Pusat Sehenti Pakaian BMO Tradisional

BMO Tradisional (M) Sdn. Bhd. (BMO), ditubuhkan pada 1980 mahu dikenali sebagai pusat sehenti pakaian yang menawarkan pelbagai kelengkapan kepada para pelanggan merangkumi segenap lapisan masyarakat.


Pengarah Eksekutifnya, Denny Iskhandar Bahtiar Afandi berkata, syarikatnya bercadang untuk memperkenalkan koleksi pakaian siap bagi wanita pada separuh kedua tahun ini.

Katanya, langkah itu bukan sahaja membantu syarikat mempelbagaikan sumber pendapatan tetapi membuktikan keupayaan BMO sebagai syarikat pengeluar pakaian yang berkualiti.

“Ketika ini, jualan untuk pakaian korporat dan seragam menyumbang 60 peratus kepada perolehan syarikat berbanding pakaian tradisional yang hanya mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan,” katanya.

BMO yang dahulunya dikenali sebagai ZM Omar telah diasaskan oleh Bahtiar Afandi Omar yang merupakan penuntut London College of Fashion.

Beliau yang juga pengasas Bak Tailor merupakan anak kepada Omar Ali, yang terkenal sebagai pembuat baju Melayu sejak 1935.

Pada 1997, ZM Omar (Enterprise) dinaik taraf kepada BMO sejajar dengan pelan pengembangan dan penstrukturan syarikat supaya lebih berdaya saing dalam pasaran.

Dalam tahun itu juga, jenama ZM Omar yang digunakan sejak 1980 ditukar kepada BM Omar sebagai jenama produk.


Denny Iskhandar berkata, syarikat tersebut kemudian diuruskannya pada 2004 dengan fokus untuk mempelbagaikan perniagaan dan terlibat secara aktif dalam pengeluaran, pembuatan dan membekalkan produk pakaian seperti korporat, kemeja T, kemeja polo, topi dan pakaian sut tradisional.

Lulusan bidang perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu yang terlibat dalam bidang perniagaan seawal usia 22 tahun menyifatkan ia sudah sebati dengan darah dagingnya.

“Sejak daripada kecil apabila pulang dari sekolah saya selalu singgah di Wisma Yakin, melihat datuk dan ayah saya bekerja di situ. Boleh dikatakan saya juga membesar di celah-celah timbunan kain yang menjadi tempat permainan saya selama ini.

“Apabila berpeluang mengambil alih perniagaan ini, saya cuba uruskan dengan sebaik mungkin dan mengambil manfaat daripada kelebihan media sosial untuk mengembangkan jenama BMO dan tidak terhad kepada baju Melayu sahaja,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online