Marakau Cabin Lodge Ranau Sabah

Panorama indah yang disajikan terutama waktu malam cukup memukau pandangan. Suhu dingin malam dan panas berangin ketika siang pula nyata memberikan suasana menyamankan.

 
Itu belum lagi keunikan reka bentuk dan konsep alam semula jadi yang ditawarkan pengunjung.

Apabila digabungkan semua elemen yang ada, ia sememangnya satu rasa yang sempurna selain dinantikan saat bercuti.

Itulah yang pastinya dirasai saat menginap di Marakau Cabin Lodge, Ranau, Sabah.

Terletak tiga kilometer (km) dari Pekan Ranau, 10km dari Kundasang dan kira-kira 100km dari Kota Kinabalu, menginap di sini sememangnya memberikan keunikan tersendiri.

Dibina di atas tanah berkeluasan 0.405 hektar, cetusan idea untuk membina penginapan unik ini cukup menarik.

Menurut pemiliknya, Gilbert Liong, 40, minatnya terhadap aktiviti meredah hutan bersama pacuan empat roda (4X4) menjadi titik permulaan untuknya membina penginapan yang sedia ada kini.

Katanya, berkat perbincangan dan pendapat rakan juga menambahkan lagi kepelbagaian idea yang ingin diketengahkan.

“Saya sememangnya minat dan suka benda yang unik termasuk melakukan aktiviti lasak terutama aktiviti meredah hutan dengan pacuan empat roda.

“Daripada pemerhatian setiap kali meredah hutan dan pemandangan serta suasana tenang yang ditawarkan di Kampung Marakau ini, maka terbinalah Marakau Cabin Lodge ini,” katanya yang memulakan pembinaan penginapan ini pada hujung tahun lalu.

Menawarkan tiga jenis penginapan iaitu Tember Room dengan harga RM80 semalam, Box Room dan Akinabalu yang masing-masing menawarkan harga RM150 semalam, bentuk penginapan ini sememangnya sangat unik.


Kalau dilihat, bentuk penginapan yang ditawarkan iaitu silinder, segi tiga dan kotak mempunyai persamaan dengan di tempat lain tetapi hakikatnya ia sangat berbeza.

“Walaupun ada resort atau penginapan yang tawarkan bentuk seperti ini, ia tetap tidak sama dengan apa yang ditawarkan Makarau Cabin Lodge.

“Ini kerana kabin yang ditawarkan di sini dibina menggunakan kayu sepenuhnya kerana ia lebih alam semula jadi,” katanya.

Marakau Cabin Lodge kini hanya menawarkan tiga unit dan bakinya 13 unit lagi yang bakal dibina secara berperingkat.

Pada masa sama turut menawarkan pelbagai aktiviti saat menginap di sini.

“Selain menikmati pemandangan berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu ketika pagi dan panorama indah pekan Ranau ketika malam, aktiviti berbeku juga boleh dilakukan di sini.

“Bagi yang ingin melakukan aktiviti paragliding dan menikmati kehangatan air panas semula jadi, lokasinya juga tidak jauh dari kabin ini,” katanya.

Pengunjung juga boleh menikmati keenakan dan kemanisan buah-buahan tempatan tatkala musim­nya di dusun buah-buahan di dalam kawasan kabin ini.

Maklumat lanjut berkenaan Marakau Cabin Lodge ini tersedia di laman Facebook Marakau Cabin Lodge.

Sumber: myMetro