Kerja Tangan Unik Kinesthetic Project

Minat mendalamnya dalam bidang pendawaian, pengubahsuaian juga pertukangan untuk menghasilkan produk yang jarang ditemui menjadi detik permulaan buat anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini melangkah ke hadapan dalam mengusahakan perniagaan barangan unik.


Ternyata tuah dan rezeki memihak kepada Abdul Hakim Awang Said, 26, apabila dikurniakan bakat dalam menghasilkan pelbagai barangan hasil kerja tangannya yang luar biasa.

Menurut Abdul Hakim, dia sememang minat dalam bidang pertukangan dan pengubahsuaian. Ia antara hobi yang sudah sebati dalam kehidupan hariannya.

“Segalanya bertambah serius selepas beberapa kali saya dipilih mewakili institusi pengajian tinggi dalam pelbagai pertandingan reka cipta anjuran Akademi Binaan Malaysia ketika menuntut di Institut Kemahiran Mara (IKM) dan di Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UNIKL MFI).

“Bermula dari situ, saya semakin yakin dengan kemahiran dan bakat yang dianugerahkan menjadikan saya tekad menjadikan ia sebagai kerjaya tetap,” katanya.

Abdul Hakim kini menjalankan perniagaan atas jenama Kinesthetic Project yang menghasilkan pelbagai barangan unik hasil kerja tangannya antaranya meja, kerusi, rak baju dan meja kopi, yakin apa yang diusahakan itu sesuatu yang berbaloi.

“Semua produk yang saya hasilkan mempunyai keistimewaan tersendiri dan ia mudah dipasang sendiri oleh pengguna selepas menerima produk yang ditempah.

“Apa yang saya lakukan kini pastinya seronok, namun saya perlu berfikiran kreatif dan berpandangan jauh terutama untuk menghasilkan idea sendiri dan unik,” ujarnya.


Dari segi pulangan, Abdul Hakim mengakui apa yang diterimanya kini berbaloi dan setimpal dengan usaha serta modalnya.

“Minat mendalam saya dalam meneruskan hobi ini memberi peluang saya menjadikannya sebagai kerjaya tetap. Saya juga berharap apa yang saya lakukan ini menjadi platform awal kepada belia yang mempunyai bakat melakukan perkara sama,” katanya.

Tambahnya, isteri tercinta, ahli keluarga dan rakan terdekat terutama yang mempunyai minat sama adalah antara sumber kekuatannya yang sentiasa bersamanya ketika waktu senang mahupun susah.

“Rasa puas apabila saya berjaya menyiapkan sesuatu tempahan atau produk seperti yang dikehendaki pelanggan kerana ia memberi satu pengalaman tidak ternilai pada saya,” ujarnya.

Pelbagai barangan unik hasil kerja tangan Abdul Hakim dapat dilihat di laman Instagram @kinesthetic_project.

Sumber: myMetro