyorong lagi.

“Kali pertama menaikinya, saya gembira sehingga sengaja membiarkan tubuh saya mengenai daun-daun. Walau tidak dapat menyentuhnya, saya ingin merasai daun pada tubuh,” katanya.

Pada 3 Mac lalu, sejarah terlakar apabila minyak wangi jenamanya sendiri, Pink Floral by Dewamor dilancarkan.

“Saya percaya Allah jadikan seseorang itu mesti ada sebabnya. Semua orang boleh berjaya walau apa jua keadaannya. Saya dikurniakan akal dan tiga jari yang berfungsi mampu membangunkan syarikat serta mengubah hidup keluarga,” ujar Nizam.

Jelasnya, pengalaman menjual minyak wangi antarabangsa membantunya mengetahui kriteria minyak wangi dambaan ramai lalu terhasillah jenama sendiri, Pink Floral.

“Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan. Saya merancang untuk menghasilkan minyak wangi khusus untuk lelaki selepas ini, selain mempunyai Wisma Dewamor,” katanya.

Layanan sinis

Norizan pula berkata, dia dan suami sanggup bergolok-bergadai selagi termampu demi Nizam agar anaknya itu dapat menikmati kehidupannya.

“Dulu, dengan duit sikit-sikit yang ada, kami belikan telefon bimbit yang murah, langgan broadband, langgan Astro, belikan komputer riba, demi dia.

“Saya perlu sentiasa bersamanya kerana untuk menggunakan telefon, komputer riba dan tempat kawalan kerusi roda automatiknya, saya yang kena letakkan tangannya di situ untuk dia menaip dan mengendalikannya. Dia tidak boleh ambil apa-apa sendiri,” katanya.

Wanita tabah itu bukan sahaja terpaksa menelan layanan sinis manusia terhadap Nizam bahkan pernah dimaklumkan doktor nyawa anak sulungnya itu cuma bertahan sehingga umur 19 tahun.

“Saya sering nasihat dia, jangan fikirkan soal (ramalan) mati itu. Orang muda, tua, sihat, sakit semua pun boleh mati bila-bila masa sahaja. Yang penting, semasa hidup ini, kita gunakanlah sebaik mungkin,” katanya.

Sebagaimana ajal, jodoh juga rahsia Tuhan. Meskipun tidak tahu sejauh mana kemampuan Nizam untuk berumah tangga, Norizan berkata, dia tidak menghalang sekiranya anaknya itu ditakdirkan ingin berkahwin.

Sumber: Kosmo! Online
Image: Blog SunshineKelly