Rumah Bot X-Army 8318 Tasik Kenyir

Kehadiran ke Tasik Kenyir, Terengganu bukanlah sekadar untuk bercuti semata-mata. Dia juga ingin merasai pengalaman tasik berkenaan dengan menaiki rumah bot.


Noraizat Hamzah, 33, yang lebih mesra dipanggil Ijat tidak keseorangan dalam kembaranya itu.
Pemuda yang berasal dari Felda Palong, Negeri Sembilan berkenaan ditemani rakan-rakannya.

Mereka bermalam di rumah bot X-Army 8318 yang disewa selama tiga hari dua malam.

“Sebelum ini, saya tidak tahu ada penginapan yang membawa pelancong bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi. Rumah bot akan ditambat di satu kawasan dan pelancong dibawa menaiki bot laju untuk meneroka kawasan sekitar Tasik Kenyir,” kata penjawat awam itu.

Noraizat memberitahu, perjalanan rumah bot selama dua jam ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Tasik Kenyir merupakan antara pengalaman menarik yang ditempuhnya.

“Rumah bot bergerak dengan kelajuan 10 kilometer sejam dari Jeti Pangkalan Gawi ke kawasan berdekatan, sekali gus membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam.

Kemudahan

“Selain bermalam, kami turut dibawa mandi-manda di kawasan Air Terjun Lasir dan bermain dengan ikan kelah di Santuari Kelah, Sungai Petang,” ujarnya yang kagum dengan flora dan fauna di tasik itu.

Rakan Noraizat yang merupakan kaki pancing, Khirulrizal Nadzir Maarupuddin, 33, berkata, kemudahan asas seperti tandas, penyediaan makanan dan tempat tidur yang ringkas sudah memadai untuknya sepanjang bermalam di rumah bot.

Lelaki yang berasal dari Kajang, Selangor itu beria-ia bercerita tentang pengalamannya menaiki rumah bot. Katanya, mereka mula berlabuh berdekatan Air Terjun Lasir pada malam pertama sebelum bergerak ke Air Terjun Saok pada malam kedua.

“Waktu Subuh di Tasik Kenyir sejuk macam ada penyaman udara gergasi. Penginapan rumah bot ini amat sesuai untuk pelancong yang datang secara berkumpulan untuk meneroka alam semula jadi yang terdapat di tasik ini.

“Pengusaha rumah bot turut menyediakan umpan bagi membolehkan aktiviti memancing dijalankan dengan mudah,” ujarnya yang datang mengikut rakan-rakannya.

Tambah Khirulrizal Nadzir, penyediaan dapur dan set barbeku memudahkan kaki pancing untuk memasak ikan yang ditangkap.

“Malah, tempat penyimpanan sejuk beku yang disediakan membolehkan saya menyimpan ikan-ikan yang ditangkap untuk dibawa pulang.

“Kemudahan yang lengkap seperti set karaoke, televisyen dan saluran Astro di rumah bot seumpama berada di rumah sendiri amat memuaskan hati saya,” ujarnya yang juga bekerja di syarikat swasta di ibu kota.

X-Army 8318 merupakan salah satu daripada puluhan penginapan rumah bot yang di Tasik Kenyir yang membawa pelancong bermalam di sekitar tasik buatan manusia terbesar di negara ini.

Berkeluasan kira-kira 75 meter persegi, rumah bot itu dilengkapi lima bilik tidur, satu dorm, bilik solat dan ruang tamu yang mampu memuatkan sekitar 20 orang pada satu-satu masa.

Keistimewaan

Pemiliknya, Abd. Aziz A. Rahim, 44, memberitahu, warga tempatan serta pelancong asing yang datang secara berkumpulan merupakan pelanggan utamanya yang kebanyakannya terdiri daripada kaki pancing.

Beliau menamakan rumah botnya, X-Army 8318 sempena persaraannya daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiga tahun lalu. Angka 8318 merupakan nombor pengenalan dirinya sewaktu berkhidmat sebagai anggota tentera.

“Krew rumah bot X-Army 8318 terdiri daripada seorang pemandu bot serta dua orang pekerja yang membawa pelancong menaiki bot laju untuk aktiviti di sekitar Tasik Kenyir, anak sungai dan beberapa buah pulau,” ujarnya yang merupakan bekas jurulatih di Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selain menawarkan penginapan dan aktiviti memancing, X-Army 8318 juga menyediakan pakej-pakej melawat beberapa tempat menarik seperti kawasan perkelahan air terjun, Pulau Herba, Pulau Rama-Rama dan Pulau Orkid yang juga berbaloi dimasukkan ke dalam senarai tempat untuk dikunjungi.

“Rumah bot X-Army 8318 ini menawarkan dua pakej iaitu dua hari satu malam yang berharga RM1,600, manakala pakej tiga hari dua malam pula berharga RM3,000.

“Perkhidmatan tukang masak di atas rumah bot turut disediakan, namun pelanggan perlu membayar harga yang berlainan,” ujarnya yang berasal dari Kuala Berang, Terengganu.

Pengalaman

Bagi anak keempat daripada lapan orang adik-beradik itu, pengalaman berkhidmat bersama ATM selama 22 tahun memberikan pengetahuan yang luas mengenai selok-belok hutan, jalan darat dan air.

Malah, dia yang pernah mengikuti kursus dalam jurusan elektronik industri kelolaan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) sebelum ini mengakui, kursus tersebut banyak membantunya daripada segi menjalankan dan menguruskan rumah bot berkenaan.

“Kursus berkenaan tidak menjurus tentang pembinaan rumah bot semata-mata, saya sebaliknya belajar tentang selok-belok pengurusan sesebuah organisasi dan keusahawanan sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan yang sebenar setelah tamat kursus,” ujarnya yang telah mengikuti kursus bersama Perhebat itu selama 18 bulan.


Dalam pada itu, Abd. Aziz menceritakan pengalaman bersama adik-beradiknya yang menjadi tulang belakang kejayaan X-Army 8318. Abangnya, Mohd. Sidek A. Rahim, 46, bertindak sebagai pengurus pentadbiran, manakala adiknya, Mohd. Ridwan, 30, bertindak sebagai pemandu rumah bot.

“Pembinaan rumah bot yang menelan kos sebanyak RM260,000 ini adalah hasil titik peluh saya bersama adik-beradik serta keluarga dan ia mengambil masa setahun untuk membinanya,” katanya yang juga mempunyai seorang isteri dan dua cahaya mata.

“Sebenarnya rumah bot ini memerlukan tempoh lapan bulan untuk dibina kerangka manakala empat bulan lagi adalah untuk kerja-kerja penyudahan. Bot ini menggunakan lebih 12 tan kayu merawang dan kulim,” ujarnya yang merupakan pakar kayu.

Menurut Mohd. Ridwan pula, pihak pengurusan X-Army 8318 menjaga keselamatan pelancong dengan sebaik mungkin sepanjang mereka menginap di rumah bot tersebut dan memastikan mereka mematuhi peraturan memakai jaket keselamatan jika ingin mandi-manda di sekitar tasik.

“Sekiranya ada pelancong yang sakit atau berlaku kecemasan, kami akan segera menghantar mereka menggunakan bot laju ke Jeti Pangkalan Gawi untuk rawatan lanjut.

“Pelancong juga tidak perlu khuatir mengenai struktur binaan rumah bot. Tiada kejadian seperti rumah bot tenggelam atau karam di tasik ini kerana pembuatannya amat kukuh,” jelasnya yang juga merupakan kapten rumah bot.

Sumber: Kosmo! Online