KakakAdek Confinement Therapist

“Ketika menetap di Jeddah, Arab Saudi beberapa tahun lalu, saya sering melihat rakan-rakan yang telah melahirkan anak menghadapi kesukaran berpantang.

“Rata-rata mereka tidak mempunyai pengalaman dalam ilmu berpantang seperti urutan, bertangas dan sebagainya.

“Disebabkan tiada sesiapa yang dapat membantu, mereka terpaksa mengimport ibu masing-masing ke Jeddah dalam tempoh tersebut,” jelas Elina Ezrina Mohd. Podzi, 36.

Peristiwa tersebut lantas membuka mata Elina untuk menceburkan diri dalam bidang urutan dan perbidanan sebaik kembali ke Malaysia.

Tambahan pula dewasa ini, bidang urutan dan perbidanan kurang diceburi oleh anak-anak muda di kota memandangkan kebanyakan individu yang menceburkan diri dalam bidang itu merupakan golongan warga emas dan menetap di luar bandar.

Rawatan spa

Atas dasar minat memahami kesukaran yang dialami oleh golongan wanita, dia kemudian bersepakat untuk menawarkan servis urutan dan perbidanan, KakakAdek Confinement Therapist bersama adiknya, Eni Elina Fazlyanti Mohd. Podzi, 31, sekitar pertengahan 2013.

Sebelum ini, jelas Elina Ezrina, dia dan adiknya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam dunia tersebut memandangkan tiada seorang pun ahli keluarganya sebelum ini menceburkan diri dalam bidang urutan selepas bersalin.

Usah kata pengalaman, wanita ini langsung tidak mengenali barangan penjagaan ibu berpantang dan berurut seperti tungku, pilis, param dan herba-herba rawatan.

Bagaimanapun, disebabkan minat dan atas dasar keprihatinan untuk membantu ibu-ibu yang baharu bersalin, mereka sanggup menghadiri kursus terapi urutan dan perbidanan.

Tambahan pula, sejak kecil lagi, dia sering melihat ibunya menjalani rawatan berurut setiap kali selepas melahirkan adik-adiknya yang lain, selain kagum dengan kehebatan urutan tangan wanita-wanita yang bekerja di spa.

Dalam pada itu, menurut Eni Elina Fazlyanti, bagi tujuan tersebut, dia mengambil masa selama lima hari untuk mempelajari teknik urutan yang betul bersama bidan bertauliah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

“Pada mulanya saya belajar urutan refleksologi Cina yang biasa sahaja di sebuah pusat di Petaling Jaya.

“Bagaimanapun seorang kenalan kemudian memberitahu saya mengenai satu kelas urutan yang diajar oleh seorang bidan bertauliah di UTM,” jelasnya.

Tidak cukup dengan kursus yang ditawarkan, Elina Ezrina dan Eni Elina kemudian mengambil inisiatif sendiri dengan mendalami bidang urutan melalui pembelajaran secara eksklusif bersama bidan-bidan yang pakar.

Biarpun sebaik menghadiri kursus tersebut Elina Ezrina dan Eni Elina telah mahir dalam ilmu perbidanan, namun mereka masih lagi teragak-agak untuk menawarkan khidmat tersebut kepada orang ramai.


Eksperimen

Ia kerana, mereka merasakan pengalaman yang dimiliki masih belum mencukupi untuk dikongsi bersama orang ramai.

Perkara tersebut menyebabkan kedua-dua beradik ini mengambil keputusan untuk bereksperimentasi dan menjadikan ahli keluarganya sebagai bahan percubaan terlebih dulu.

“Selepas percubaan demi percubaan dilakukan selain mengambil kira komen daripada ahli keluarga, kami menjadi bertambah mahir dan mempunyai keyakinan diri untuk berkhidmat kepada orang ramai.

“Sebenarnya ia tidaklah begitu sukar. Asalkan tahu bahagian dan cara urutan yang betul, semuanya akan menjadi mudah,” jelasnya.

Menurut Eni Elina lagi, setiap pakej yang ditawarkan mengambil masa dua jam merangkumi pakej mandian herba, urutan bersalin, bertungku, bengkung, bertangas, berparam dan berpilis bermula dengan harga serendah RM200.

Lebih menarik, kesemua adunan ramuan herba semula jadi yang digunakan ditanam sendiri oleh kedua-dua beradik ini.

Sehingga ke hari ini, kedua-dua pasangan adik-beradik itu berjaya memberi khidmat urutan dan rawatan selepas bersalin kepada lebih 300 orang pelanggan.

Jelasnya lagi, pelanggan-pelanggan mereka tidak hanya tertumpu kepada bangsa Melayu yang popular dengan penjagaan berpantang selepas bersalin secara tradisional, sebaliknya ia turut merangkumi bangsa-bangsa lain di negara ini selain wanita dari China, Thailand dan Amerika Syarikat.

Sumber: Kosmo! Online