Nasib Pengusaha Pinang

Dahulu, pokok atau buah pinang cukup sinonim dengan kehidupan tradisi orang Melayu. Seiring dengan peredaran zaman, buah pinang semakin jarang diperkatakan orang.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan generasi muda hari ini ada yang tidak kenal bentuk buah mahupun pokoknya yang menjulang tinggi.

Buah pinang bukan produk komoditi, malah peratusan kehadirannya di pasaran amat kecil memandangkan kegunaannya tidak meluas kerana hanya segelintir masyarakat sahaja yang memerlukannya, seperti golongan pemakan sirih.

Namun, tanpa ramai menyedari, ada kelompok yang bergantung kepada pohon ini sebagai mata pencarian bagi memastikan dapur mereka terus berasap.

Mengetepikan segala kepayahan, memang bukan kudrat seorang wanita untuk memikul sebatang galah panjang sambil meredah belukar mencari pokok-pokok pinang bagi dikait buahnya.

Bagi dua beranak, Rozanah Abd. Wahab, 73, dan anak perempuannya, Nor Ani Mohd. Idris, 45, buah pinang merupakan sumber kehidupan.

Biarpun kerja itu sudah jarang dilakukan, tetapi demi sesuap nasi bagi mengalas perut ahli keluarga yang lain kerja tersebut tetap dilakukan.

Dibelenggu kemiskinan, dua beranak ini mengerah kudrat wanita mengait buah pinang yang sudah masak untuk dikeringkan, kerja sampingan yang seakan-akan menjadi pendapatan tetap selain menoreh getah.

Kata Rozanah, kerja-kerja mengait buah pinang tidak dilakukan sepanjang tahun, sebaliknya bermusim bermula November hingga April, bergantung kepada kehadiran buah.

“Cabaran paling getir sebagai pengusaha buah pinang kering ialah ketika kerja-kerja mengait buah. Ini kerana, kebanyakan pokok pinang menjulang tinggi sehingga sesetengahnya mencapai 20 meter.

“Dengan ketinggian itu memang sukar untuk menaikkan galah apatah lagi bagi wanita seperti kami yang kudratnya tidak seberapa.

“Biasanya, kami akan menggunakan galah panjang yang kadang-kadang terpaksa disambung sehingga hujungnya boleh mencapai dan mengait buah pinang yang sudah masak,” kata Rozanah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Cicar, Baling, Kedah.

Menurut Rozanah, selain anak perempuannya, Nor Ani, kerja-kerja mengait buah pinang turut dibantu oleh anak lelakinya, Mohd. Nawawi Mohd. Idris, dan dilakukan selepas selesai menoreh getah.

Katanya, mereka akan terlebih dahulu berbincang dengan pemilik pokok pinang dan kebiasaannya hasil jualan buah pinang kering akan dibahagi dua dengan pemilik pokok.

Buah pinang kering yang siap dijemur dan dikeringkan itu akan dijual kepada peraih pada harga RM5.50 sekilogram (kg).

Jika dibandingkan dengan jualan harga getah sekerap yang hanya sekitar RM1.60 (kg) hingga RM2.20 (kg), mereka akan memperoleh pendapatan sampingan yang agak baik.

“Kami terpaksa bersaing dengan pengusaha-pengusaha buah pinang kering yang lain di sekitar kampung ini yang rata-ratanya juga hidup susah dan terpaksa bertungkus lumus mencari rezeki.

“Ini cuma kerja sampingan setahun sekali bagi penoreh-penoreh getah seperti kami,” kata Rozanah. Sementara itu, buah pinang segar yang telah siap dikait itu akan dikumpulkan ke dalam guni plastik untuk dibawa pulang.

Dari situ bermula proses membelah buah-buah pinang satu persatu dilakukan. Parang yang tajam digunakan supaya buah pinang terbelah dua dalam keadaan cantik dan tidak hancur.

Selepas proses membelah, buah-buah pinang akan disusun di atas plastik atau zink untuk dikeringkan.

Sekiranya keadaan cuaca panas terik, proses mengeringkan tidak mengambil masa berhari-hari, sekali gus mengelakkan kemungkinan buah pinang berkulat atau busuk.

Langkah mengeringkan buah pinang itu bagi memudahkan proses mencungkil atau mengopek keluar dari tempurungnya.

“Selepas dicungkil dari tempurung, buah pinang akan dijemur sekali lagi sehingga benar-benar kering sebelum dijual,” katanya.

Dia berkata, setiap minggu buah pinang kering yang siap dikumpul dan diproses, akan dijual kepada pembeli-pembeli yang berada berdekatan dengan kampung.

“Inilah rezeki kami dua beranak untuk mendapatkan wang bagi membeli beras, gula, kopi, tepung dan barang keperluan lain.

“Saya tidak mendapat apa-apa bantuan dari mana-mana pihak. Sebab itu saya terpaksa melakukan apa juga pekerjaan demi menyara hidup,” kata Rozanah.

Sekali jualan dia akan memperoleh hasil antara RM100 hingga RM200 bergantung kepada jumlah buah pinang yang berjaya dikumpul.

Sementara itu, Nor Ani, mengakui dia mengusahakan buah pinang kering bagi mencari pendapatan tambahan memandangkan ketika ini seorang diri menyara keluarga.

Suaminya, Zakaria Mohd. Yusof, 50, menghidap sejenis penyakit dan tidak mampu untuk berkerja. Nor Ani juga terpaksa menyara dua orang lagi anaknya Norhaniza Zakaria, 23 dan Norzaidah Zakaria, 18.

“Hanya ini yang mampu saya lakukan berselang seli dengan menoreh getah untuk menyara keluarga.”

“Suami tidak mampu melakukan kerja berat, sebab itu saya terpaksa berhempas pulas mengerah keringat mencari rezeki untuk keluarga,” kata Nor Ani.

Katanya, dia juga akan membantu ibunya itu mengait buah pinang, membelah dan menjemurnya kerana ibunya itu tidak begitu sihat.

Nor Ani juga mahu kerajaan prihatin dengan nasib penoreh-penoreh getah yang kian dihimpit kemiskinan berikutan harga getah yang murah dan tidak stabil.

Peningkatan harga barang juga menambah beban yang ditanggung oleh rakyat dan mengharapkan pihak yang prihatin.

Sumber: Utusan Online