Pengesan Gelombang Haba - Surrogate Human Sensor

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mencipta kecemerlangan apabila berjaya membangunkan sebuah prototaip yang mampu mengesan 12 jam le­bih awal gelombang haba sebelum berlaku strok haba yang dikenali sebagai Surrogate Human Sensor (SHS).

Rangka kerja prototaip yang dibangunkan dengan kerjasama Nagoya Institute of Technology (NIT) di bawah penyeliaan Prof. Iwao Kenzo itu dijalankan sejak tahun 2010 dan mula diuji keberkesanannya di UTM pada Februari lalu.

Prototaip SHS itu dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik UTM yang diketuai Pengarah Pelestarian Kampus UTM, Prof. Madya Dr. Ir. Mohd. Fadhil Md. Din; Dr. Lee Yee Yong dan Dr. Shazwin Mat Taib.

Mohd. Fadhil berkata, SHS itu dibangunkan sebagai alternatif yang boleh meramalkan kesan persekitaran haba selain mengesan tahap ketidakselesaan manusia dengan menghubungkan iklim tempatan.

Menurutnya, alat tersebut menggunakan satu sensor simulasi bagi menggambarkan kesan persekitaran haba terhadap keupayaan sensitiviti individu, sekali gus boleh memberi amaran awal tentang strok haba.

“Bacaan suhu persekitaran biasa tidak sesuai untuk digunakan sebagai ukuran bagi menentukan kesan strok haba, namun dengan SHS, kita dapat berbuat demikian, malah sudah pun diuji di UTM pada hujung Februari lalu.

“Menerusi ujian itu, kita berjaya memberi amaran awal kepada peng­huni kampus UTM supaya mengehadkan aktiviti luar mereka lebih awal,” katanya kepada pemberita.

Katanya, SHS boleh dipasang di mana-mana sahaja dan pihaknya juga sedang membangunkan sensor mudah alih bagi tujuan komersial yang dijangka memasuki pasaran dengan harga antara RM100 dan RM200 seunit mulai tahun depan.

Beliau memberitahu, SHS juga boleh digunakan dalam tempoh yang panjang kerana hasil kajian menunjukkan negara ini bakal berdepan ancaman peningkatan suhu.

Sambil menyifatkan ancaman tersebut sebagai kritikal, beliau meramalkan suhu akan meningkat sehingga 40 darjah Celsius dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 32 hingga 33 darjah Celsius pada masa ini.

“Dalam satu kajian yang kita jalankan, peningkatan suhu yang disumbangkan daripada permukaan laut dijangka meningkat 1.2 darjah Celsius pada tahun ini manakala suhu badan dalam lingkungan 0.5 - 1.0 darjah Celsius,” katanya.

Sumber: Utusan Online