Jubah Lelaki D’Loris Exclusive

Minat yang mendalam terhadap fesyen jubah mendorong sepasang suami isteri muda, Nor Yasarah Mohd. Nor, 26, dan suaminya Sohail Fazal Wahid, 24, untuk mengeluarkan jenama pakaian yang menyasarkan khusus kaum lelaki.

Inspirasi yang diperoleh sewaktu mengunjungi pusat menjual pakaian di beberapa negara seperti Dubai dan Turki membuatkan pasangan itu bertekad untuk menumpukan pada rekaan pakaian lelaki, sekali gus beralih daripada pasaran arus perdana yang sering mengetengahkan fesyen wanita.

Sejak dilancarkan pada November tahun lalu, jenama D’Loris Exclusive menawarkan 10 rekaan jubah lelaki yang sangat menarik, versatil dan sofistikated tetapi masih mengekalkan sisi praktikal pakaian ibadah Muslim.

Selain jubah lelaki, D’Loris Exclusive turut menyediakan pilihan kurta dan blaus wanita yang diberi nama Syifa.

Menjadikan pelakon Sharnaaz Ahmad sebagai duta, D’Loris Exclusive menjanjikan kualiti terbaik bergaya dan selesa kepada lelaki yang mementingkan fesyen dalam nada bersederhana.

D’Loris Exclusive menggunakan fabrik berkualiti daripada Jepun dan kain kapas Arab yang sesuai dengan iklim setempat serta festival perayaan yang sentiasa mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Fabrik kapas berkilat yang digunakan bukan sahaja untuk membantu melancarkan pengudaraan tetapi efek kilauan menimbulkan aura eksklusif pada setiap helaian jubah itu.

Antara yang mencuri perhatian ialah jubah lelaki Walid. Didatangkan dengan 10 warna mewah dalam palet pastel dan terang, pesona maskulin sang jejaka jelas terpancar pada setiap pemakaiannya.

Antara signatur jubah Walid ialah belahan pada bahagian tengah hadapan diperincikan dengan kelepet manakala hujung lengan pula dilapisi dengan sejalur fabrik tona kontra.

Konsep minimalis

Selain itu, D’Loris Exclusive turut menamakan salah satu koleksi jubah sempena nama duta mereka, Sharnaaz Ahmad.

Jubah dalam lima rona tanah iaitu hitam, kelabu, coklat, kuning kemerah-merahan dan putih itu tetap mempertaruhkan konsep minimalis pada rekaannya.

Sentuhan perincian piping kelabu pada bahagian tengah hadapan dan lengan berbutang melengkapkan konotasi gaya sederhana jubah Sharnaaz secara umumnya.

Koleksi menawan daripada D’Loris Exclusive boleh dimiliki dengan mengunjungi butik yang terletak di Jalan PJU 5/20E, The Strand, Kota Damansara, Selangor atau menerusi laman web atau akaun Instagram DLoris_Exclusive pada harga antara RM180 hingga RM240.

Sumber: Kosmo! Online