Penternakan Udang Putih Pristine Aquaculture Trading

Pristine Aquaculture Trading, syarikat yang diusahakan oleh peserta program Graduan Usahawan Terengganu melabur RM1.2 juta bagi memulakan penternakan udang putih di Gong Tepas di sini.

Melalui projek yang diusahakan di tapak seluas 4.8 hektar dalam zon industri akuakultur milik Jabatan Perikanan negeri awal tahun lalu, tuaian pertama mengukuhkan keyakinan pengusahanya, malah memberikan harapan baharu kepada penternak kecil di negeri ini.

Kolam perintis seluas 0.17 hektar dengan benih yang diternak pada September tahun lalu, mencatatkan hasil tangkapan sebanyak 5.2 tan metrik, hampir lima kali perolehan berbanding kaedah konvesional yang diamalkan oleh penternak kecil selama ini.

Menurut Pengurus Operasi projek, Mohd. Sulaiman Umar, 30, kejayaan awal itu adalah hasil kaedah penternakan moden secara terkawal dengan mengunakan teknologi biofloc di samping keyakinan institusi kewangan untuk mengeluarkan pinjaman bagi menampung sebahagian daripada prasarana.

"Melalui percubaan menggunakan kaedah yang digunakan di sesetengah negara maju, masalah ancaman bakteria dan perubahan air terkawal bagi membolehkan kadar hidup yang tinggi dan pembesarannya terjamin.

"Kolam ini dilapisi plastik tebal `HDPED Lining' untuk mengelak unsur luar dari tanah mengubah kualiti air di samping mengunakan bakteria baik yang diternak sendiri dan turbin untuk pengudaraan,'' ujarnya.

Usahawan muda ini yang mendapat dorongan keluarga, menimba ilmu melalui ayahnya, Umar Salleh, 62, bekas pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu yang bertindak sebagai mentor di samping menyertai beberapa siri kursus dan bersama pakar dari luar negara.

Berkelulusan Pengajian Islam Kolej Universiti Insaniah, beliau merupakan kumpulan perintis seramai 29 orang yang lain di bawah program Graduan Usahawan Terengganu yang mendapat bimbingan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) dan ditempatkan di syarikat-syarikat pilihan untuk mengutip pengalaman sebelum bersedia meneroka.

Menurut Sulaiman, bidang ini menuntut minat mendalam, juga pengetahuan luas selok-belok mengenainya, dan walaupun memerlukan kos yang tinggi, ternyata menjanjikan pulangan lumayan.

"Melalui kaedah baharu ini, dalam ruang yang kecil, bilangan yang diternak lebih tinggi dalam satu-satu kolam manakala tempoh tuaian mengikut kitaran tiga kali setahun berbanding setiap 90 hari mengikut cara biasa.

"Kami memilih udang jenis ini dari Hawaii untuk diternak kerana kajian mendapati ia lebih kalis penyakit dan bekalan diperoleh daripada pusat penetasan Isharp Sdn. Bhd. di Setiu,'' ujarnya.

Katanya, berdasarkan perolehan hasil yang memberikan pendapatan awal sekitar RM120,000, ini membuktikan bagi setiap kawasan kolam seluas satu hektar boleh memberi pulangan hasil sehingga 32 tan metrik.

Beliau menyasarkan hasil bernilai sekitar RM1 juta dapat diperoleh setahun jika kesemua enam kolam beroperasi kelak, malah beliau sudah merancang untuk menambah enam kolam lagi pada tahun depan di samping mewujudkan sebuah pusat nurseri untuk memendekkan lagi tempoh matang ternakan di kolam.

Sumber: Utusan Online