Karya Meor Sembang Tepi Jalan

“Dalam perjalanan kehidupan, kita melalui takdir dan hijrah, musim demi musim, detik demi detik. Sebenarnya perjalanan hidup ini menarik dan perlu bersyukur serta selalu bertaubat.”

 
Itulah nukilan yang terdapat di dalam naskhah berjudul Sembang Tepi Jalan.

Naskhah coretan Meor Yusof Azidin Meor Hassan, 49, itu menceritakan tentang realiti kehidupan yang berlaku sama ada kepada dirinya ataupun masyarakat sekeliling daripada pandangan kaca matanya.

Menjalani kehidupan sebagai pemuzik jalanan di ibu kota membolehkannya memerhatikan realiti kehidupan golongan bawahan yang berjuang untuk hidup.

“Sembang Tepi Jalan adalah luahan hati tentang kehidupan dan ditulis tanpa dirancang sebaliknya apa yang terlintas di dalam otak dipersembahkan dalam bentuk cerita.

“Asas konsep buku ini adalah santai, namun ia membawa maksud yang serius,” jelasnya.

Kehidupan Meor sebagai pemuzik jalanan bukanlah sesuatu yang mudah dan dia pernah merempat dengan hidup sebatang kara.

Meor juga pernah dihumban ke dalam lokap kerana dipercayai penagih dadah kerana bermain muzik di tepi jalan.

“Saya mencari sesuap nasi dengan bermain gitar di tepi jalan dan dari situlah saya dapat melihat realiti kehidupan masyarakat kita dari yang kaya hinggalah miskin,” jelasnya.

Idea

Selain Sembang Tepi Jalan, dia juga menerbitkan tiga buah buku lagi berjudul Sembang Kehidupan, Syurga Tepi Jalan dan Gila Muzik.

“Seorang penulis perlu banyak tahu dan faham tentang apa yang hendak ditulis. Kebanyakan idea saya untuk menulis datang daripada realiti kehidupan yang saya lalui serta perhatikan.

“Ia berdasarkan isu-isu yang sering saya hadapi dan masyarakat lain. Saya suka kalau orang kita berfikir terbuka dalam menilai sesuatu isu kerana setiap isu itu adalah ilmu,” jelasnya.

Meor berkata, minatnya dalam bidang penulisan bermula sejak kecil dan dia amat minat membaca karya-karya berkaitan sastera.

Dia mula serius menulis pada 2000 dan hasil karyanya dipersembahkan ke dalam blog PestaJiwa.net.

Beberapa tahun selepas itu, hasil karya Meor yang dimuat naik ke dalam blog mendapat perhatian penerbit buku Merpati Jingga dan dia diberi tawaran untuk menerbitkannya.

“Sembang Tepi Jalan merupakan buku pertama saya yang diterbitkan pada tahun 2009. Selepas itu, beberapa judul lain turut dikeluarkan.

“Kini, saya dalam proses menulis satu lagi karya baharu dan jika diizinkan Tuhan, ia akan diterbitkan pada tahun ini juga,” jelas Meor.

Sumber: Kosmo! Online