Program Perintis Food Truck Malaysia

Kedua-dua tangannya ligat menyiapkan tempahan nasi kerabu yang dipesan beberapa pelanggan.

Sesekali, keringatnya membasahi dahi kerana bersungguh-sungguh menyiapkan pesanan pelanggan yang ingin mencuba pelbagai menu yang dijualnya.

Menjalankan perniagaan menggunakan trak dengan dihiasi pelekat jenama sendiri, menu yang tertera sudah cukup untuk menggamit pelanggan.

Meskipun hanya beroperasi di atas trak dengan keluasan dan pergerakan yang terhad, Amran Mat Said, 50, tidak kekok untuk menyiapkan tempahan.

“Ini merupakan tahun pertama dan kali pertama saya berniaga menggunakan trak makanan.

“Sebelum ini, saya hanya berniaga di pasar-pasar malam menggunakan kenderaan sendiri dengan bantuan ahli keluarga dan beberapa pekerja,” kata lelaki yang berasal dari Kok Lanas, Kelantan itu ketika ditemui di Dataran Perbadanan Putrajaya baru-baru ini.

Tenaga kerja

Menurut Amran, dia berniaga menggunakan trak sejak tahun lalu selepas diperkenalkan oleh seorang rakan berketurunan Cina yang juga rakan perniagaannya.

“Pada pandangan saya, berniaga menggunakan trak ini lebih mudah dan santai. Lagipun, ia mengikut trend terkini,” katanya.

Menurutnya, perniagaan menggunakan trak menjimatkan penggunaan tenaga kerja.

“Saya hanya memerlukan tiga orang pekerja yang dibantu oleh anak sendiri,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Selain itu, waktu perniagaan juga fleksibel dan lokasi yang sentiasa berubah-ubah. Lazimnya, dia memulakan perniagaan dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam. Dia hanya bercuti sehari dalam seminggu.

Tambah Amran, salah satu sebab mengapa dia dan rakan-rakannya bertukar kepada konsep berniaga menggunakan trak ialah kerana ia lebih praktikal dan mudah dibawa ke mana-mana tapak perniagaan.

Kos penyelenggaraan untuk perniagaan ini juga jauh lebih rendah berbanding berniaga di pasar malam.

Menurutnya, menu yang paling mendapat sambutan ialah nasi kerabu dan nasi dagang. “Kedua-dua menu itu dijual pada harga serendah RM5 hingga RM6.50 setiap satu.

“Pelanggan juga tidak perlu menunggu lama kerana makanan yang dipesan sudah siap dimasak di rumah,” ujarnya yang membawa jenama Anie Noor D’Klate nasi kerabu, nasi tomato dan bihun sup.

Perniagaan menggunakan trak secara tidak langsung memudahkannya untuk bergerak selain tidak perlu membayar sewa kedai yang mahal.

Amran merupakan salah seorang peniaga yang terpilih untuk projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) peringkat pertama di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

KPDNKK memberi peluang kepada peniaga untuk bergiat secara aktif dalam bidang perniagaan berkonsepkan trak menerusi program 1Malaysia Mobile Hawkers (1MMH).

Program perintis

Ia merupakan satu program perintis yang berkonsepkan perniagaan bergerak selain bertujuan mewujudkan persekitaran yang menarik serta kompetitif, sekali gus membantu usaha kerajaan menangani isu kos sara hidup.

“Dalam program itu, kami dipilih dan diberi kemudahan Pembiayaan 1MMH melalui dana yang disalurkan dari Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sebanyak RM50,000 bagi setiap peniaga.

“Pinjaman kredit yang diberikan secara tidak langsung memudahkan para usahawan menguruskan operasi perniagaan. Tempoh pembayaran balik pula adalah sehingga lima tahun,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang berasal dari Pendang, Kedah, Siti Tun Zairiah Zainol Abidin, 53, memberitahu, perniagaan makanan dengan trak memudahkannya untuk memasak dan menyediakan juadah secara terus jika berada di tapak perniagaan.

Ibu kepada tiga anak yang sudah dua dekad menceburkan diri dalam bisnes makanan itu akan tiba di tapak perniagaan dua jam lebih awal untuk membuat persiapan sebelum gerai dibuka kepada pelanggan.

Dia yang berniaga mengikut program anjuran KPDNKK dan Perbadanan Putrajaya bagaimanapun hanya berniaga di pasar-pasar malam sekitar Bangi, Kajang dan Serdang, Selangor jika tiada sebarang acara,” katanya ketika ditemui.

Tambah Siti Tun Zairiah, sewa tapak yang dikenakan untuk perniagaan makanan yang berasal dari Kelantan juga berpatutan. Sebagai contoh, bagi program Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2016 di Putrajaya baru-baru ini, sewa tapak lokasi sepanjang empat hari itu sekitar RM324.

Jelasnya, bantuan daripada KPDNKK dan Bank Rakyat untuk memiliki trak sedikit sebanyak membantu meringankan beban peniaga.

Selain berniaga dengan trak, dia juga mempunyai sebuah kedai makan di Bangi, Selangor.

“Alhamdulillah, pendapatan harian dan bulanan yang diperoleh juga lumayan serta sambutan para pelanggan amat menggalakkan.

“Dalam sehari, kami boleh peroleh jualan mencecah RM1,000, namun ia bergantung kepada cuaca,” katanya yang berniaga mi sup utara dan nasi ayam di bawah jenama Sukamari.

Bagi seorang guru tadika, Nur Afifah Abd. Razak, 25, dia berpendapat, perniagaan trak ini merupakan satu konsep baharu yang berpotensi untuk dikembangkan.

“Secara tidak langsung, ia dapat memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan anak-anak muda dalam bidang perniagaan,” katanya.

Kepada seorang guru tuisyen, Tuan Nurhidayah Tuan Yahya , 25, dia menyifatkan perniagaan trak ini menterjemahkan satu pencapaian dalam industri makanan negara.

“Ia indikasi bahawa semakin ramai rakyat negara ini yang berminat dan terlibat dalam perniagaan makanan,” katanya yang menggemari makanan Barat.

Lesen

Meskipun perniagaan berkonsepkan trak ini dilihat sebagai satu fenomena, namun para usahawan sebenarnya tidak terkecuali daripada berdepan dengan cabaran.

Rata-rata peniaga terkilan apabila permohonan untuk mendapat lesen berdepan dengan kesukaran.
Pegawai Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Perlesenan KPDNKK, Yati Sofia Lahom ketika dihubungi berkata, lesen kebiasaannya diberi kepada peniaga secara berkelompok.

“Bagi peringkat pertama, kami hanya memberi 10 usahawan saja,” katanya KPDNKK baru memulakan program tersebut awal tahun ini.

Pada masa sama, beliau berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diminta untuk melonggarkan syarat pemberian permit umum kepada peniaga-peniaga supaya mereka bebas berniaga terutama di sekitar Lembah Klang.

Sumber: Kosmo! Online