Maideasy - Perkhidmatan Mencuci dan Membersih Kediaman

Sebaik suami Rohana Abdul Hamid disahkan menghidap komplikasi buah pinggang berikutan penyakit kencing manis, wanita berusia 57 tahun itu sanggup berhenti kerja demi menjaga dan menemankan suami mendapatkan rawatan dia­lisis.

Mesra disapa Kak Rohana, wanita itu mengakui, kekangan masa yang menuntutnya ke sana ke mari menyebabkan dia akur melepaskan jawatan yang disandang lebih 20 tahun ketika berkhidmat di sebuah syarikat swasta di ibu negara.

“Masa saya banyak dihabiskan di hospital. Itulah sebab saya berhenti kerja untuk memberi fokus sepenuhnya kepada suami,” ujarnya membuka bicara.

Pun begitu, ibu kepada tiga orang anak itu memberitahu, dia masih mahu bekerja bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Saya tercari-cari pekerjaan yang fleksibel dari segi masa dan bernasib baik kerana terjumpa Maideasy yang menawarkan kerja sebagai pembantu rumah sambilan dan sepenuh masa.

“Alhamdulillah, selepas setahun berkhidmat, saya bukan sahaja dapat menguruskan keluarga dengan baik, malah mampu menjana pendapatan,” kata Rohana.

Tambah wanita yang berasal dari Kampar, Perak itu, dia sedikit pun tidak berasa skeptikal digelar pembantu rumah sebaliknya menyifatkan kerja itu dapat memberi pu­langan menguntungkan.

“Pelanggan lebih berpuas hati kerana yang membersih rumah mereka adalah orang kita juga dan bukan warga asing,” ujarnya.

Warga tempatan

Bagi Pengarah Maideasy Sdn. Bhd. (Maideasy), Meriza Anna Mustapha, kesukaran mendapatkan pembantu rumah dan kerenah mereka selepas diambil bekerja memberi idea kepadanya untuk memulakan bisnes perkhidmatan mencuci serta membersih kediaman.

Diusahakan bersama suami, Mohd. Azrul Abdul Rahim, Maideasy yang mula beroperasi sejak Januari tahun lalu menjanjikan kelainan dalam perkhidmatan ke­rana hampir 100 peratus pekerjanya terdiri daripada rakyat tempatan.

Ditemui kru Jurnal di Cyberjaya baru-baru ini, Meriza memberitahu, pihaknya menawarkan empat perkhidmatan utama iaitu kerja pembersihan asas kediaman, pembersihan ketika berpindah keluar atau masuk dan pembersihan total, pembersihan permaidani serta mengecat ruang dalaman.

“Pelanggan hanya perlu membuat tempahan dan pembayaran di laman web Maideasy sebelum tempahan itu dimaklumkan dan disalurkan kepada pekerja kami menerusi aplikasi yang dibangunkan khas untuk mereka,” kata Meriza.

Menurutnya, mengambil contoh kerja-kerja pembersihan asas kediaman, pelanggan boleh memilih antara sesi pagi bermula pukul 9 atau sesi petang pada pukul 2. Setiap sesi pembersihan mengambil masa empat jam dengan caj RM20 sejam.

“Pelanggan perlu menyediakan peralatan mencuci seperti mop lantai, pembersih vakum, berus, span dan pencuci rumah serba guna. Untuk kategori pembersihan ketika berpindah keluar atau masuk dan pembersihan total pula, kerja-kerja mencuci akan dibuat secara menyeluruh.

“Harga bagi kategori ini berbeza mengikut jenis dan keluasan rumah. Mereka juga tidak perlu bimbang kerana pihak kami akan menyediakan semua peralatan mencuci.

“Perkhidmatan ini juga sesuai buat mana-mana kediaman yang tidak dikemas dan dibersihkan dalam suatu jangka masa panjang,” jelas Meriza.

Nafkah tambahan

Bagi memperbaiki dan menjaga kualiti perkhidmatan, Meriza berkata, pihaknya menyediakan sistem maklum balas kepuasan pelanggan untuk menilai tahap kecekapan pembantu rumah terbabit.

“Setakat ini, kami memiliki lebih 300 pembantu rumah warga tempatan yang rata-ratanya terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat termasuk pelajar dan suri rumah.

“Golongan susah seperti ibu tunggal juga dapat mencari pendapatan tambahan untuk menyara keluarga melalui pekerjaan ini,” katanya sambil memberitahu, perkhidmatan Maideasy meliputi beberapa kawasan di Lembah Klang serta bakal diperluaskan ke Seremban, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Bahru, Johor dalam masa terdekat.

Bagi mereka yang berminat untuk memulakan kerjaya bersama Maideasy, boleh menghantar resume secara online di laman web Maideasy dan akan dipanggil menjalani sesi temuduga seperti biasa.

“Kami mencari individu yang rajin, berdikari, berdisiplin, menepati masa, memiliki kenderaan sendiri dan boleh bekerja secara profesio­nal.

“Selain itu, kami juga menyediakan pusat latihan bagi membolehkan pekerja mendapat latihan menyeluruh dalam menjamin mutu kerja kakitangan,” ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online