Projek TIKAR Mengkuang Kampung Bentan

Seni kraf mengkuang bakal pupus jika warisan anyaman daripada daun itu tidak diteruskan.

Ini kerana sejak dahulu tidak ramai warga tempatan boleh memproses dan menganyamnya, hanya segelintir menguasai teknik berkenaan.

Malah, generasi muda kini tidak didedahkan dengan cara menganyam tikar dan kraf mengkuang kerana kurangnya kesedaran dan platform untuk menyampaikan ilmu itu.

Lebih menyedihkan apabila reka bentuk produk daripada daun mengkuang kurang nilai komersial dan inovasi menyebabkan ia kurang mendapat tempat di pasaran.

Menyedari hakikat itu, penyelidik daripada Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Khairul Aidil Azlin Abd Rahman mengambil inisiatif memperkenalkan projek Transformasi, Inovasi, Konservasi dan Apresasi Reka Bentuk (TIKAR).

Beliau berkata, projek itu antara usaha penyelidik untuk meneruskan konservasi kepakaran warga tempatan menganyam produk mengkuang.

“Penganjuran projek ini bertujuan meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar khususnya di Kampung Bentan, Kuala Pahang, Pekan, Pahang.

“Program ini memberi latihan seni kraf tangan asli dan reka bentuk komersial daripada mengkuang kepada generasi muda bagi menghasilkan produk yang mudah diperoleh di sekitar Kuala Pahang.

“Pada masa ini, jumlah produk tikar mengkuang di pasaran terhad kerana bilangan penganyam sangat sedikit,” katanya.

Menurutnya, program ini diharap dapat melatih anak muda dan penduduk setempat menguasai teknik menganyam serta potensi komersial produk daripada mengkuang.


“Kami turut menghasilkan produk perabot dan akesori hiasan dalaman daripada anyaman mengkuang. Penyelidikan ini mengambil masa setahun sejak awal 2015.

“Antara perabot berinovasi yang dihasilkan melalui penyelidikan ialah kerusi, meja, lampu meja dan penghadang ruang,” katanya.

Dr Khairul Aidil berkata, Kampung Bentan sininom dengan mengkuang kerana tanah paya di situ sesuai untuk penanaman mengkuang.

“Ada dua jenis mengkuang di situ, iaitu mengkuang minyak yang terdapat di kawasan paya dan mengkuang pandan di pesisiran pantai,” katanya.

Inovasi berkenaan dipamerkan di Export Furniture Exhibition 2016 (EFE 2016) yang diadakan di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) awal bulan ini.

Projek itu turut dianggotai Prof Madya Dr Nazlina Shaari, Dr Saiful Hasley Ramli, Izyan Syamimi Zainol, Aimi Nabilah Yusri, Mohd Faizol dan Siti Nurain Nabihah.

Sumber: myMetro