Jaringan Industri Kejuruteraan Dalam Pertanian

Dalam menghadapi cabaran baru era globalisasi, kebergantungan ekonomi negara perlu dipelbagaikan, bukan berdasarkan satu sumber saja.

Antara penyumbang utama ekonomi negara ialah bidang pertanian.

Sumbangan teknologi kejuruteraan banyak membantu meningkatkan hasil dan kualiti pertanian.

Bagaimanapun, kelestarian memaju dan meningkatkan produktiviti dalam bidang pertanian memerlukan kerjasama pihak industri, golongan akademik melalui penyelidikan, pembangunan inovasi, pembangunan modal insan yang sesuai serta pengkomersilan.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, sebagai contoh industri sawit menjadi antara tunjang kepada ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, bagi meningkatkan sektor sawit negara, UPM menghasilkan hampir 30 jentera berteknologi tinggi dan mampu milik seperti galah penuaian aluminium, pemungut tandan buah sawit, penuai buah sawit bermotor dan sebagainya.

“Sejak pelaksanaan Dasar Pertanian Negara (DPN) pada tahun 1984, sektor pertanian mengalami transformasi daripada sektor berproduktiviti rendah dan tradisional kepada berdaya saing serta menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) lebih tinggi.

“Sehingga kini, tiga DPN sudah dilaksanakan bagi membolehkan sektor pertanian mengekalkan peranannya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.

“Terkini, Dasar Agromakanan Negara yang digubal bagi memberi tumpuan kepada pembangunan komoditi makanan yang menjurus kepada pencapaian jaminan bekalan serta meningkatkan aktiviti pemprosesan dan pendapatan eksport pertanian bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jaringan Industri Kejuruteraan Dalam Pertanian dan Pelancaran Mercu Tanda Tapak Kelahiran Kejuruteraan Pertanian Malaysia di Fakulti Kejuruteraan UPM, Serdang.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Universiti yang juga mantan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UPM Tan Sri Dr Mohd Noor Ismail, mantan Naib Canselor UPM ke-4 Prof Emeritus Dr Mohd Zohadie Bardaie, Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM Prof Madya Dr Azmi Yahya dan Presiden Persatuan Jurutera Pertanian Malaysia (MSAE) Prof Madya Dr Rosnah Shamsudin.

Dr Aini berkata, hala tuju strategik yang digariskan bagi mencapai objektif Dasar Agromakanan Negara ialah untuk menjamin bekalan makanan negara, meningkatkan sumbangan industri agromakanan dan melengkapkan rantaian nilai.

“Selain itu, memperkasa modal insan, memantapkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan penggunaan teknologi, mewujudkan persekitaran perniagaan yang diterajui sektor swasta dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan.

“Modal insan berkualiti antara faktor yang menyokong transformasi dan pemodenan industri pertanian. Pemerkasaan modal insan memerlukan kurikulum dan latihan yang efektif.

“Pembangunan kedua-dua aspek berkenaan memerlukan kerjasama daripada akademik dan industri dengan pihak akademik menyediakan kurikulum sesuai berdasarkan input daripada industri,” katanya.

Di UPM, katanya, Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem (BKPB) dibentuk bagi memenuhi keperluan tenaga kerja terlatih dan berkemahiran.

“Ia dalam menyelesaikan masalah berkaitan reka bentuk peralatan pertanian dan kenderaan luar jalan, reka bentuk robot, reka bentuk sistem pengendalian dan rawatan hasil buangan pertanian.

“Melindungi kualiti dan pengurusan air permukaan dan bawah tanah, mereka bentuk kemudahan tanaman dan ternakan serta pengurusan perladangan dan sumber asli menggunakan teknologi maklumat,” katanya.

Sumber: myMetro