Marmut Banting Untuk Dipelihara

Kehilangan cahaya mata pertama meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Siddiq Tan, 34, sehinggakan dia dan isteri menanggung lara yang teramat hebat. Setiap masa, mereka merindui mendiang puterinya yang meninggal dunia ketika berusia dua bulan.

 
Kesedihan itu menyebabkan hidup mereka suram sehinggalah suatu hari seorang rakan menghadiahkan tiga ekor marmut atau guinea pig yang sangat comel untuk dipelihara.

“Bermula daripada detik itu, kami ditemani haiwan comel tersebut yang menjadi tempat melepaskan rindu dan kasih sayang. Kami terhibur melihat keletah marmut yang sangat mencuit hati.

“Marmut mempunyai karakter yang manja, aktif tidak kira siang mahupun malam, suka dibelai dan menyayangi antara satu sama lain.

“Haiwan itu juga tidak boleh hidup bersendirian kerana ia akan menjadi murung dan mati. Ia juga akan murung jika tidak mendapat belaian dan perhatian daripada tuannya sehingga tidak mahu makan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Banting, Selangor.

Menurut bapa kepada dua orang cahaya mata itu, sejak membela haiwan tersebut pada tahun 2012, dia kini memiliki 40 ekor marmut.

“Pada peringkat awal, saya hanya memiliki tiga ekor marmut baka American sebelum ia membiak. Kini, saya mempunyai baka-baka lain seperti Skinny, Crested, Peruvian, Coronet dan Texel.

“Haiwan ini sangat senang dijaga kerana sumber makanannya juga tidak terlalu sukar untuk diperoleh.

“Makanan utama marmut ialah rumput gajah atau napier manakala makanan sampingan ialah palet, salad, tembikai, jagung, brokoli dan lada benggala,” jelasnya yang sangat meminati haiwan itu sejak di bangku sekolah tetapi tidak berpeluang untuk membelanya.

Ujarnya, rumput gajah senang diperoleh kerana ia tumbuhan liar seperti lalang, senang untuk tumbuh dan menjimatkan kos kerana tidak perlu membelinya.

“Dianggarkan, seekor marmut makan rumput gajah sebanyak 100 gram sehari di samping makanan lain untuk protein tambahan.

“Marmut sangat kuat makan dan kami akan memastikan bekas makanan sentiasa penuh dan diisi semula sebanyak tiga kali sehari,” katanya yang berasal dari Klang, Selangor.

Tambah juruteknik komputer itu, marmut sangat sesuai untuk dijadikan haiwan peliharaan kerana ia tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi dan penjagaan rapi.

Dalam pada itu, seorang lagi pembela marmut, Ainnur Azura Mahmad, 23, berkata, dia mula terpikat dengan kecomelan haiwan itu ketika mengunjungi festival haiwan dan bertekad memeliharanya pada 2014.

“Saya seorang pencinta haiwan dan kali pertama melihat marmut pada festival haiwan menyebabkan hati melonjak untuk membelanya.


Lembut

“Marmut berperwatakan lembut dan penuh kasih sayang. Ia hidup berkumpulan, tidak berbahaya dan sangat mesra dengan kanak-kanak,” katanya yang merupakan pengusaha makanan dan minuman.

Tutur anak bongsu daripada enam orang beradik itu, selain marmut, dia turut memelihara hamster dan kucing.

Kini, dia memelihara 10 ekor marmut dan penjagaan haiwan-haiwan itu turut dibantu oleh rakan baiknya, Nur Farhana Ahmad Rozaidi.

Berbicara mengenai penjagaan kebersihan, Ainnur Azura berkata, dia akan memandikan haiwan peliharaannya itu seminggu sekali menggunakan syampu haiwan ataupun bayi bagi memastikan bulunya bersih dan cantik.

Terang Ainnur Azura, marmut juga akan mengeluarkan bunyi yang sangat unik ketika lapar dan mengawan.

Ujar pemegang Diploma Kejuruteraan Elektronik Komunikasi, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam itu, dia kerap memberi marmut makan rumput gajah pada ketika ini kerana cuaca sangat panas.

“Selain memberi air dengan kuantiti yang banyak, saya juga menambah rumput gajah lebih banyak berbanding sebelum ini kerana ia mempunyai kandungan air yang tinggi dan sangat baik untuk kesihatan haiwan itu,” katanya yang berasal dari Sentul, Kuala Lumpur.

Potensi besar

Sementara itu, seorang penternak dan pengusaha marmut, Sahril Hasison, 36, berkata, haiwan itu mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan kerana tidak ramai orang menternaknya di negara ini.

Sahril merupakan penternak tunggal marmut di Banting dan situasi itu menjadikan peluang perniagaannya terbuka luas.

“Sekitar tahun 2009, saya hanya mempunyai tiga ekor marmut dan sedikit demi sedikit haiwan itu dikumpul serta dibiakkan. Kini, bilangannya bertambah kepada 500 ekor daripada pelbagai baka.

“Pada peringkat awal, saya menjualnya secara dalam talian menerusi laman web dan mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Ceritanya lagi, marmut senang untuk diternak dan tidak cerewet tentang makanan kerana amat menggemari rumput gajah yang boleh didapati dengan mudah.

“Saya akan memberi makan sebanyak tiga kali sehari dan rutin itu turut dibantu oleh ahli keluarga sekiranya sibuk bekerja.

“Marmut merupakan haiwan yang senang untuk dibiakkan dan melahirkan anak sebanyak tiga ekor setiap kali beranak.

“Ia boleh membesar sehingga 1.5 kilogram dan boleh hidup sekitar empat hingga lima tahun. Begitupun, ada marmut yang masih hidup walaupun sudah berusia sembilan tahun,” terangnya yang juga berpengalaman mengusahakan penternakan kambing dan arnab.

Harga

Tambah juruteknik elektrik itu, dia menjual marmut tersebut bermula pada harga RM30 sehingga RM1,000 seekor bergantung kepada jenis baka.

“Marmut daripada baka white crested dan teddy merupakan antara yang termahal dan haiwan itu akan dijual ketika berusia sebulan.

“Haiwan ini perlu dibeli sepasang kerana ia tidak boleh hidup bersendirian yang akan mengakibatkan masalah kemurungan,” katanya yang turut membekalkan marmut kepada kedai-kedai haiwan.

Jelasnya, marmut adalah haiwan yang berasal dari Amerika Selatan dan merupakan spesies rodent. Baka yang paling mendapat permintaan tinggi ialah Peruvian, Shektie dan Coronet.

Ujar Sahril, selain dibela, marmut juga dijadikan hidangan untuk ibu berpantang oleh masyarakat Cina.

Sumber: Kosmo! Online