Kafe Gaffe & Co - The Garage KL

Terletak di bahu Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), bangunan yang unik binaannya dengan susunan kontena bertingkat, menimbulkan rasa ingin tahu apa “isi” bangunan tersebut.

Bangunan yang dinamakan The Garage KL ini mempunyai konsep yang begitu menarik.

Garaj atau bengkel kereta, kedai berkonsepkan pop up dari pelbagai vendor dan kafe atau Gaffe & Co. di bawah satu bumbung dengan menggunakan lebih 18 kontena terpakai.

Menurut pemiliknya, Tengku Azman Tengku Chik, 42, idea membina perniagaan berkonsep sedemikian timbul untuk memberi kelainan kepada orang ramai.

Di samping itu ia menukar persepsi bosan ke bengkel kereta kerana di The Garage KL, pelbagai aktiviti dapat dilakukan seperti membeli-belah dan paling utama menikmati hidangan istimewa dari Gaffe & Co., gabungan garaj dan kafe.

“Saya bermula dengan industri automatif dengan perkhidmatan membaik pulih kereta pada tahun 2003. Kewujudan The Garage KL ini juga untuk menunjukkan perjalanan saya dalam bidang ini seterusnya menukar stigma bosan ke garaj.

[Kredit: Blog ctLiyana86]

“Kafe Gaffe & Co. dibina luas untuk keselesaan pelanggan dengan konsep santai menggunakan pelbagai barangan terbuang yang dibina semula menjadi perabot. Ia sesuai untuk makan bersama rakan-rakan mahupun keluarga dalam suasana yang tenang.

“Menawarkan menu Barat seperti pasta dan piza pada harga bermula RM15 sehingga RM25, ia bukanlah kafe semata-mata.

“Kami mementingkan kualiti hidangan selain memberi kelainan kepada pelanggan dengan pelbagai rekaan menu menarik dan berbaloi untuk setiap sen yang dibelanjakan,” ujarnya yang sentiasa berkongsi idea dengan pasukan chefnya dalam menghasilkan menu diinginkan.

Paling menjadi buruan ramai di Gaffe & Co., Grilled Lamb Loin, dimana bahagian tulang rusuk bebiri diperap semalaman dan kemudian di gril dengan api yang kuat.

Teknik ini memberikan tekstur garing di luar dan lembut di dalamnya menambahkan kesegaran kepada hidangan.

[Kredit: Blog azfar9897]

Pan Seared Dory turut menambat hati penulis dengan rasa kesegaran ikan dory yang digril tidak terlalu lama bagi mengekalkan jusnya. Ia dihidang bersama kentang lecek yang dituang sos pesto di atasnya.

Bagi penggemar keju, wajib mencuba Hawaiian Cheese Melt iaitu roti multi seed yang disapu mentega lalu diletakkan ayam yang dipotong dadu, nanas, mayonis, keju dan sedikit perisa yang kemudiannya digril.

Keju yang mencair di dalam sandwich yang di gril itu merupakan kunci utama kepada rasanya yang hebat.

Tidak terlepas dari mengikut trend terkini, Gaffe & Co. turut menyediakan pencuci mulut gabungan minuman dan aiskrim yang melimpah-limpah dihiasi dengan pelbagai snek seperti biskut, gula-gula marshmallow dan coklat yang digelar Sloppy Family.

Sumber: Utusan Online