Produk Herba Aina Resources

Sejak turun-temurun, nenek moyang kita hanya bergantung kepada akar-akar kayu dan pucuk kayu herba bagi tujuan menyembuhkan penyakit.

Kita bertuah kerana hutan Malaysia terdapat bermacam-macam jenis akar kayu herba yang mempunyai pelbagai manfaat dan khasiat.

Antara akar kayu dan herba yang terkenal seperti pokok Tongkat Ali, Tongkat Haji Samad, Tongkat Ali Itam, Gajah Beranak, Tengku Biawak, Panah Arjuna, Mas Cotek, Raja Kayu, Sarang Semut, Akar Kucing Galak, Mata Pelanduk, Kacip Fatimah, Akar Serapat, Akar Sarsi, Tunjuk Langit dan banyak lagi.

Bagaimanapun, arus kemodenan membuatkan ramai yang terlupa mengenai khasiat akar kayu dan herba.

Gaya hidup moden juga menjadikan ramai wanita hanya mempercayai perubatan moden semasa bersalin dan mengabaikan berubat secara tradisional dengan menggunakan akar kayu dan herba.

Ramai juga yang masih mahu mengamalkan penjagaan kesihatan secara tradisional, tetapi tidak tahu di mana mereka boleh mendapatkannya atau bolehkah mereka mempercayai sama ada akar kayu tersebut berkhasiat atau sebaliknya.

Mengetahui mengenai masalah yang dihadapi oleh ramai wanita mahupun lelaki bagi mendapatkan akar kayu herba, Zarina Amirah Zainal Abidin, 32, meneruskan legasi bapanya dalam penyediaan akar kayu herba bagi membantu individu yang memerlukan pengubatan secara tradisional.

Selama berpuluh tahun, bapanya, mencari sendiri akar-akar kayu di dalam hutan sekitar Lenggong, Perak, membawa akar-akar kayu itu keluar, membersihkan, memotong, mengeringkan dan menjual kepada yang memerlukan.

Melihat kepada kegigihan bapanya, Zarina bertekad untuk meneruskan usaha tersebut kerana yakin masih ada permintaan terhadap akar-akar kayu herba bagi tujuan perubatan.

“Sejak kecil saya melihat bagaimana ayah berusaha dan bersusah-payah masuk ke hutan mencari akar kayu.

“Ayah cukup yakin akan khasiat akar kayu dan herba sehingga sanggup bersusah-payah masuk ke hutan seorang diri selama berminggu-minggu.

“Saya banyak mempelajari dan mengenali jenis-jenis akar kayu daripada ayah. Minat timbul kerana saya ingin membantu ayah dan kasihan padanya yang telah memulakan usaha tetapi tidak tahu bagaimana hendak mengkomersialkannya.

“Sebenarnya bukan senang hendak mengambil akar-akar kayu di hutang. Banyak pantang-larang dan bukan semua orang boleh menarik akar tersebut naik ke permukaan tanah.

“Ayah kini kurang sihat tetapi saya tetap berazam memperkenalkan khasiat akar-akar kayu dengan mengeluarkan beberapa produk yang saya yakin dapat membantu ramai orang.

“Tujuan saya ialah bagi mengembalikan penjagaan kesihatan secara tradisional dengan menggunakan khasiat akar kayu yang masih banyak tersimpan di dalam hutan Malaysia,” kata pengasas produk herba Aina Resources itu.

Sebagai pengusaha produk herba sejak lapan tahun lalu, Zarina kini telah mengeluarkan beberapa produk untuk lelaki dan wanita.

Di antaranya, Panah Arjuna Tongkat Ali Plus, Kopi Panah Arjuna, Kopi Aina, Mandian Herba Uncang, Tungku Herba Lelaki dan Wanita, Ubat Periuk, Minyak Urut Akar-akar Kayu dan Set Bersalin.

Tambahnya, bagi memberi peluang kepada masyarakat mempelajari mengenai khasiat herba dan membuka peluang perniagaan kepada mereka, dia akan menganjurkan seminar keusahawanan dan penjenamaan produk tradisional pada 16 April ini di Hotel Crystal Crown, Pelabuhan Klang, Klang, Selangor.

Menurutnya, seminar ini terbuka kepada wanita sahaja dan sasaran utamanya ialah kepada golongan ibu tunggal, lepasan ijazah dan suri rumah yang berpeluang memulakan perniagaan produk herba selepas ini atau menggunakan sendiri sebagai bahan spa semasa di rumah, berniaga dari rumah atau untuk wanita yang ingin berniaga secara kecil-kecilan.

“Peserta akan diajar mengenai komunikasi keusahawanan, pengurusan produk, cara untuk mendapatkan keuntungan dan sebagainya.

“Saya mempelawa kepada mereka yang berminat untuk menyertai seminar ini yang hanya terbuka untuk 30 peserta sahaja supaya setiap peserta dapat memberikan lebih tumpuan.

“Tujuan saya adalah untuk membantu orang ramai supaya dapat menggunakan akar kayu dan herba hutan yang semakin tidak dikenali terutamanya oleh generasi muda.

“Hutan kita kaya dengan herba berkhasiat dan sepatutnya kita memanfaatkan anugerah yang diberikan ini. Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa kelebihan dan kebaikan herba adalah untuk semua peringkat umur dari bayi hingga orang dewasa,” kata Ina yang langsung tidak menggunakan pengawet untuk produknya.

Kepada yang berminat mengikuti seminar boleh menghubungi talian 011-19212020 atau layari Facebook Zarina Amirah.

Sumber: Utusan Online