Pusat Kecantikan Skinspa by Profesional

Sesekali dapat berkunjung ke pusat kecantikan yang menawarkan pakej dari hujung rambut sampai ke hujung kaki pasti menjadi idaman setiap golongan wanita.

Malah, ia boleh dianggap sebagai penghargaan untuk diri sendiri selepas sekian lama bergelut dengan kesibukan rutin harian.

Pengasas dan Pengarah Urusan Skinspa by Profesional, Dr. Asma Razalli, 32, berkata, terapi berenang, perawatan kulit bermasalah dan konsultasi diet boleh dilakukan di bawah satu bumbung.

Asma merupakan doktor perubatan yang pernah berkhidmat di beberapa buah hospital, Asma berkata, beliau tergerak hati membuka spa tersebut setelah sukar mencari pusat kecantikan yang menawarkan perkhidmatan lengkap untuk memanjakan diri mencakupi penjagaan dalaman dan luaran tubuh.

“Saya percaya, kecantikan dan kesihatan perlu bergerak seiring bagi membolehkan seseorang wanita itu mampu beribadah, menjaga keluarga dan kerjaya dengan teratur serta sempurna.

“Dalam hal ini, kecantikan dalaman adalah refleksi kepada kecantikan luaran dan ia adalah dua perkara yang berkait rapat kerana itu proses rawatan perlu mencakupi kedua aspek ini.

“Saya sendiri pernah mempunyai masalah kulit yang teruk ketika zaman remaja dan sedikit sebanyak ia menyebabkan saya rasa rendah diri dan malu untuk berhadapan dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di spanya yang beroperasi di Taman Bukit Permai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perunding Imej

Bekas pengacara televisyen swasta dari tahun 1993 hingga 1997 itu berkata, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan perunding imej kepada mereka yang ingin tampil berkeyakinan.

“Perkhidmatan ini dibuka kepada semua tidak kira wanita atau lelaki yang ingin mendapat khidmat nasihat mengenai gaya dan memperbaiki penampilan diri.

“Slot berhias diri (grooming) juga sesuai untuk calon-calon temuduga yang ingin mempelajari tip-tip penjagaan diri dan tatacara berpakaian serta dandanan yang sesuai dengan imej mereka,” ujarnya yang mula menjalankan perniagaan itu sejak Ogos tahun lalu.

Tambah Asma, beliau turut menyediakan perkhidmatan di rumah secara peribadi kepada golongan kenamaan dan individu yang berminat pada harga kompetitif.

Asma yang mempunyai produk kecantikan jenama sendiri berkata, beliau mengaplikasikan rawatan tanpa jarum suntikan menggunakan vitamin C sebagai bahan asas yang menyelesaikan masalah kulit dari dalam bagi membantu mereka yang memiliki masalah kulit seperti jerawat, jeragat, parut dan ekzema.

Katanya, vitamin C bersifat menyerap air dan sifatnya yang antioksida itu boleh mengurangkan kedutan serta melambatkan penuaan di samping memelihara pengeluaran enzim kulit baharu dan membaik pulih kulit rosak.

“Masalah lazim yang dialami wanita Asia ialah kulit kering kerana cuaca di negara ini yang panas. Penggunaan vitamin jenis ini dapat mengekalkan kelembapan kulit dari dalam.

“Ia juga bagus untuk menguatkan antibodi dan meningkatkan imuniti tubuh dalam melawan penyakit,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Begitupun, pengambilan vitamin C perlu mengikut garis panduan dengan bimbingan pakar bagi memastikan ia diambil dengan cara dan kuantiti yang betul.

Tambahnya, pengambilan vitamin C secara berlebihan mempunyai kesan sampingan seperti cirit-birit, pening, gatal. Pada tahap lebih serius, ia boleh menyebabkan saluran darah tersumbat sehingga memberi kesan kepada kesihatan jantung.

Sumber: Kosmo! Online