Koleksi Tsyahmi White Essentials

Susuk tubuh tegap itu kelihatan begitu asyik dalam dunianya sendiri. Bertemankan pensel yang setia menari di tangan kiri, titik tumpu berpaksi sepenuhnya pada kertas putih yang terbentang di hadapan mata.


Saban hari, itulah rutin pemilik nama Tengku Mohamed Syahmi Tengku Mahmood, 26, jika tiada urusan yang menuntutnya berada di luar.

Pemilik dan pengasas label pakaian Tsyahmi yang lebih mesra disapa Syahmi itu selesa menghabiskan masa di studio miliknya yang terletak di bangunan D7, Sentul Timur, Kuala Lumpur.

Ia bagi merangka idea, mencoret lakaran, menyiapkan rekaan baharu atau sekadar menguruskan stok pakaian sedia ada yang disimpan di ruang pameran yang terletak di tingkat atas.

Mengimbas sejarah awal pembabitan dalam industri fesyen negara, pemuda yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan membesar di Kuala Lumpur itu meneruskan pengajian dalam jurusan Seni Reka Fesyen di Kolej Raffles, Kuala Lumpur selepas tamat persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John, Kuala Lumpur.

Pada 2009, dia bersama rakan sekelasnya, Jonathan Liang, dipilih oleh pensyarah untuk menyertai Malaysia International Fashion Alliance (MIFA). Dia berkongsi kemenangan bersama pasangannya itu dalam kategori Most Promosing Designer 2009.

“Itu merupakan kali pertama saya didedahkan dengan media dan penggambaran. Sejak itu, saya mengenali ramai orang hebat yang bergerak di sebalik tabir.

Prinsip

“Justeru, prinsip saya dalam industri ini adalah untuk menjadi individu yang mudah dicapai tanpa dipengaruhi latar belakang seseorang kerana ruang lingkup industri fesyen tempatan masih terlalu kecil dan cetek.

“Pada saya, ia sangat penting. Sebagai pemilik perniagaan dan pengarah kreatif yang terlibat secara langsung dalam industri, kita bukan sahaja perlu tahu bagaimana mahu berkomunikasi dengan produk tetapi juga bersama orang ramai.

“Personaliti seorang pereka merupakan cerminan rekaannya,” ujar anak bongsu daripada empat adik-beradik itu.

Kejayaan manis itu menjadi titik tolak buat anak muda tinggi lampai tersebut untuk mengeluarkan jenama pakaian sendiri iaitu Tsyahmi pada pertengahan tahun 2013.

Sesuai dengan personaliti yang ringkas dan praktikal, Tsyahmi memilih untuk mempertaruhkan konsep minimalis dalam setiap buah tangannya. Malah, Tsyahmi juga teguh dengan slogannya iaitu sophistication at its simplest form.


“Pada awalnya, segala urusan penjenamaan dan perniagaan hanya dilakukan di rumah. Pasaran pelanggan Tsyahmi juga masih kecil pada waktu itu,” kata jejaka berkulit cerah yang sangat menggemari warna biru dan menu masak lemak udang nangka muda hasil air tangan ibunya.

Kecintaan mendalam dan semangat yang tidak mengenal erti kalah telah membuka dimensi baharu dalam perjalanan seni reka fesyen Syahmi.

Akuinya, cabaran terbesar yang pernah dihadapi dalam kerjaya seni reka ialah sewaktu memulakan perjuangan membangunkan jenama Tsyahmi.

Walaupun percaya dengan bakat dan peluang yang ada, dia dibatasi kekangan sumber kewangan yang sangat terhad.

Berkat kesabaran dan kegigihan, impian untuk memiliki studio fizikal sendiri menjadi kenyataan pada bulan Mei 2015.

Tsyahmi berjaya mendapatkan suntikan dana daripada MyCreative Venture untuk mengembangkan lagi sayapnya dalam industri fesyen.

MyCreative Venture yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dilancarkan pada 2012 merupakan cabang pelaburan kerajaan bertujuan untuk merangsang industri kreatif Malaysia melalui pembiayaan strategik dan inovatif dalam bentuk pelaburan ekuiti atau hutang.

Jumlah dana yang layak diterima pengusaha jenama fesyen boleh mencapai sehingga RM2 juta, bergantung kepada keperluan dan penilaian yang diberikan barisan panel dilantik.

Bertindak sebagai pengarah kreatif, Syahmi mengusahakan jenama Tsyahmi bersama rakan kongsi merangkap perancang pentadbiran, Natalie Zainal, 30, yang merupakan rakan sekolej sewaktu belajar dahulu.

Kunci kejayaan

Kini, mereka mampu menarik nafas lega apabila memiliki lima orang pekerja dan beroperasi di sebuah studio dua tingkat yang memuatkan ruang kerja serta operasi di tingkat bawah. Tingkat atas pula dikhususkan sebagai ruang pameran koleksi pakaian sedia dipakai (RTW).

Syahmi menjadikan pesanan kedua ibu bapanya untuk mengutip pengalaman dan selalu berkongsi pengetahuan dengan para ilmuwan sebagai pendorong kepada kejayaannya.

“Mereka sering mengingatkan saya bahawa pengalaman merupakan kunci kejayaan tidak kira dalam bidang pekerjaan apa sekalipun. Ia akan membentuk peribadi seseorang menjadi lebih baik,” katanya yang teguh memegang pesanan itu sebagai azimat kejayaan.

Berbicara tentang perkembangan terkini, Tsyahmi yang terkenal dengan signatur pakaian made-to-measure iaitu tempahan khas mengikut saiz badan itu menampilkan kelainan dengan mengeluarkan koleksi pakaian hari raya sedia dipakai yang diberi nama Jala Emas.

Koleksi itu mengetengahkan konsep wayang kulit yang signifikan dengan kesenian kampung halamannya iaitu negeri Cik Siti Wan Kembang.

Antara pilihan koleksi Jala Emas ialah baju kurung moden dan jubah kembang polos dalam rona pastel.

Menariknya, seleksi kurung Tsyahmi dipelbagaikan pada tahun ini dengan beberapa rekaan baju termasuk baju panel hadapan berpotongan peplum serta baju potongan pendek polos dengan perincian lipatan di bahagian belakang.

Pilihan busana hari raya 2016 menggunakan motif pohon beringin sebagai signatur utama rekaan.

“Saya dapati banyak karya seni Kelantan tidak digilap dan dikomersialkan dengan baik terutamanya untuk konotasi fesyen, contohnya wayang kulit.

“Justeru, saya terpanggil untuk menjadikan naskhah seni itu sebagai kekuatan utama untuk koleksi baju raya pada tahun ini,” jelasnya.

Koleksi Jala Emas bakal dipasarkan menerusi gedung beli-belah dalam talian yang terkenal, Zalora tidak lama lagi.

Selain itu, buat julung-julung kalinya, Tsyahmi juga bakal mengeluarkan koleksi kemeja putih uniseks dengan nama Tsyahmi White Essentials.

“Saya sangat sukakan baju putih. Malah, ia seperti pakaian seragam buat saya. Bagi menghasilkan kelainan, saya suka bermain dengan reka bentuk, potongan dan perincian. Pada mulanya, ia diinspirasikan untuk pasaran lelaki.

“Namun, setelah dinilai kembali, saya berasakan ia juga sesuai digayakan wanita kerana konsepnya yang ringkas dan longgar.

“Koleksi kemeja putih Daily Essentials menawarkan sepuluh reka bentuk menarik dalam menampakkan bayang dan fabrik berbeza buat mereka yang gemarkan gaya ringkas seperti saya,” tambahnya penuh teruja.

Sumber: Kosmo! Online