Karnival Usahawan Muda FiTA Preneur 2016

Pengajian dalam bidang seni kreatif bukan sahaja menjurus kepada aspek ilmiah semata-mata.

Ia juga perlu diselangi dengan kemahiran keusahawanan untuk membantu pelajar menjadi lebih produktif pada masa hadapan.

Konteks itu merupakan pendekatan baharu yang diketengahkan oleh pelajar-pelajar diploma semester lima Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila menganjurkan Karnival Usahawan Muda FiTA Preneur 2016 di Kampus UiTM cawangan Puncak Perdana, Selangor baru-baru ini.

Pengarah Program, Nur Atikah Abdullah, 21, memberitahu, mereka cuba membawakan kelainan untuk projek akhir semester lima Fakulti FiTA.

Penganjuran program itu juga merupakan langkah untuk memenuhi saranan pihak UiTM melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan tentang dunia keusahawanan.

Berbeza dengan projek akhir pelajar sebelum ini, FiTA Preneur merupakan program yang menggabungkan kesemua elemen seni kreatif dengan karnival usahawan.

“FiTA Preneur merupakan platform untuk kami memberikan pendedahan kepada pelajar fakulti ini tentang dunia keusahawanan sambil melakukan praktikal dengan melibatkan diri melalui aktiviti jualan secara langsung.

“Pada masa sama, ia juga merupakan kelainan yang ingin kami lakukan melalui projek akhir diploma semester lima yang menggabungkan elemen seni kreatif dan keusahawanan,” kata anak jati kelahiran Melaka itu.

Tambahnya, ia juga merupakan salah satu cara untuk pelajar seni kreatif membuktikan bahawa mereka bukan sahaja boleh berkarya tetapi melaksanakan aktiviti keusahawanan.

Sepanjang FiTA Preneur berlangsung pada 8 hingga 13 Mac lalu, pelbagai aktiviti diadakan melibatkan beberapa cabang dalam Fakulti FiTA.

Antaranya, pementasan teater yang dikendalikan oleh pelajar semester lima Diploma Teater, Konsert Generasi Muzik (pelajar semester lima Diploma Skrin) dan Segmen Mentor Mentee (pelajar semester dua Diploma Pengurusan Industri Kreatif).


Nur Atikah turut menyelitkan program bakat FiTA Got Talent anjuran pelajar semester empat Diploma Pengurusan Industri Kreatif dan karnival usahawan yang melibatkan lebih 30 vendor serta pelajar-pelajar UiTM.

Selain itu, antara program lain yang turut berlangsung ialah Word Of Expression, Colour Of Dart, Open Mic dan Wacana Seni bersama selebriti.

Legasi pelajar

Pelajar semester lima Program Pengurusan Industri Kreatif FiTA UiTM itu menambah, dia berharap program seumpama itu dapat diteruskan oleh legasi pelajar akan datang, sekali gus berkembang ke tahap yang lebih tinggi.

Penganjuran FiTA Preneur turut mendapat sambutan meriah apabila orang awam tidak putus-putus membanjiri karnival itu.

Paling meriah ialah karnival jualan yang menawarkan pelbagai barangan menarik seperti busana Muslimah, aksesori, jualan buku, makanan dan minuman popular di laman sosial.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk menunjukkan bakat berkaraoke di gerai Open Mic.

Menurut wakil peniaga barangan makanan Serunding Laku dan pelajar semester dua Diploma Program Teknologi Skrin UiTM, Siti Sorfina Tumirin, 19, FiTA Preneur merupakan peluang terbaik meluaskan pengalaman dalam bidang keusahawanan, sekali gus menjana pendapatan sampingan.

“Pada dasarnya, bidang seni kreatif dilihat jauh menyimpang daripada ciri-ciri keusahawanan, namun ia sebenarnya boleh dikaitkan antara satu sama lain.

“Saya memang gemar berniaga dan FiTA Preneur merupakan peluang untuk menambah pengetahuan di samping memperkenalkan produk-produk keluaran usahawan tempatan,” ujar anak kelahiran Perak itu.

Tambahnya, kehadiran pengunjung juga tidak menghampakan dan dia berpuas hati dengan hasil jualan yang diperoleh sepanjang program itu berlangsung.

Sumber: Kosmo! Online