Lukisan Tulang Ikan Lin Hanbing

Sejak lebih dua dekad lalu, seorang artis dari wilayah Fujian, China, Lin Hanbing menghasilkan karya seni yang menakjubkan daripada tulang ikan terbuang.


Memperoleh inspirasi daripada kaligrafi tradisional China, lelaki berusia 51 tahun itu menggunakan tulang pelbagai jenis ikan untuk menzahirkan berbagai-bagai corak serta landskap.

Sebaik tamat pengajian dalam jurusan seni dan kraf di sebuah universiti di China pada 1989, dia mula bereksperimentasi dengan tulang ikan dalam karyanya.

“Sejak kecil lagi saya sudah mera­sakan tulang ikan memiliki bentuk yang cantik dan ia memberi banyak ilham kepada saya. Jika diteliti lama-lama, bentuknya se­perti strok berus kaligrafi kuno. Cukup primitif dan elegan,” katanya se­perti dipetik portal Mail Online.

Menurut Hanbing, dia mendapat bekalan sisa tulang ikan daripada warung jalanan, restoran, hotel dan kilang memproses ikan.

Bahkan lelaki itu juga sanggup berbelanja besar untuk membeli spesies ikan unik bagi mendapatkan tulang ikan yang menarik bentuknya.

“Pada awal pembabitan dalam bidang seni ini, saya mengumpul tulang ikan daripada sisa makanan sehari-hari. Lama-kelamaan, saya mendapat bekalan tulang ikan secara percuma daripada pembekal berkenaan,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Hanbing memberitahu, terlebih dulu dia akan membersihkan tulang ikan sebelum mengawetnya menggunakan campuran beberapa jenis bahan kimia berlainan.

“Seterusnya, tulang ikan tadi akan dikeringkan selama beberapa hari sebelum disimpan. Bagi menghasilkan sesebuah karya, saya akan menyusun tulang ikan yang diingini di atas sekeping kanvas yang siap diwarnakan,” ujarnya.

Jelas Hanbing, karakter tulisan China sebenarnya berasal daripada cangkerang dan tulang kura-kura yang kemudiannya berkembang menjadi bentuk embrio dipanggil Da Zhuan.

“Da Zhuan meliputi banyak strok tulisan dan sering disamakan de­ngan tulang yang ditemui pada bahagian perut ikan,” ceritanya.

Mesej

Hasil kerjanya yang dipamerkan di sebuah galeri seni di Xiamen menarik ribuan peminat seni tulang ikan. Menerusi pameran itu, seba­nyak 100 daripada lebih 1,000 kar­ya­nya dipamerkan kepada umum.


Salah satu karya terbaru Hanbing berjudul The Moment dihasilkan sebagai memperingati ulang tahun ke-70 Perang Sino-Jepun Kedua yang berlaku sekitar tahun 1937 hingga 1945.

Dalam karya itu, satu tulang ikan yang patah dua diletakkan di tengah-tengah kanvas bagi memberi maksud keperitan dan kepayahan hidup yang terpaksa dilalui masyarakat China ketika konflik tersebut.

Sebuah karya lain yang menunjukkan sekawan burung terbang merentasi sebuah lembah pula mencerminkan kebimbangan mengenai masa depan negara China yang menjadi antara kuasa besar dunia.

“Kita seperti burung yang memburu makanan, mengejar kekuasaan, harta dan perkara materia­listik dalam kehidupan sehingga roh kita sesat seperti burung yang tidak jumpa jalan pulang,” katanya kepada agensi berita Xinhua.

Menurutnya, masyarakat di Negara Tembok Besar itu perlu terus menyokong antara satu sama lain biarpun negara semakin maju dan bertambah kaya.

Sikap prihatinnya terhadap isu sosial dan persekitaran turut diterjemah ke dalam karya seni tulang ikan.

Karya berjudul The Other Shore pula memberi mesej kehidupan tanpa sebarang pencemaran, manakala Thirst pula dihasilkan bagi memperingati beberapa siri kemarau teruk sehingga menjejaskan Poyang Lake di wilayah Hubei di bahagian tengah China pada 2011.

“Saya berharap orang ramai dapat menyedari betapa seriusnya masalah persekitaran yang dihadapi negara kini.

“Saya tidak layak bersuara dan saya juga tidak mampu mengubah sesuatu masalah seorang diri tetapi saya harap sekurang-kurangnya karya dapat memberi kesedaran kepada orang ramai,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online