Kacang Sedap Wany’s Snacks

Semuanya bermula daripada kegemarannya mengunyah kacang sebagai kudap-kudapan pada waktu petang. Tetapi kadang-kadang kacang yang dibeli di kedai kebanyakannya kurang rangup dan agak keras.

 
Justeru, wanita yang dikenali sebagai Mawarni Namli mula terfikir untuk menyelesaikan masalah orang ramai yang inginkan kacang sedap dan rangup sebagai kudap-kudapan dan ingin mencari kacang yang dapat memenuhi selera mereka.

Oleh kerana keinginan yang begitu kuat dan yakin mampu memasarkan kacang yang dihasilkan sendiri, dia mula mencari kacang berasaskan resipi sendiri.

Berbekalkan 10 kilogram kacang, dia bersama suami Mohd Sazali Zain Rashid menjalankan operasi pembungkusan di rumah.

“Ketika itu itu kami tinggal di rumah flat dan hampir keseluruhan ruang tamu dijadikan tempat menyimpan stok. Kami menggunakan balang kecil dan semua balang ini dihantar kepada pelanggan keesokan harinya.

“Tidak sangka hanya menerusi pemasaran Facebook dan Instagram, Kacang Sedap kami mula mendapat sambutan dan menjadi pilihan ramai.

“Ramai memberi maklum balas Kacang Sedap kami sangat rangup. Kacangnya pula mudah dikunyah dan memberikan kesedapan tersendiri sehingga mampu dihabiskan pada masa itu juga,” katanya.

Dari sehari ke sehari, permintaan Kacang Sedap mula bertambah. Daripada menyimpan stok di ruang tamu sehingga memenuhi keseluruhan bilik tidur, keadaan bertambah huru-hara apabila dia dan suami hanya tidur dua jam sehari.

 
Ditambah pula dengan sistem stokis dan ejen yang dibina menyebabkan stok perlu disediakan dalam jumlah yang banyak.

“Niat saya mudah saja, saya ingin membantu wanita menambah pendapatan mereka.

“Jika suri rumah yang sebelum ini tiada pendapatan sampingan, menerusi sistem ejen mereka mampu meraih pendapatan sekitar RM100 sehingga RM300 sehari hanya dengan menjual kacang. Ia satu jumlah yang besar terutama bagi mereka yang baru saja memulakan perniagaan,” katanya.

Oleh kerana tempahan semakin banyak sekitar 3,000 balang sehari, Mawarni dan suami tidak mampu lagi menanggung semua kerja operasi yang dilakukan berdua.

Mereka mula mencari rumah teres dua tingkat di Bangi bagi menyediakan ruang penyimpanan yang lebih besar.

Malah mereka juga mula mengambil pekerja sambilan di rumah bagi mempercepatkan urusan pembungkusan dan penghantaran barang.

Pemasaran yang dijalankan secara berkesan menyebabkan dalam masa yang cepat Kacang Sedap mula digilai ramai.

Ini memaksa dia mengumpul hampir 1,000 stokis dan ejen dengan jumlah balang 3,000 sehari di bawah syarikat Wany’s Snacks.

Oleh kerana ruang dalam rumah yang tidak dapat memenuhi jumlah kacang yang semakin meningkat, Mawarni dan suami mula mencari kedai dua tingkat supaya semua urusan pembungkusan dan pentadbiran dapat dijalankan secara lebih teratur.

“Pada April 2015, kami dapat menyewa lot kedai dua tingkat di Kajang. Sebaik saja berpindah ke sini, tidak sangka tempahan untuk Ramadan tahun lalu saja meningkat sehingga 50 tan sebulan.

“Tempahan yang terlalu banyak ini menyebabkan bahagian kilang tidak dapat menyediakannya mengikut jadual. Ini menyebabkan kami terpaksa memulangkan duit stokis dan ejen semula,” katanya.

 
Bagi menambah baik produk Kacang Sedap, Mawarni mula memikirkan untuk menukar bentuk bekas yang lebih kecil bagi memudahkan pelanggan memegangnya dan ia nampak lebih menarik.

Malah dia juga menambah produk kacang daripada satu jenis saja kepada kacang licin dan kacang pedas.

Ini bagi memberikan pilihan kepada pelanggan merasai kepelbagaian kacang yang disediakan Wany’s Snacks.

Bermula dari bawah

Melihat kesungguhan wanita ini memajukan perniagaannya sejak zaman persekolahan, wanita kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini sememangnya gemar berniaga. Ia diwarisi daripada ibunya yang menjual kuih di kampung.

Oleh sebab itu, sebaik saja menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam jurusan perakaunan dia memulakan perniagaan menjual tudung, membuka restoran dan menjual beberapa produk orang lain tetapi semuanya tidak berhasil.

Sebaik saja melangsungkan perkahwinan, Mawarni mula tercari-cari perniagaan yang mampu melonjakkan dirinya ke satu tahap berbeza.

“Alhamdulillah selepas mengikuti program berkaitan keusahawanan, saya mula yakin untuk menjenamakan Kacang Sedap bukan setakat di Malaysia malah luar negara. Apa yang penting, apa yang ingin dicapai, misi yang ingin dijayakan.

“Setiap tahun saya ada misi tertentu misalnya untuk memasarkan 280 tan kacang setahun kemudian meningkat kepada 600 tan setahun. Semua ini perlu dinyatakan dengan jelas barulah saya boleh berusaha mencapainya,” katanya.

Katanya, dia mempunyai stokis dan ejen yang sangat komited dengan apa yang dilakukan mereka. Mereka bekerja bersungguh-sungguh dan bersama-sama mencapai apa yang diinginkan.

“Oleh kerana stokis dan ejen berada di seluruh Malaysia jadi mesyuarat dan apa juga permasalahan akan dibincangkan menerusi pesanan ringkas, WhatsApp dan Telegram.

“Komunikasi alam maya memudah dan mempercepatkan semua urusan. Malah pemilihan stokis dan ejen juga dijalankan secara dalam talian,” kata anak ketiga daripada enam beradik ini.

Berpegang kepada prinsip dengan memberi lebih akan mendapat lebih, bagi Mawarni, perniagaan yang dijalankan ini bukan untuk mendapat keuntungan semata-mata tetapi untuk menambah nilai hidup orang lain.

Ramai ingin berniaga tetapi tiada modal, ada juga tidak mempunyai keyakinan tinggi.

 
“Di sini kami memberikan keyakinan dan mengajar cara berniaga sehingga akhirnya mereka mampu mendapat pendapatan sendiri. Untuk berjaya juga kena ada ilmu dan buat sehingga berjaya. Sebab itu saya tidak lokek belajar daripada guru yang mahir dalam bidang masing-masing.

“Hampir RM40,000 saya belanjakan untuk menuntut ilmu dalam perniagaan,” katanya yang berjaya menjual 780,000 botol kacang pada tahun lalu.

Ramai juga bertanya mengapa tidak mempelbagaikan produk?

Bagi Mawarni, untuk menambah produk yang lain bukanlah tidak mampu dilakukan tetapi apa yang lebih penting ialah penjenamaan.

Biarlah dia mengukuhkan dulu jenama Kacang Sedap sebelum menambah kepada makanan lain.

Ini sangat penting kerana penjenamaan akan menjadikan jenama produk dihasilkan diketahui ramai dan mendapat permintaan tinggi.

Penjenamaan seiring dengan pemasaran akan menentukan jatuh bangun perniagaan seseorang.

Ditanya cabaran dalam perniagaan, sambil tersenyum dia menjelaskan, semua perniagaan ada cabarannya.

Tetapi dia sentiasa positif dan memikirkan penyelesaian setiap masalah ini kerana kata-kata adalah satu doa, oleh itu dia sentiasa memikirkan perkara baik setiap hari.

Sumber: myMetro