Medan Niaga Satok Kuching Sarawak

Visi Kementerian Pelanco­ngan Sarawak menjadikan kawasan Medan Niaga Satok di tebing Sungai Sarawak di sini sebagai tempat ikonik 'wajib' dikunjungi pelancong ke bumi Kenyalang, dilihat berada di landasan yang betul.


Kawasan komersial yang dibangunkan bersebelahan Kompleks Kubah Ria itu dengan kos RM46.6 juta menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), mencatatkan urus niaga bernilai tidak kurang RM60 juta setahun sejak mula beroperasi kira-kira tiga tahun lalu.

Pengurus FAMA Sarawak, Paza Din berkata, projek naik taraf Medan Niaga Satok membabitkan peruntukan RM13 juta bagi kemudahan seperti tandas, bilik mandi, tempat letak kereta, lampu gemerlapan dan benteng gerai makan sedang giat dijalankan, dijangka siap Julai ini.

Katanya, Medan Niaga itu merupakan pasar tani terbesar dalam negara yang diuruskan oleh FAMA, dengan kapasiti 1,444 ruang niaga tetap, dan keutamaan diberikan kepada peniaga sedia ada di Pasar Tamu Satok, termasuk 600 ruang untuk peniaga hasil hutan yang sebelum ini berniaga di Pasar Minggu Satok.

Beliau yang ditemui sewaktu pelancaran jelajah pa­meran pertanian, hortikultur dan ekopelancongan (MAHA) 2016 di sini baru-baru ini berkata, kerajaan negeri mengambil tindakan tepat apabila memutuskan untuk memindahkan pasar yang 'menyesakkan' di Jalan Satok ke Medan Niaga, walaupun awalnya mendapat tentangan beberapa pihak yang ragu-ragu dengan potensinya.

“Medan ini asalnya adalah Pasar Satok yang berselerak. Jadi kerajaan negeri mengambil langkah bijak membuka tempat ini bagi membolehkan peniaga berniaga.


[Peta lokasi: Medan Niaga Satok, Kuching, Sarawak]

“Ini tempat yang sesuai dan selesa untuk berniaga. Jualan pasti akan meningkat untuk jangka masa panjang,” katanya.

Kedudukan kawasan Satok di pusat bandar raya ini yang me­nempatkan pusat-pusat perniagaan dan kewangan utama di Sarawak menjadikan ia antara kawasan penting yang akan membentuk imej bumi Kenyalang di mata pengunjung.

Sebelum ini, persekitaran sesak Pasar Minggu di Jalan Satok yang memghimpunkan ratusan peniaga dari Market Street dan Padang Pasir selama kira-kira 30 tahun dilihat begitu unik lagi sinonim dengan Kuching, namun panorama itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan sangat bagi membentuk imej sebuah bandar raya moden.

Visi kerajaan negeri mengubah segalanya apabila para peniaga di kawasan sesak itu dipindahkan ke seberang sungai sekitar empat tahun lalu, hanya di tepi jambatan yang merentasi Sungai Sarawak.

Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg atau lebih dikenali ‘Abang Jo’ merupakan penggerak utama dalam membangunkan Medan Niaga Satok yang melihat pontensinya bukan sahaja dari sudut sebuah pasar unik yang menawarkan hasil tani dan hutan semata-mata, tapi juga berpotensi sebagai destinasi cukup menarik buat pelancong.

Sumber: Utusan Online