Produk Penjagaan Diri DIY Purebysafiy­yahosman

Ketika ramai rakan sebaya lebih suka menghabiskan masa dengan bermain, wanita manis ini menghasilkan sendiri barangan penjagaan dirinya sejak berusia 15 tahun kerana minat mendalam terhadap kerja pertukangan sendiri (DIY).


Tidak bergantung kepada produk sedia ada di pasaran, Nur Safiyyah Osman, 26, akan mengadun sendiri epal yang sudah dilecek bersama pisang atau telur untuk dijadikan pupur wajah yang ringkas.

Melihat kepada potensi produk penjagaan diri DIY apa lagi ia bebas sebarang kimia dan lebih menumpu kepada bahan semula jadi, Nur Safiyyah memberanikan diri mengubah minatnya itu kepada satu perniagaan dalam talian.

Nur Safiyyah berkata, dulu dia tidak begitu bijak dalam pemilihan bahan kerana belum mempunyai ilmu.

Bagaimanapun, dia kemudian mengikuti kelas dan belajar daripada mereka yang lebih berpengetahuan kerana mahu menambah ilmu penghasilan produk penjagaan diri DIY selepas mengambil keputusan untuk serius dalam perniagaan.

Katanya, selepas mengikuti kelas, baru dia sedar begitu banyak bahan yang boleh digunakan untuk menghasilkan produk DIY termasuk pelbagai jenis ekstrak minyak yang mempunyai kebaikan semula jadi.

“Saya mengadun sendiri produk penjagaan diri di rumah dengan bantuan suami. Saya menyediakan satu bilik khas untuk menghasilkan sabun dan barangan penjagaan diri dan satu lagi bilik untuk menyusun semua produk yang sudah disiapkan.

“Semua bahan dan peralatan menghasilkan produk ada dalam bilik dan di situlah saya dan suami akan duduk berjam-jam lamanya untuk menyiapkan pelbagai jenis barangan penjagaan diri DIY,” katanya.

Pengasas Purebysafiy­yahosman itu berkata, sokongan daripada suami Mohd Noradli Mohammad Yusop, 31, menguatkan semangatnya dan mula berkecimpung secara kecil-kecilan menjual barangan penjagaan diri DIY pada penghujung tahun lalu.

Lebih menarik, Nur Safiyyah mengambil langkah lebih berani dengan melantik stokis dan tanpa dijangka, produknya menarik perhatian sehingga kini dia mempunyai 20 stokis seluruh negara termasuk di Labuan.

Seronok mengadun ramuan Katanya, dia gemar kepada produk dibuat sendiri kerana baginya ia lebih selamat kerana penggunaan bahan semula jadi yang ada di sekeliling kita tanpa bahan kimia yang boleh membahayakan diri dalam jangka panjang.

“Malah, produk yang saya hasilkan ini tidak memudaratkan sekiranya kita termakan atau tertelan kerana ia dirumus menggunakan bahan semula jadi, tanpa pewarna atau pewangi yang mengandungi alkohol.

“Semuanya saya gantikan dengan minyak asli daripada buah dan bunga yang diekstrak tanpa bahan kimia. Bahan utama yang ada dalam setiap produk ialah seperti madu, minyak zaitun, minyak asli, gula dan garam detoks. Adunan ini akan menghasilkan warna dan bau mengikut jenis buah dan bunga yang dipilih,” katanya.

Menurut Nur Safiyyah, kelebihan produk semula jadi adalah pemakai tidak perlu lagi menggunakan losen kerana produk DIY bukan saja melembapkan kulit, malah mempunyai bau segar yang asli.

Bagi menghasilkan setiap produk penjagaan diri DIY, Nur Safiyyah memperuntukkan masa antara satu hari hingga dua minggu bergantung kepada jenis produk.

Beliau yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, berkata, sabun dan pelembap bibir mengambil masa lebih panjang untuk disediakan iaitu kira-kira dua minggu manakala skrub badan hanya memerlukan satu hari untuk disiapkan.

Bekerja sendiri, anak ketiga daripada tujuh beradik itu memperuntukkan sepanjang hari menyiapkan sebanyak mungkin produk DIY yang boleh dihasilkannya.

“Saya buat banyak setiap kali mengadun produk. Jika dulu bermula dengan 10 balang saja bagi setiap jenis, kini sekurang-kurangnya kena siapkan antara 50 hing­ga 100 balang.

“Stok yang ada akan dihantar kepada setiap stokis dan selebihnya saya jual sendiri secara dalam talian atau luar talian,” katanya yang turut memaparkan rangkaian produk DIY dihasilkannya di laman Instagram purebysafiyyahosman dan laman web PureBySafiyyahOsman.


Memperuntukkan masa buat suami tersayang, dia bangun pagi dan menyiapkan sarapan serta makan tengah hari terlebih dulu, kemudian mengemas rumah sebelum menumpukan perhatian kepada tempahan yang masuk daripada pelanggan dan stokis.

Rutin lain seperti menguruskan rumah termasuk membasuh baju, menyidai jemuran dan menguruskan anak dilakukan oleh suaminya yang sanggup berhenti kerja untuk membantunya mengukuhkan lagi perniagaan.

Kesibukan menyiapkan produk untuk memenuhi permintaan pelanggan kadangkala membuatkan Nur Safiyyah terasa seperti hendak menyerah kalah, namun kerana minat yang terlalu kuat dalam mengembangkan perniagaan, membulatkan tekadnya menghadapi segala cabaran yang ada.

Malah, dorongan dan kata-kata nasihat serta idea dikongsi suami membuat­kan Nur Safiyyah yang memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal lebih bersemangat membina tapak kukuh dalam perniagaan.

“Bagaimanapun pada awal menyatakan hasrat berniaga, keluarga pada mulanya lebih suka jika saya bekerja di sektor kerajaan atau swasta, tapi lama-kelamaan mereka dapat menerima minat saya yang sangat mendalam dalam bidang perniagaan.

“Malah kini mereka pula yang tidak putus memberi semangat,” katanya yang tidak pernah bekerja makan gaji sebelum ini.

Sumber: myMetro