Pasar Orang Asli Suku Seletar

Rezeki ada di mana-mana selagi kita berusaha. Itulah prinsip hidup yang dipegang Orang Asli suku kaum Seletar di Johor Bahru, Johor.

Tinggal di pesisiran sungai, pantai dan dalam hutan, sumber rezeki suku kaum yang digelar Orang Laut itu bergantung pada hasil laut dan hasil hutan.

Di Johor Bahru, terdapat lapan buah kampung yang menjadi penempatan suku kaum Seletar iaitu Kampung Simpang Arang, Kampung Bakar Batu, Kampung Sungai Temun, Kampung Teluk Jawa, Kampung Pasir Putih, Kampung Kuala Masai, Kampung Teluk Kabung dan Kampung Pasir Salam.

Orang Seletar merupakan salah satu daripada 18 suku yang membentuk kaum Orang Asli di Malaysia. Mereka tergolong di dalam kumpulan Melayu Proto iaitu salah satu daripada tiga kumpulan utama kaum Orang Asli. Dua kumpulan utama lain ialah Negrito dan Senoi.

Mengikut bancian yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli pada tahun 2008, jumlah keseluruhan Orang Seletar yang mendiami di lapan buah perkampungan di daerah Johor Bahru ialah seramai 1,671 orang.

Di Stulang Laut, terdapat pasar pagi atau pasar segar Orang Asli yang berada betul-betul di tepi pantai. Ia memudahkan masyarakat Orang Asli yang menaiki bot untuk ke tempat jualan.

Pasar ini telah wujud sekitar tahun 1970-an. Dahulunya, pasar itu tidak begitu popular kerana hanya menjual hasil laut kepada penduduk setempat.

Sejajar dengan pembangunan pesat arus moden, masyarakat Orang Asli itu mengambil peluang menambah pendapatan walaupun terpaksa menjual hasil tangkapan di tengah bandar raya Johor Bahru.

Namun, ia menjadi salah satu daya tarikan pelancong dan tumpuan penduduk tempatan bagi mendapatkan hasil laut yang segar.

Seawal pukul 7 pagi, orang ramai akan berpusu-pusu menanti nelayan Orang Asli termasuk warga emas untuk membeli hasil laut yang segar. Mereka berurusan tanpa tawar-menawar harga.

Pelbagai makanan laut segar seperti udang, ketam, beberapa jenis ikan, hidupan kerang laut seperti lokan, kupang, kijing dan remis dijual.

Kadangkala, belum sempat di bawa ke darat, orang ramai telah berebut-rebut untuk membeli di bot nelayan Orang Asli.

Ibarat siapa cepat dia dapat kerana waktu jualan sehingga pukul 10 pagi bergantung kepada kuantiti hasil yang masih tinggal.

Sumber: Kosmo! Online