Pengusaha Kerapu Jaring Apung Lampung

Pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1985, Edward Siallagan merupakan atlet sukan ski air di wilayah Sumatera Utara. Namun, dia menukar kerjaya itu kepada pengusaha ikan kerapu di kawasan Pulau Legundi, Lampung, Indonesia.

Edward sememangnya sejak kecil sudah menjadikan air sebagai teman akrab kerana dia tinggal dan membesar di Kota Prapat, Sumatera Utara yang terletak berhampiran dengan pinggiran Danau Toba.

Sebagai atlet sukan ski air, Edward pernah mewakili daerahnya, Sumatera Utara pada Minggu Sukan Nasional ke-11 pada 1985 di Jakarta.

Bagaimanapun perkenalan dengan peminat sukan ski air, Killy Chandra mengubah hala tuju hidupnya kepada pengusaha ikan laut.

Killy sememangnya terkenal sebagai pelopor dan pengasas kepada pembangunan serta pengembangan ikan kerapu di wilayah Sumatera Utara.

Setelah dipelawa untuk terlibat dalam pemeliharaan ikan kerapu di Belawan dan Nias, Edward akhirnya berpindah ke Lampung pada 1991 dan membuka satu kawasan memelihara ikan kerapu di kepulauan Legundi, Lampung.

Kepulauan Legundi merupakan sebuah pulau yang bersih dan bebas pencemaran, sekali gus sangat sesuai untuk aktiviti memelihara ikan kerapu.

Perjalanan selama dua jam dengan menaiki bot diperlukan untuk sampai ke pulau itu dari Pantai Ketapang atau Lempasing.

Edward yang juga Pengerusi Persatuan Kerapu Keramba Jaring Apung Lampung memberitahu, dia dan para pengusaha ikan lain di Teluk Lampung pada awalnya memelihara ikan kerapu jenis tikus dan harimau.

Namun, selepas sejenis kerapu cantik ditemui pada 2012 oleh Michael Chandar yang merupakan anak kepada Killy, mereka akhirnya menggiatkan usaha memelihara ikan jenis itu secara besar-besaran mulai 2014.

Kerapu cantik merupakan ikan kerapu campuran daripada jenis kerapu batik (Epinephelus microdon) dan kerapu harimau (Epinephelus fuscoguttatus).

Serangan penyakit

Kelebihan kerapu harimau ialah ia mampu membesar dengan cepat tetapi mudah terkena penyakit. Tahap kelangsungan hidup ikan itu hanya sekitar 40 peratus.

Berbeza dengan kerapu batik, ia lambat membesar tetapi tahan penyakit sehingga tahap kelangsungan hidupnya boleh mencapai 90 peratus.

Meskipun harga kerapu cantik tidak semahal kerapu tikus, para pengusaha kerapu di Teluk Lampung tetap memilih kerapu cantik disebabkan ikan itu tahan serangan penyakit dan pertumbuhannya juga cepat selain permintaan tinggi di pasaran luar negara seperti Hong Kong.

Beberapa pengusaha lain seperti Rudy dan Heryansah turut menjadikan kerapu cantik sebagai ikan pemeliharaan di dalam sangkar terapung di perairan Pahawang, Teluk Lampung.

Anak ikan kerapu cantik itu didatangkan dari Kabupaten Lamongan, wilayah Jawa Timur. Harga anak ikan itu juga sangat mahal iaitu RM4.40 (Rp15,000) seekor.

Selain pengusaha ikan, penduduk yang menghuni pulau-pulau sekitar di kawasan Legundi turut mengambil peluang untuk memelihara ikan itu.

Salah seorang penduduk Pulau Legundi, Andi menjelaskan, dia sudah bekerja lebih lima tahun sebagai pekerja di sangkar terapung di kawasan itu.

Andy dibayar gaji bersih sebanyak RM504 (Rp1.7 juta) sebulan dengan perbelanjaan makan, minum dan penginapan ditanggung sepenuhnya pemilik sangkar terapung itu.

Dia bersama rakan setugasnya wajib memberi makanan kepada ikan kerapu itu sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Ikan kerapu juga perlu dimandikan di dalam air tawar sekali dalam tempoh tiga hari bagi membuang kulat yang menempel pada badan ikan.

“Ikan kerapu dikeluarkan dari sangkar dan ditimbang dulu beratnya. Ia kemudian dimasukkan ke dalam bekas berisi air tawar. Ikan itu akan menggelupur apabila berada di dalam air tawar.

“Selepas beberapa minit, barulah akan dimasukkan kembali ke dalam sangkarnya,” jelas Andy.

Dia menambah, ikan kerapu wajib dimandikan dengan air tawar supaya keadaannya kekal sihat.

“Sekiranya ikan tidak dimandikan secara rutin, ia akan sakit disebabkan kulat dan kemudiannya mati,” tambahnya.

Titik hitam

Industri ikan kerapu cantik di Teluk Lampung mengalami kejatuhan seketika pada 2013 akibat pencemaran laut di kawasan itu yang menyebabkan banyak ikan mati, sekali gus tidak dapat memenuhi permintaan pasaran luar negara.

Seorang pengusaha ikan kerapu cantik, Rudy berkata, fenomena air pasang merah atau Red Tide yang berpunca daripada sejenis plankton alga, Cochlodinium polykrikoides telah menyebabkan ramai pengusaha kerapu cantik gulung tikar.

“Sekarang ini, hanya tinggal 10 orang pengusaha ikan kerapu cantik di perairan Ringgung, berbanding 100 orang sebelum kejadian itu,” jelasnya.

Ekoran daripada kejadian itu, ramai pengusaha terpaksa menghentikan operasi memelihara ikan di dalam sangkar kerana kos untuk memelihara ikan kerapu itu memerlukan modal yang besar.

Seluas 10,600 hektar laut di Teluk Lampung, Teluk Semangka, Pantai Timur dan Pantai Barat Lampung digunakan sebagai tempat untuk memelihara ikan. Daripada jumlah itu, sebanyak 681 hektar dijadikan sebagai tempat memelihara ikan kerapu cantik bagi memenuhi pasaran industri.

Di Teluk Lampung sendiri iaitu bermula di perairan Pantai Lempasing, Mutun, Ringgung, Ketapang. Tanjung Putus, Panjang, Tarahan, Pahawang sehingga ke Legundi, terdapat banyak sangkar ikan dan tempat pemeliharaan mutiara.

Sebanyak 2,500 petak untuk memelihara ikan kerapu cantik dikendalikan pengusaha di perairan Ringgung, Tanjung Putus, Pulau Pahawang, Legundi dan Siuncal.

Sehingga kini, kira-kira 30 pengusaha sangkar apung di Teluk Lampung dengan jumlah ikan sebanyak dua juta ekor.

Kos yang diperlukan untuk membina satu petak sangkar yang mempunyai keluasan 30 meter persegi boleh mencapai sehingga RM892 (Rp3 juta).

Walaupun ramai pengusaha terpaksa menghentikan operasi memelihara ikan kerapu akibat pencemaran yang berlaku, mereka tetap menunjukkan minat untuk meneruskannya kerana permintaan tinggi dari Hong Kong.

“Pengusaha ikan kerapu di Indonesia hanya mampu memenuhi sebahagian daripada permintaan dari Hong Kong kerana ramai yang gulung tikar selain sukar untuk mendapatkan anak ikan kerapu dari Jatim dan Bali,” jelas Edward.

Mulai 2014, pengusaha ikan sangkar mula bangkit dan beralih daripada kerapu tikus kepada kerapu cantik ekoran daya tahannya yang lebih kuat.

“Pemeliharaan ikan kerapu cantik ternyata lebih menguntungkan kerana ia tahan penyakit, cepat membesar selain permintaan yang tinggi.

“Harganya juga tidak semahal ikan kerapu tikus dan cita rasanya tidak jauh berbeza bagi kedua-dua jenis ikan itu,” katanya.

Harga kerapu cantik hanya RM42 (Rp140,000) bagi sekilogram berbanding RM89 (Rp300,000) untuk kerapu tikus.

Ekoran permintaan tinggi, muncul banyak sangkar ikan kerapu cantik di serata Indonesia seperti di Pangkalan Susu dan Sibolga, Sumatera Utara; Padang, Sumatera Barat; Babel; Teluk Lampung; Situbondo, Jawa Timur dan Bali.

Sumber: Kosmo! Online