Koperasi Sekolah Disaran Urus Kantin

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyarankan kerajaan supaya memberi peluang kepada 2,335 buah koperasi sekolah di seluruh negara menguruskan kantin sekolah.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah itu amat relevan bagi memberi ruang kepada ahli koperasi sekolah meningkatkan kemahiran berniaga, di samping membantu melahirkan usahawan berjaya suatu hari nanti.

Menurutnya, koperasi sekolah berupaya untuk dipelbagaikan, selain mampu menarik ramai pelanggan memandangkan ia merupakan salah satu aspek terpenting dalam sesebuah sekolah.

“Berdasarkan penelitian yang dijalankan sejak tahun lalu, kami berpendapat keuntungan yang diperoleh menerusi koperasi sekolah ini amat luar biasa dan mampu ditingkatkan jika diberi peluang untuk mengembangkan sektor perniagaannya.

“Saya difahamkan ada sesetengah koperasi sekolah telah pun menjalankan perniagaan jualan barangan runcit seperti tepung, gula dan sebagainya.

“Oleh itu, jika dibenarkan untuk menguruskan kantin sekolah, pasti langkah itu dapat menjimatkan kos,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Koperasi Sekolah 2016.


Abdul Fattah berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hingga Jun tahun lalu, pihaknya mendapati pendapatan daripada perniagaan yang dihasilkan koperasi sekolah menjangkau RM230.2 juta berbanding RM35 bilion yang diperoleh daripada keseluruhan sektor koperasi.

“Oleh itu, saya berpendapat koperasi boleh menjalankan perniagaan yang lebih menyeluruh, selain mengambil alih pengurusan kantin di sekolah masing-masing,” katanya.

Selain itu, koperasi sekolah juga boleh menjana pendapatan sampingan menerusi aktiviti dan program yang dianjurkan pihak sekolah.

“Jika berkesan, sekolah tidak perlu lagi untuk mencari penaja atau sebagainya, koperasi sudah mampu untuk menyumbang input yang besar dalam sesuatu program yang dijalankan,” katanya.

Sumber: Utusan Online