Rezeki Kerepek Daun

Tepung yang dibancuh menggunakan resipi ciptaan sendiri menjadikan kerepek berasaskan daun kaduk dan bayam dihasilkan wanita ini mudah mendapat tempat dalam kalangan penggemar kerepek.

Bukan itu saja, kerepek daun menggunakan kaedah tradisional dihasilkan Noriza Hassan, 38, memberikan kelainan apabila ia kekal rangup walaupun terdedah lebih tiga jam.

Keunikan itu secara tidak langsung membantunya mengusahakan kerepek daun melalui penubuhan syarikat Izamizi Enterprise dan berjaya memasarkan produknya di seluruh Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya, sejak lima tahun lalu.

Menceritakan detik bermulanya perniagaan itu, Noriza berkata, selepas 13 tahun bekerja sebagai operator di sebuah kilang, dia berhenti selepas ditawarkan Skim Persaraan Sukarela (VSS) pada 2009.

“Saya mengambil VSS kerana mahu mencuba pekerjaan lain, tapi pada pering­kat awal saya mengambil alih pekerjaan ibu menoreh kerana harga getah ketika itu sangat baik.

“Bagaimanapun, selepas setahun menoreh, hidup saya terasa serba tidak kena sebelum mendapat ilham mengusahakan perniagaan kerepek berasaskan daun dengan modal permulaan RM3,000 pada 2011,” katanya di kilangnya di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Seberang Perai, baru-baru ini.

Noriza berkata, sebelum itu dia menjual dodol secara kecil-kecilan, namun memilih mengusahakan perniagaan kerepek daun kerana mahu menampakkan kelainan.

“Idea menjual kerepek berasaskan daun timbul apabila seorang rakan dari Indonesia merungut sukar mendapat­kan produk kerepek jenis ini di Malaysia hingga saya cuba menghasilkannya.

“Bermula dengan tiga pekerja, saya mengusahakan­nya secara kecil-kecilan di rumah dan tidak menyangka ia mendapat permintaan tinggi sehingga perlu menyewa sebuah kilang untuk memenuhi tempahan,” katanya.

Ibu kepada seorang anak berusia 10 tahun itu berkata, prestasi perniagaannya yang makin meningkat membolehkan dia mewujudkan peluang pekerjaan terutama kepada suri rumah yang mahu mencari pendapatan sampingan.

“Perniagaan ini bermula dengan bantuan suri rumah di kawasan kejiranan saya dan bantuan serta kerja keras mereka membolehkan saya mengecapi kejayaan seperti hari ini.

“Saya juga bersyukur dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan hingga membolehkan produk kerepek daun mudah dikenali, sekali gus meningkatkan jumlah pendapatan,” katanya.

Noriza berkata, dia menghasilkan produk berkenaan sekitar 15,000 pek sebulan dengan memperoleh hasil jualan sehingga RM30,000 sebulan.

“Sebelum ini, saya pernah memperoleh hasil jualan RM50,000 hingga RM60,000 sebulan, namun kekangan ekonomi semasa menyebab­kan jualan menurun.

“Namun, itu tidak menjadi penghalang kepada saya untuk kekal dalam perniagaan ini, apatah lagi saya pernah menempuh pelbagai dugaan berat sebelum sampai ke tahap ini,” katanya.

Sumber: myMetro