Koperasi Rak­yat 1Negeri Sembilan Bhd - KR1NS

Penduduk di Kuala Pilah di­gesa menyertai Koperasi Rak­yat 1Negeri Sembilan Bhd. (KR1NS) yang telah ditubuhkan pada 7 Ogos tahun lalu bertujuan membentuk gerakan koperasi terbesar di negeri ini.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek berkata, KR1NS menyasarkan keahlian dalam kalangan kira-kira 1.1 juta penduduk negeri ini yang mana hanya 205,000 orang sahaja yang sudah menjadi ahli koperasi.

Beliau yang baru dilantik sebagai Duta Malaysia ke Kemboja berkata, sekiranya sasaran itu mampu dicapai, sudah tentu KR1NS akan menjadi gerakan koperasi yang terbesar di negeri ini.

“Bagi mencapai matlamat ini, saya menggesa para pemimpin di semua peringkat termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung memainkan peranan mempromosikan KR1NS.

“Dengan jumlah keahlian yang besar, sudah tentu koperasi ini mampu menawarkan pelbagai faedah dan manfaat kepada ahli-ahlinya,” katanya semasa merasmikan Program Mengkoperasikan Masyarakat Daerah Kuala Pilah.

Yang turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan, Zakaria Mat Jusoh dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd. Salleh Ma'amor.

Sementara itu, Zakaria berkata, pihaknya akan menjelajah ke seluruh kawasan Parlimen di negeri ini bagi mempromosikan KR1NS.

Sehingga kini, katanya, usaha tersebut telah dilakukan di Parlimen Seremban dan Kuala Pilah.

“Kita bercadang menubuhkan urusetia koperasi ini di setiap pejabat Parlimen bagi memudahkan orang ramai menjadi ahli,” ujarnya.

Beliau memberitahu, mereka yang menyertai KR1NS dikenakan fee masuk sebanyak RM10 dan syer sebanyak RM100.

Untuk tahun ini, jelasnya, pi­haknya menyasarkan keahlian sehingga 20,000 orang berbanding kira-kira 600 ahli ketika ini.

Sumber: Utusan Online