Pes Char Kuey Teow Carelee Marketing

Syarikat pengeluar produk makanan muslim, Carelee Marketing melangkah setapak lagi apabila memperkenalkan pes char kuey teow khusus bagi memudahkan golongan bekerjaya menyediakan makanan.

Pengarahnya, Dede Rulita Chairul berkata, pes tersebut yang baharu sebulan berada di pasaran mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan apabila telah terjual lebih 1,000 botol walaupun tiada promosi yang hebat.

Beliau berkata, pes char kuey teow yang dijual pada harga RM9 sebotol dan berkuantiti sebanyak 260 mililiter itu merupakan produk terbaharu Carelee Marketing selepas produk pemanis alternatif serta makanan sejuk beku.

“Golongan bekerjaya yang tiada masa untuk memotong bawang atau menumbuk ikan bilis untuk memasak sangat sesuai menggunakan produk tersebut kerana ia menjimatkan masa selain mudah disediakan untuk keluarga atau diri sendiri.

“Dua sudu pes char kuey teow ini sudah cukup untuk membuat satu hidangan yang bukan sahaja boleh dicampurkan dengan kuey teow malah bihun, mi, nasi, ayam dan makanan laut. Hanya dua minit diperlukan untuk setiap masakan menggunakan pes ini,” katanya.

Menurut Dede Rulita, sehingga kini produk berkenaan telah diedarkan di sekitar Lembah Klang dan Ipoh, Perak dan pihaknya ketika ini dalam perancangan untuk meluaskan lagi pasaran ke seluruh negara dengan melantik ejen.

 
Selain itu katanya, produk itu juga didatangkan dalam pek besar mengandungi tiga liter pes berharga RM50 untuk membuat 140 hidangan bersamaan 16 kilogram mi, bihun atau kuey teow khusus untuk pengusaha katering.

Dalam pada itu, Peratis Carelee Marketing, Rozita Mohamad Said berkata, pes yang telah siap dimasak itu menggunakan bahan-bahan bersih dan halal seperti bawang merah, bawang putih, lada, gula dan perisa yang dibenarkan.

“Pes itu tidak mengandungi sebarang perasa tambahan dan mampu bertahan sehingga enam bulan daripada tarikh dibotolkan.

“Maklum balas yang diterima daripada pelanggan sangat positif dan kami juga mendapat bimbingan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya.


Sumber: Utusan Online