Kuih Tradisi Melayu Subatira

Bukan semua orang Melayu mahir membuat kuih tradisional, jika ada pun pastinya rasanya tidak seasli seperti orang-orang dahulu.


Bahannya susah didapati dan cara pembuatannya yang leceh juga antara faktor kuih tradisional semakin jauh di hati penggemarnya tambahan pula masyarakat kini lebih tertarik mencuba resipi kuih moden yang mudah serta cepat.

Namun keunikan dan keistimewaan kuih Melayu itu menarik minat ibu muda, K Subatira, 27, untuk belajar membuatnya daripada ibunya, M Rukumani, 56, yang menjualnya di pasar harian di Johor Bahru.

Subatira berkata, membesar dalam perkampungan Melayu di Ulu Tiram, Johor Bahru membuatkan budaya Melayu termasuk makan pakainya sudah sebati dalam keluarganya.

Pada mulanya, ibunya hanya menjual kuih tradisi kaum India, namun disebabkan ramai orang Melayu di sana ibunya belajar membuat makanan Melayu.

“Bermula daripada menjual karipap, sambutan yang diterima amat menggalakkan, jadi ibu jual pula kuih seri muka, lopes, onde-onde dan kaswi.

Ibu belajar dengan jiran-jiran dan ada juga yang mencubanya sendiri.

“Ibu tahu buat 16 jenis kuih Melayu dan saya pula tahu buat separuh daripadanya tapi kami tak gunakan telur kerana kami vegetarian.

“Saya dan abang banyak bantu ibu buat kuih dan meniaga. Jadi sedikit sebanyak tahu juga buat kuih Melayu,” katanya yang kini tinggal bersama suami dan keluarga mentua di Kuala Garing, di sini, selepas berkahwin kira-kira dua tahun lalu.

Selain mempelajari resipi kuih tradisional daripada ibunya, dia juga turut mencuba resipi sendiri dan mengolah mengikut citarasanya.

Terima tempahan

Malah kata Subatira, kehidupannya selepas bersama keluarga baharu juga tidak jauh beza apabila menu nasi lemak disediakan setiap minggu mengikut permintaan keluarga mentua.

“Menu mereka sebelum ini banyak kepada masakan India dan bila saya berpindah ke rumah mereka nampaknya mereka juga suka masakan Melayu.


“Selain masak untuk keluarga saya juga jual di kedai berhampiran dan kalau ada tempahan kenduri atau majlis kahwin saya buat juga. Sebelum ini saya ada juga menjual kuih di tepi jalan tapi lepas ada anak kecil, saya buat kuih hanya secara sambilan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah untuk bergaul dengan masyarakat Melayu kerana dia juga bersekolah di sekolah kebangsaan.

“Saya ada ramai kawan Melayu, saya pun ada baju kurung juga.

“Masa sekolah dulu saya jual nasi lemak dari tingkatan 3 hingga 5 dan kawan-kawan Melayu pun beli sebab kami vegetarian,” katanya.

Menu kegemaran keluarga mentua Ibu mentuanya, M Nalini, 57, berkata, Subatira banyak menguruskan hal makan mereka sekeluarga sementara dia pula menjaga cucu-cucu.

“Saya pun suka masakan Melayu sebab menunya tak jauh beza dan kami juga sukakan manisan. Setiap hujung minggu, saya minta dia masak nasi lemak sebab dah jadi menu kegemaran kami sekeluarga.

“Cucu-cucu pun suka makan. Jadi kalau rasa teringin makan saya minta dia masak sebab masakan Melayu saya tak mahir,” katanya.

Sumber: Sinar Harian Online