Kursus Asas Pembuatan Coklat Usahawan Coklat Buatan Tangan

Perniagaan tanpa ilmu ibarat menjerut leher sendiri ke tali gantung. Duit yang banyak tidak mencukupi jika usahawan itu tidak mampu menguruskan perniagaan dengan baik.

 
Lebih menyedihkan apabila usahawan itu tidak mempunyai ilmu yang cukup dalam bidang perniagaan yang dijalankan hingga membuatkan modal yang dikeluarkan hangus begitu saja.

Bagi memantapkan ilmu usahawan terutama perniagaan yang dilakukan dari rumah, banyak kursus kemahiran, pengurusan mahupun pemasaran yang dilaksanakan organisasi tertentu.

Misalnya, Kursus Asas Pembuatan Coklat Usahawan Coklat Buatan Tangan anjuran Lembaga Koko Malaysia yang diadakan baru-baru ini, di Alor Setar, Kedah.

Tenaga pengajar, Mohd Khairul Adzami Ibrahim berkata, perusahaan coklat di Malaysia masih baru jika dibandingkan dengan negara lain.

“Justeru, peluang untuk menceburi industri baru ini masih terbuka luas tambahan masyarakat hari ini begitu mementingkan produk makanan halal dan sumber yang meyakinkan.

“Kami mengajar cara pembuatan coklat yang boleh dilakukan di rumah dan tidak memerlukan modal besar untuk memulakan perniagaan ini.

“Kaedah coklat buatan tangan ini juga tidak memerlukan mesin yang bernilai ribuan ringgit. Namun, dalam setiap perniagaan pasti ada cabarannya, sama seperti coklat,” katanya.

Bagi membantu pengusaha coklat mengatasi cabaran di dalam industri berkenaan, kursus itu turut mengajar cara pengendalian dan pemasaran produk secara lebih meluas.

Kursus yang berlangsung dua hari itu mengajar peserta mengenai teori dan amali bagi memastikan ilmu yang disampaikan dapat difahami dengan mudah.

Menariknya, sesi pembelajaran ini terbuka kepada semua warga Malaysia yang berminat dengan yuran berpatutan.


Kursus berkenaan sangat dialu-alukan kepada individu yang terbabit dalam bidang keusahawanan pembuatan makanan, bakeri dan kek.

Individu yang tidak mempunyai kemahiran asas dalam perusahaan makanan juga boleh menyertai kursus berkenaan jika berminat dalam pembuatan coklat.

“Hanya 20 orang yang diterima dalam satu sesi pembelajaran bagi memberi keselesaan kepada peserta terutama ketika sesi amali pembuatan coklat.

“Kebiasaannya, kursus berlangsung dua hari, namun jika ada permintaan dan peserta yang ramai kami akan melanjutkan tempoh kursus,” katanya.

Menurutnya, selain belajar buat coklat secara manual, kursus itu juga dapat menggalakkan dan membangunkan usahawan coklat buatan tangan dalam menceburi industri kecil dan sederhana, sekali gus membantu menjana pendapatan.

Bukan itu saja, kursus ini juga mampu mendidik orang ramai mengenal coklat dan khasiat yang terkandung di dalamnya.

Manfaat ilmu baru Minat yang mendalam dalam bidang makanan membuatkan Normah Izura Mahmud, 32, begitu bersemangat untuk mendalami ilmu berkaitan coklat buatan tangan.

Justeru, selepas mendapat maklumat dan mengetahui mengenai kelas coklat berkenaan di laman sosial Facebook, dia tidak mahu ketinggalan.

“Saya mahu menambah ilmu berkaitan coklat memandangkan saya memang terbabit secara langsung dalam bidang dekorasi kek yang banyak menggunakan coklat sebagai hiasan.

“Bukan kek saja, malah kebanyakan biskut yang dihasilkan juga menggunakan coklat. Justeru, peluang kursus yang dibuka kepada usahawan ini tidak boleh dilepaskan kerana banyak ilmu berguna yang boleh dipelajari,” katanya.

Bekas pelajar Kolej Komuniti Sungai Petani dalam bidang perhotelan dan katering ini mempunyai kedai bakeri sendiri, Red Cherry Bakery yang memberi fokus kepada pembuatan kek, roti dan biskut.

Katanya, banyak manfaat yang diperoleh sepanjang mengikuti kursus ini bukan saja mengenai cara membuat coklat, tetapi khasiat yang terkandung di dalamnya.

Selain itu, peserta juga dapat mengenali kualiti dan pelbagai jenis coklat selain diajar teknik mengendalikan coklat dengan betul.

“Saya gembira kerana suami, Imran Tajuddin Hashim yang juga pengurus dan rakan kongsi perniagaan memberi dorongan untuk menyertai kursus ini.

“Sesiapa saja boleh menyertainya asalkan ada minat. Pada masa sama ia juga boleh membantu menjana pendapatan dalam perusahaan coklat buatan tangan secara komersial,” katanya.

Bagi suri rumah, Norashekin Ahmad yang menjalankan perniagaan bakeri dari rumah turut mengakui kursus pembuatan coklat berkenaan banyak mendedahkan dirinya dengan ilmu baru yang bermanfaat kepada dirinya.

“Kursus yang disertai pada 16 hingga 17 Januari lalu itu banyak memberikan maklumat berkaitan dengan teknik betul di dalam penghasilan coklat buatan tangan.

“Selain itu, ia turut mengajar saya mengenai jenis coklat yang sesuai digunakan di dalam masakan atau produk bakeri termasuk kek.

“Perkara yang lebih penting adalah kursus berkenaan memberikan panduan berguna mengenai teknik menghasilkan coklat yang enak dan tahan lama,” katanya.

Selain itu, penyertaannya di dalam kursus itu juga memberi peluang kepada dirinya untuk bertukar pendapat dengan peserta dan tenaga pengajar untuk memperbaiki mutu serta kualiti produk yang dihasilkan.

Menurutnya, belajar membuat coklat buatan tangan tidak sukar asalkan kita mempunyai semangat dan kreatif dalam melakukan perkara diminati.

Sumber: myMetro