Projek Perintis Kenaf Untuk Rakyat (1KUR)

Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) melancarkan projek perintis Kenaf Untuk Rakyat (1KUR) dalam usaha memperluaskan lagi aktiviti serta meningkatkan pendapatan rakyat berasaskan kenaf.

Pengerusi LKTN, Datuk Mohd. Adhan Kechik berkata, projek tersebut memfokuskan kepada kumpulan sasar yang tidak mempunyai tanah untuk penanaman kenaf.

“Konsep skim atau projek ini adalah LKTN akan membekalkan batang hijau kepada penanam dan penanam akan memproses secara water retting atau pelembutan air sebelum menjual semula kepada LKTN gentian (kenaf) yang dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek Perintis Kenaf 1KUR dan Pelancaran Eksport Fiber dan Core Kenaf.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi), Wan Baharuddin Wan Ismail.

Mohd. Adhan berkata, sebagai sokongan serta galakan kepada peserta menyertai projek berkenaan pihak LKTN menyediakan dua insentif iaitu bekalan batang hijau 1,000 tan setahun secara kredit kepada peserta dan pinjam guna dua mesin pemprosesan.

Beliau berkata, LKTN menyasarkan 1,000 hektar tanaman kenaf secara water retting bagi tempoh 2016-2017 untuk memenuhi permintaan pasaran domestik dan eksport.


“Semua hasil ini akan dibeli oleh LKTN dan dijual semula kepada dua syarikat yang telah memberi komitmen pada hari ini,” katanya.

Tambahnya, LKTN sentiasa berusaha membangunkan industri kenaf dengan menarik seramai mungkin pengusaha untuk bergiat di semua peringkat sama ada pe­ringkat huluan atau hiliran.

“Kita tidak mahu ketinggalan dalam menyahut seruan kerajaan untuk membantu mengharmonikan ekonomi rakyat melalui tanaman kenaf,” katanya.


Sumber: Utusan Online